Sunday, March 7, 2010

Catatan YDP

SAYA baru sahaja balik dari Kuala Lumpur menghadiri Majlis Pertemuan dengan ketua Pengarah DBP, seterusnya menghadiri Bengkel 1 Malaysia: Perspektif GAPENA. Pada malam jumaat pula diadakan mesyuarat Jawatankuasa induk GAPENA yang diadakan di Hotel mandarin Court Kuala Lumpur.Banyak isu dibincangkan semasa pertemuan dengan ketua pengarah DBP yang antara lain melibatkan isu berkaitan bahasa, sastera, hubungan DBP dengan Badan Bukan Kerajaan khususnya persatuan penulis dan juga isu melibatkan penerbitan (DBP dan Dawama)

Saya telah mengambil peluang menimbulkan isu peranan DBP dalam konteks memartabatkan bahasa, dengan meminta DBP supaya mencipta satu singkatan baru dalam bahasa Melayu untuk istilah singkatan yang popular digunakan sekarang seperti KPI, NKRA, NGO atau perkataan seperti Face Book dan banyak lagi. DBP seharusnya tidak terikut-ikut, kerana walaupun benda itu nampak remeh, tetapi apabila ketua pengarah DBP sendiri menggunakan istilah KPI (singkatan bagi perkataan Inggeris Key Performance indicator), sudah tentu rakyat mempersoalkannya, kerana orang nombor satu DBP sendiri tidak boleh menyatakan pendiriannya, walaupun dalam soal sekecil itu?

Saya juga telah menyentuh isu berkaitan buku terbitan DBP dan DAWAMA. Ketua pengarah DBP dalam pertemuan itu mengatakan, bahawa tahun lalu sahaja DBP telah menerbitkan sekurang-kurangnya 400 judul buku dan berlaku peningkatan daripada tahun sebelumnya. Tetapi saya mempersoalkan, kenapa daripada jumlah yang banyak itu hanya 2 judul buku sahaja yang diluluskan JKE (jawatankuasa Editorial) untuk buku-buku dari Sabah? Walaupun buku-buku itu sudah dinilai oleh DBP Sabah dan boleh diterbitkan.
Ketua Pengarah DBP menjawab dia akan melihat balik isu itu dan akan meminta JKE supaya melonggarkan sedikit penilaian terhadap buku-buku dari Sabah.

Saya turut mempersoalkan kenyataan ketua Pengarah yang mengatakan bahawa pada tahun ini DBP akan bekerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan kerajaan untuk melaksanakan Bulan Bahasa tahun 2010. Kenapa kerjasama dibuat dengan jabatan kerajaan sahaja? Kenapa DBP liat sangat hendak bekerjasama dengan persatuan penulis seperti GAPENA dan badan kerabatnya di seluruh negeri. Sedangkan peranan Badan Bukan Kerajaan (BBK) tidak kecil dalam memartabatkan Bahasa, misalnya dalam isu PPSMI. Malah merekalah yang bersedia masuk penjara dan memainkan peranan yang besar dalam mendesak kerajaan dalam menghapuskan PPSMI.

Tetapi itulah mentelaiti DBP yang liat memberi bantuan terhadap GAPENA di peringkat pusat. Walaupun demikian saya memuji usaha DBP Cawangan Sabah, Encik Zubaidi khususnya, di hadapan ketua pengarahnya, yang walaupun barangkali beliau diarahkan supaya hanya membuat kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan di Sabah dalam melaksanakan program Bulan Bahasa, tetapi kerana budi bicaranya, turut menggunakan sedikit peruntukan Bulan Bahasa untuk DBP Sabah itu dengan mengadakan program yang melibatkan persatuan penulis di Sabah.

Banyak lagi isu yang ditimbulkan oleh ahli jawatankuasa induk GAPENA yang hadir termasuk harga buku DBP yang mahal kerana usaha DAWAMA yang hendak mengaut keuntungan yang besar, buku-buku DAWAMA disemananjung yang lebih banyak menjual buku lain berbanding buku DBP sehingga buku DAWAMA tidak lagi kelihatan sebagai kedai buku DBP. Beliau menjawab DBP sedang mengumpul fakta dan juga rungutan orang ramai berhubung dengan DAWAMA untuk diajukan kepada menteri. Untuk rekod; kontrak DAWAMA dijangka tamat pada tahun 2014.

Sementara itu semasa mesyuarat jawatankluasa induk GAPENA yang diadakan di hotel Mandarin Court Kuala Lumpur, saya turut mengambil peluang membincangkan beberapa isu ke pengetahuan mesyuarat, khususnya ketua satu GAPENA. Pertama sekali hubungan antara jawatankuasa Induk GAPENA dengan badan kerabat mestilah diperbaiki. Tan Sri Ismail Hussein mengatakan secara perbadi bagi dirinya perjuangan GAPENA sudah berada dipuncak kemegahannya, tetapi saya kata, bahawa bagi saya dan beberapa rakan kerabat yang lain, perjuangan GAPENA sebenarnya baru sahaja bermula. Maka sudah tentulah setiap yang baru bermula itu, sarat dengan kehendak dan kemahuan yang mungkin besar dan sebahagiannya pula tidak dapat diterima kepimpinan tertinggi GAPENA.

Saya turut meminta supaya GAPENA turun padang ke peringkat negeri. Jika ada jawatankuasa yang secara kebetulan datang ke sesuatu negeri, carilah kerabat GAPENA di negeri itu, bertemu dan berdialoglah dengan mereka walaupun singkat dan dalam skala pertemuan yang kecil. Jangan bina jurang berterusan dan semakin besar dan jangan hanya melihat GAPENA itu sebagai juara di peringkat global dan juara Melayu sedunia. Tetapi haruslah diingat bahawa yang menentukan jawatankuasa tertinggi itu kekal di kerusinya, bukan orang Melayu yang dicari di seluruh dunia itu, sebaliknya perwakilan daripada badan kerabat.

Saya turut memaklumkan kegiatan sambutan 40 tahun BAHASA yang termasuklah di dalamnya sayembara menulis novel kerajaan negeri Sabah siri 1, hadiah cerpen SEDCO-BAHASA, Majlis RINAIT: Malam Puisi Warisan di Keningau, yang dijangka dihadiri Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim, pelancaran karnival 40 tahun BAHASA, Bicara Eksekutif dan pembentangan kertas kerja, Pertandingan menulis cerpen dan puisi untuk penulis di daerah Ranau dan beberapa program yang lain.Pada kesempatan itu saya juga mengkhabarkan tentang perkembangan kesihatan penulis veteran kita yang dikasihi, Puan Hajah Dayang Salmah Salam, dan insyallah GAPENA akan menghulurkan sumbangan peeribadi kepada beliau semasa kunjungan Tan Sri dan rombongan GAPENA pada 9 April 2010 akan datang.

Ramai jawatankuasa induk akan turun di Sabah pada sempena karnival sambutan 40 tahun BAHASA itu yang diketuai oleh Tan Sri Ismail Hussein sendiri. Datuk Latif Bakar, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Dato’ A. Aziz Deraman, Prof Madya Hashim Ismail dan beberapa orang lagi akan datang ke Sabah. BAHASA juga insyallah akan menghantar surat undangan kepada ahli badan kerabat lain yang ingin menyertai sambutan 40 tahun BAHASA itu.

Turut dimaklumkan ialah GAPENA akan menyambut sambutan 40 tahun GAPENA bermula 23 oktober 2010. Sempena sambutan itu GAPENA akan menganjurkan pertandingan menulis puisi dan cerpen yang hanya terbuka kepada ahli badan kerabat sahaja. Justeru itu ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah boleh menghantar karya yang bertemakan perjuangan GAPENA dan kerabatnya dalam konteks gagasan 1 Malaysia. Hantar karya itu kepada YDP BAHASA untuk diserahkan kepada pihak GAPENA secepat mungkin.
BAHASA juga perlu mengadakan satu kegiatan sempena sambutan 40 tahun GAPENA itu. Ini akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa tertinggi BAHASA.

Sebuah buku tentang sejarah dan ahli-ahli kerabat GAPENA juga akan diterbitkan. Insyallah BAHASA akan menghantar senarai jawatankuasa tertingginya dan saya mohon jawatankuasa BAHASA di peringkat cawangan agar menghantar senarai ahli jawatankuasa terbaru untuk dimuatkan dalam buku itu. Seterusnya insyallah saya akan menulis serba sedikit tentang sejarah penubuhan BAHASA dan keterlibatannya dengan GAPENA, sebagai bahan sumbangan untuk penerbitan buku itu.Salam untuk seluruh ahli BAHASA dan harap semua sudah mengadakan mesyuarat agung. Surat akan dihantar minggu depan bermula isnin. Sekian dahulu untuk kali ini.

Jasni Matlani