Monday, August 30, 2010

Ziarah BAHASA

Pada 28 Ogos 2010 buat pertama kali YDP telah menghadiri mesyuarat jawatan kuasa kerja GAPENA selepas dilantik sebagai seorang AJK Tertinggi GAPENA selepas mesyuarat agung lalu. banyak agenda dibincangkan terutama perayaan sambutan 40 tahun GAPENA. YDP telah mencadangkan agar satu majlis wacana sastera diadakan di Sabah dan sarawak sempena sambutan itu. BAHASA insyallah akan menganjurkan majlis Ziarah bahasa dan sastera di Pitas Kudat pada 6 Nov 2010 disekalikan dengan majlis wacana itu, pelancaran buku dan kenduri sastera.

Sesiapa berminat hubungi urusetia BAHASA 016 8115593

Friday, August 27, 2010

Jair Sulai Penyair Muda

Seperti Semut

Seperti semut kita pun dijalinkan keakraban
Sekata menyusun arah
Sederap mengatur langkah
Seperti semut kita pun saling berkorban
Berpadu ringankan bebanan
Bersatu ungkaikan kesulitan

Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan,
Sejiwa menghening kerukunan
Sepantun menenun harapan

~Jair Sulai, “Seperti Semut Kita”, Dewan Sastera, Jun 1998.

Thursday, August 12, 2010

Keputusan Sayembara Novel

KEPADA semua penulis dan sasterawan yang menghantar karya novel mereka kepada urus setia sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1, anjuran BAHASA dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang ditutup pada 30 Jun 2010 yang lalu diharap bersabar menunggu keputusan yang dijangka dimaklumkan pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Karya-karya novel berkenaan sedang dalam proses penilaian sekarang dan pihak hakim diberi satu tempoh munasabah untuk membuat penilaian sewajarnya. Mesyuarat panel hakim yang pertama telah pun diadakan di DBP Cawangan Sabah pada 20 Julai 2010 yang lalu, sementara mesyuarat yang kedua dijangka akan diadakan pada 13 Ogos 2010.

Semua peserta diharapkan bersabar menunggu keputusan yang akan dimaklumkan, pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, sama ada oleh Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun atau pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. Keputusan muktamad akan dimaklumkan kemudian.

Saya juga mengharapkan agar penyampaian hadiah seyembara novel itu disempurnakan oleh Y A B Ketua Menteri sabah yang dikasihi, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. Walau bagaimana pun semua ini akan ditetapkan kemudian.

Sekali lagi saya mengharapkan agar semua penulis yang menghantar karya mereka untuk sayembara itu dapat bersabar dan mudah-mudahan kenyataan ini dapat menjawab segala panggilan telefon dan SMS tuan puan yang dihantar kepada saya, yang kesemuanya bertanyakan tentang perkembangan sayembara berkenaan.
SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT BULAN KEMERDEKAAN!

YDP Jasni Matlani

Bicara Karya

SELAMAT menyambut bulan Ramadan dan sekaligus selamat menyambut bulan kemerdekaan Negara. Saya bagi pihak Badan Bahasa dan Sastera sabah (BAHASA) mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam, khasnya kepada ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah. Mudah-mudahan puasa kita tahun ini dapat disempurnakan dengan baik sepenuhnya, seterusnya diberkati Allah.

Tetapi walaupun kita berada di bulan Ramadan, kerja-kerja bahasa dan sastera tetap berjalan seperti biasa. Insy-Allah, pada 19 Ogos 2010, bermula jam 2.30 petang, kita akan membuat majlis memperkatakan buku kumpulan puisi Stensil Pari-Pari karya Mabulmaddin Shaiddin dan buku Kumpulan Cerpen Perjalanan Yang Satu karya Juri Durabi.

Kedua-dua penulis ini bukan sahaja terkenal di peringkat negeri Sabah, malah di peringkat kebangsaan. Mereka sudah mula menulis pada tahun 1980-an dan 1990-an dan karya mereka sering tersiar dalam pelbagai media tempatan atau nasional.
Buku ini, akan diperkatakan oleh beberapa orang pengkritik yang popular di Sabah, dan majlis ini disekalikan dengan majlis berbuka puasa SEDCO dan dijangka akan diadakan di suatu tempat yang akan dimaklumkan kemudian.
Perasmian majlis ini insy-Allah akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri membakut, merangkap pengerusi SEDCO dan penasihat BAHASA, Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif.

Kepada semua penulis, sasterawan, budayawan dan peminat sastera di seluruh negeri Sabah dialu-alukan hadir.
Sementara itu kepada semua jawatankuasa dan ahli BAHASA di sekitar Kota Kinabalu dijemput menghadiri mesyuarat induk pelaksanaan majlis ini di Kota Kinabalu pada sabtu ini, jam 1.00 petang. Segala maklumat lanjut boleh menghubungi talian BAHASA 016-8115593.

YDP Jasni Matlani