Sunday, November 28, 2010

CATATAN YDP

Tinggal dua hari sahaja lagi para pemenang peraduan menulis cerpen SEDCO-BAHASA II akan menerima hadiah masing-masing. Bagi pihak BAHASA saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang dengan sedikit nasihat, teruslah berkarya, tanpa ada batas sempadan waktunya. Isny-Allah tahun hadapan jika tiada ada aral melintang, peraduan seumpamanya akan diteruskan. Cita-cita Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif untuk menjadikan sayembara penulisan ini sebagai sesuatu yang gah atau 'grand' di negeri Sabah ini, nampaknya mula memperlihatkan hasil. Tahniah dan terima kasih kepada YB dan juga seluruh ahli BAHASA di negeri Sabah. Mudah-mudahan tahun hadapan kita akan mendapat dana yang lebih besar lagi bagi menganjurkan sayembara ini.

Saya juga ingin menyentuh sekali lagi usaha YB Datuk Arifin yang mahu agar BAHASA menggerakkan biro penulis muda dalam badan ini. Insy-Allah jika ada dana peruntukan yang disalurkan kepada BAHASA, saya bercadang BAHASA akan menganjurkan pertemuan penulis muda Malaysia di Sabah pada tahun hadapan. Program ini adalah salah satu program utama BAHASA di Sabah pada tahun depan, selain daripada program Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan ke 2.

BAHASA juga insya-Allah akan bekerjasama dengan DBP Cawangan sabah yang bercadang hendak menganjurkan Perkampungan Sasterawan Sabah, seperti yang diumumkan pengarah DBP Cawangan Sabah di Pitas baru-baru ini.

Akhir sekali saya juga mengucapkan tahniah kepada pemenang Sayembara menulis novel kerajaan negeri Sabah siri 1 anjuran Lembaga Kebudyaan Negeri Sabah dan BAHASA, dimana majlis penyampaiannya akan disempurnakan di hotel Promenade Kota Kinabalu pada 10 Disember 2010. Kita juga akan bertolak ke Miri untuk menghadiri dialog Teluk pada 16 November dan kembali ke Sabah pada 19 Nov 2010. Selepas itu, insya-Allah DBP Cawangan Sabah pula akan menganjurkan majlis penyampaian hadiah Sastera Sabah. Tahniah sekali lagi kepada para pemenang.

JM

No comments: