Saturday, November 6, 2010

CATATAN YDP

SALAM kepada semua ahli BAHASA di mana sahaja mereka berada. Saya memohonahli BAHASA yang bercita-cita besar, bersama-sama saya mengimarahkan kenduri sastera yang kita buat di daerah Pitas Kudat. Pada sabtu ini. Kita bertolak dari Kota Kinabalu pada jam 8.00 pagi dan berkumpul di sembulan Kota Kinabalu sebelum bertolak ke Pitas. Kita selalu bercakap tentang pemasyarakat sastera dan sastera mesti menjati diri dalam masyarakat dan menghargai sumbangan penulis, jadi biarlah lebih baik kita mendekati masyarakat dan menjelaskan kepada mereka segala kebaikan sastera itu dalam majlis seperti ini. Kepada ahli BAHASA saya menyeru kepada mereka agar meluangkan masa menyertai program ini.

Beberapa minggu terakhir ini memang banyak perkara yang berlaku sekitar dunia sastera kita. Baik atau tidak baik, dan saya tidak pernah berselindung diri dalam menyatakan sesuatu. Berani kerana benar, walaupun terserlah kepahitannya. Saya berterima kasih kepada beberapa penulis, yang memahami apa yang saya hendak lakukan untuk dunia sastera kita. Dalam BAHASA sebahagian besar memahami apa yang kita mahu lakukan untuk menyemarakkan sastera Sabah, meskipun adakalanya terasa perihnya, dan seperti hendak menyerah kalah sedemikian mudah. Tetapi saya ingat kembali perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menengakkan Islam yang kita semua yakini pada hari ini. Menyebarkan agama yang begitu mulia di sisi Allah sekali pun, orang meludah dan melontar najis kepada baginda, apatah lagi perjuangan saya yang kerdil dalam bidang sastera ini.

Saya berterima kasih dengan sesiapa sahaja yang melontarkan kata nista terhadap saya, dalam memperjuangan martabat sastera kita. Termasuk hasrat saya untuk melihat lebih banyak karya kita diterbitkan di negeri ini melalui sayembara penulisan yang kita anjurkan. Saya mahu melihat novel, cerpen dan puisi kita diberi penghormatan yang sewajarnya dan penulis mendapat manfaat daripadanya. Tetapi biarlah kita mengetahui kedudukan yang sebenarnya sebelum membuat kritikan yang tidak munasabah. Misalnya mengenai isu hak cipta, saya berusaha memberi gambaran supaya kerajaan tidak rugi, dengan menerbitkan karya kita, seperti yang dilakukan pihak DBP.

Tetapi apabila terdapat suara yang mengatakan perkara yang tidak baik, apabila LKNS menerbitkan buku yang menang hadiah sayembara novel berkenaan, akhirnya mereka serahkan kepada BAHASA untuk menerbitkan sendiri buku yang memenangi hadiah berkenaan. Ya, kita mendapat hak cipta dan penulis boleh terbitkan sendiri karya yang dihasilkannya, tetapi apa yang berlaku ialah BAHASA yang sebenarnya terpaksa bertanggungjawab untuk mencari sumber yang besar dan menjadi syarikat penerbit kepada buku-buku novel yang menang itu. Sehingga penulis sendiri terpaksa mengeluarkan dana untuk menerbitkan buku berkenaan. Siapa yang susah akhirnya? LKNS tidak susah, tetapi kita sendiri iaitu penulis dan aktivis sastera seperti ahli BAHASA ini yang menerima beban padahnya. Saya sudah menjangkakan semua ini lebih awal lagi, kerana biasanya saya melihat jauh ke hadapan dengan apa yang saya lakukan pada hari ini.

Apabila saya mencadangkan untuk menganjurkan sayembara novel ini, saya mahu penulis di negeri ini sekurang-kurangnya mendapat sesuatu daripada apa yang mereka hasilkan jauh lebih baik daripada mereka menghantar karya itu untuk penerbitan DBP mahupun swasta. Saya juga mahu bahawa hanya penulis yang berasal dari Sabah yang mendapat hak itu, kerana kalau kita buka penyertaan kepada penulis luar di peringkat kebangsaan, penulis Sabah juga yang akan gigit jari akhirnya. Tetapi saya hendak memberitahu anda semua bahawa ada penulis Sabah yang yang hanya mendapat royaliti dua tiga ratus jumlahnya apabila menghantar karya ke penerbitan, walaupun karya itu dicetak setebal 400 halaman atau lebih dan dihasilkan dengan penuh kesakitan.
Sebab itu saya mahu sayembara itu dianjurkan dengan hadiah yang besar, dan mereka yang terbaik di negeri ini mendapat sesuatu habuan yang lebih besar daripada mereka perolehi berbanding dengan menghantar kepada pihak swasta yang tidak bertanggungjawab itu. Malah jika anda menghantar sebuah novel untuk diterbitkan pihak DBP sekali pun yang dijamin royaltinya, jika novel itu hanya diterbitkan dalam jumlah 1,000 naskah, penulis hanya mendapat sekitar lebih kurang RM 3,000.00 sahaja (dalam dua kali pembayaran) pada kadar pemberian 12 peratus royalti. Janganlah bermimpi anda akan mendapat bayaran hingga sepuluh ribu, tujuh ribu atau lima ribu. Saya tahu semua ini, kerana saya sendiri pernah mengalaminya. Jadi adakalanya saya berfikir supaya kita jangan menanam di dalam diri kita sikap terlalu tamak di dunia ini, kerana adalah lumrah, di mana kita mendapat sedikit daripada satu sumber dan mendapat banyak daripada sumber lain, kerana itulah keadilan Tuhan kepada kita semua, sebab kalau kita mendapatkan semua bahagian yang banyak daripada semua sumber untuk kita sahaja , maka orang lain hendak makan apa untuk kelangsungan survival kehidupannya?

Sebagai contoh, buku saya diterbitkan DBP dalam jumlah 3,000 naskah dalam kiraan roayliti 12 peratus dan dijamin dibayar pihak DBP. Ya, saya mendapat RM 3,400 untuk pembayaran pertama royaliti sebanyak 50 % royalti buku itu. Maknanya 50 % lagi akan dibayar kemudian berjumlah RM 3,400 setelah buku itu HABIS TERJUAL. Setelah dicampur kesemuanya saya hanya mendapat RM 6,800.00 sahaja. Tetapi cuba bayangkan apa yang penerbit dapat jika buku itu dijual pada harga RM 25.00 senaskah? RM 25 X 3,000 naskah = ?. tetapi ingat, tentulah DBP juga menangung risiko sama ada buku itu akan habis terjual atau tidak? Dan risiko itu juga mesti ada harganya. Mungkin juga DBP terpaksa membayar kos kepada orang lain yang mengusahakan penerbitan buku itu, supaya mereka juga mendapat haknya dan boleh melangsungkan kehidupan. Bukan semua mesti diberikan kepada saya. Jadi itulah asasnya.

Justeru pengajarannya biarlah kita meneliti sesuatu itu daripada pelbagai aspek sebelum menghukumnya. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi saya juga tidak pernah bermimpi untuk menerajui BAHASA beribu-ribu tahun lamanya.
Berkenaan dengan kritikan saya terhadap teater perdana baru-baru ini, saya berterima kasih kerana ada sahabat yang memahami apa yang saya jelaskan dalam tulisan saya sebelum itu. Sehingga saya menuntut supaya kerja teater itu dinilai semula pihak DBP. Ya, sebagai pejuang sastera tentulah saya mahu melihat aktiviti pementasan puisi yang bertaraf perdana atau pertemuan sastera yang dianjurkan kerana itulah antara kerja-kerja asas yang perlu diberi perhatian DBP berdasarkan undang-undang tubuh agensi berkenaan, tetapi tidak lagi dilaksanakan sejak tahun 2005 lalu. Apatah lagi jika pementasan teater semakin merosot mutunya, maka ia perlu dikaji semua. Saya bersikap proefsional dengan memberi pelbagai kritikan terhadap pementasan berkenaan dan sama sekali tidak menyentuh hal yang bersifat peribadi. Tetapi apa yang menyedihkan, kritikan itu dibalas dengan kata-kata nista yang sangat peribadi sifatnya, yang sama sekali tidak membantu perkembangan teater kita. Sekali lagi saya kembali kepada kesyumulan Junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah memberkati sesiapa sahaja yang memberi tanggapan yang salah terhadap kebenaran yang saya serlahkan dan semoga suatu hari pintu hati mereka terbuka untuk perubahan dan kebaikan. Amin


JASNI MATLANI

No comments: