Sunday, November 29, 2009

Ulangtahun 40 BAHASA

BAHASA sedang bersiap siaga menyambut kedatangan tahun baru 2010 dengan agenda SAMBUTAN BAHASA KE 40. Insyaallah pelbagai program sastera akan diadakan sempena sambutan itu ahli BAHASA dialu-alukan menulis pengalaman mereka bersama BAHASA. tulisan itu insa-Allah akan diterbitkan dalam bentuk buku sempena sambutan 40 tahun BAHASA yang akan diadakan pada awal tahun hadapan.

Semua tulisan boleh dihantar sebelum 29 Februari 2010, melalui email jasni_matlani@hotmail.com

Wednesday, November 25, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha

BAHASA mengucapkan selamat menunaikan Fardu Haji kepada Ketua dua GAPENA, Datuk Latif Bakar dan isteri. Semoga beliau mendapat haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air

SELURUH jawatankuasa tertinggi BAHASA mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang menjelang tiba kepada ahli BAHASA yang beragama Islam. Mudah-mudahan hari raya korban tahun ini memperdalamkan lagi semangat ‘Berkorban’ dalam konteks perjuangan kita yang murni melalui bidang bahasa dan sastera.SELAMAT HARI RAYA!

Monday, November 23, 2009

CATATAN YANG DI PERTUA BAHASA 16 Nov 2009

HANYA beberapa bulan lagI kita akan menyambut ulang tahun ke 40 Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Tentulah saya baharu dalam BAHASA berbanding usianya. Walaupun saya mengenali BAHASA sejak ia dihidupkan kembali pada pertengahan tahun 1980-an, tetapi hanya pada tahun 1999 hati saya terbuka untuk menyertai persatuan ini.
Saya teringat arwah Hajah Sirah Haji Antin (pemimpin BAHASA ketika itu) yang bersungguh-sungguh membawa saya masuk menyertai BAHASA. Kemudian saya teringat dia menangis di hadapan saya dalam pertemuan singkat dalam satu majlis sastera di Beringgis Resort, yang meminta saya supaya suatu hari memimpin BAHASA. Waktu itu beliau sudah sakit , berkerusi roda dan saya tidak menjawab sepatah kata pun. Saya hanya memegang tangannya, tetapi berkat doa beliau barangkali, akhirnya pada tahun 2005 saya menerajui persatuan ini, dengan cita-cita besar untuk mengimarahkan dunia sastera di Sabah meskipun dalam keadaan serba serbi kekurangan dan pelbagai kendala yang dihadapi.
Sempena sambutan 40 tahun BAHASA ini, saya mengajakdiri saya sendiri dan ahli BAHASA seluruhnya agar berpandangan jauh ke hadapan, meletakkan semula dunia sastera ini pada tempatnya, dipandang tinggi, dihormati dan bermaruah di mata masyarakat. Saya tahu jalannya sangat sukar, tetapi mendapatkan sesuatu perkara melalui kesukaran itu sebenarnya jauh lebih nikmat daripada mendapatkan sesuatu perkara dengan mudah. Kata orang, yang mudah itu datang seperti angin dan hilang pun seperti angin.
Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan dan memperkasakan BAHASA. Marilah kita memajukan diri, sama ada sebagai penulis, sebagai budayawan, sebagai aktivis masyarakat, kerana memajukan diri sendiri dalam konteks sastera itu juga adalah agenda utama perjuangan BAHASA. Kita tidak akan patah semangat dalam menjadikan negeri Sabah ini sebagai dataran ilmu dan dataran sastera Melayu yang unggul di rantau ini. Kita juga mesti bersedia menghadapi cabaran, sama ada sebagai individu atau sebagai satu gerakan yang berpengaruh di negeri ini dan malah di peringkat kebangsaan dan serantau.

JASNI MATLANI

Saturday, November 21, 2009

Konvoi ke Miri

Satu pertemuan dengan PUTERA Miri akan berlangsung pada 5 & 6 Disember 2009, sesiapa yang berminat untuk menyertai, kita akan melakukan kembara @ konvoi beramai-ramai bermula 4 Disember dan pulang ke Kota Kinabalu pada 8 Disember, penginapan disediakan, tambang pengangkutan bagi perjalanan dua hala akan dimaklumkan kelak, bagi sesiapa yang ingin memandu kereta sendiri digalakkan.

Maklumat lengkap tentang konvoi ini akan diberitahu dalam tempoh terdekat.

Wednesday, November 18, 2009

Penangguhan majlis penyampaian Hadiah Sedco Bahasa

Majlis penyampaian Hadiah SEDCO BAHASA yang dijadualkan pada 25 November telah ditangguhkan pada 2 Disember 2009, tempat dan masa yang sama.

Pihak urusetia memohon maaf di atas penukaran tarikh tersebut.

Penerbitan buku

Ahli BAHASA digalakkan menerbitkan buku mereka sama ada dalam bentuk novel, kumpulan puisi, kumpulan cerpen, kumpulan drama, kumpulan esei kritikan dan buku kajian bahasa dan sastera. buku-buku ini bolehlah dihantar ke penerbitan SWASTA dan DBP atau diterbitkan secara persendirian. Sebagai makluman, buku terbaharu YDP BAHASA insyaallah akan berada dipasaran pada tahun hadapan. buku tersebut ialah kumpulan cerpen terbaharu beliau berjudul 'LARON' terbitan DBP. buku siri bimbingan Penulisan Cerpen berjudul 'KETERAMPILAN MENULIS CERPEN' terbitan Iris Publishing. beliau juga baharu sahaja menyiapkan buku kajian berjudul 'PUISI BERUNSUR ISLAM SABAH 1985-2005: NILAI ROHANI DAN DAKWAH'. Selain itu beliau juga turut menulis buku kajian 'WARISAN SENI BADUNDANG MASYARAKAT MELAYU BERUNAI SABAH' yang diterbitkan JKKN Sabah dengan kerjasama saudara Noordin Zainal Abidin dan Puan Sabilah Kadir. Beliau juga menyelenggara buku antologi cerpen "Dunia Elyana" bersama Noordin Zainal Abidin. buku ini adalah hasil karya para peserta Minggu penulis remaja 2009 di Binsulok Resort Membakut, yang dibimbing oleh YDP BAHASA sendiri pada 28-31 Okt 2009 lalu.

Tuesday, November 17, 2009

Pertemuan Penyair Nusantara

Pertemuan Penyair Nusantara dan Seterusnya majlis pengucapan puisi dunia Kuala Lumpur akan diadakan bermula 20 Nov 2009 di DBP Kuala Lumpur dan penganjur utamanya adalah kerabat BAHASA dalam GAPENA iaitu Persatuan Penulis Nasional (PENA). YDP BAHASA, Encik Jasni Matlani, telah dijemput sebagai salah seorang pembentang kertas kerja sempena pertemuan berkenaan. beliau akan membentangkan kertas kerja yang berjudul, "Penyair Sabah dan Sarawak dalam konteks dunia kepenyairan Malaysia". Ahli BAHASA dijemput hadir bagaimanapun segala perbelanjaan adalah tanggungan sendiri.

Monday, November 16, 2009

Penyertaan Antologi AlKISAH

Biro Penulis Muda Badan Bahasa dan Sastera Sabah, dengan kerjasama Iris Publishing (diterajui Yang Dipertua BAHASA Saudara Jasni Matlani) bercadang untuk menerbitkan antologi ALKISAH, motif: menghimpunkan karya segar berunsur satira humor dan realisme magis sahaja.

Untuk maklumat lanjut sila ke pautan http://www.ruhainimatdarin.blogspot.com/

Saturday, November 14, 2009

TAHNIAH PARA PEMENANG HADIAH BAHASA SEDCO

YDP BAHASA dengan ini memaklumkan bahawa pemenang Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA 2009 ialah seperti berikut:

Tempat pertama: Dgku Mastura Pg Ismail (Cerpen Lai Ku Laila)
Tempat kedua: Angela Engkuan (Cerpen Ayah)
Tempat Ketiga: Dgku Mastura Pg Ismail (Cerpen Visi Sophia)
Saguhati: Faridah Abd. Hamid (Cerpen Pen bersalut emas)
Saguhati: Wellnie Joykin (Cerpen Rahsia Hati)
Saguhati: Katherina Tati (Cerpen Sogit)

Tahniah kepada para pemenang dan semua penerima diwajibkan hadir pada majlis penyampaian hadiah berkenaan. maklumkan kepada kawan-kawan yang lain dan bawalah mereka beramai-ramai memeriahkan majlis berkenaan.

Berita BAHASA

Ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah dialu-alukan dan dijemput menghadiri majlis penyampian Hadiah SEDCO-BAHASA yang akan diadakan seperti berikut:

tarikh: 25 Nov 2009
Masa: bermula jam 9.30 pagi
tempat: tingkat 3 Wisma SEDCO Plaza Wawasan Kota Kinabalu.

Sempena majlis ini, turut diadakan majlis pelancaran buku Kumpulan Cerpen Hadiah SEDCO-BAHASA 'Visi Sophia'. dan seterusnya majlis memperkatakan buku ini oleh empat pembicara undangan iaitu YDP BAHASA, Encik Jasni Matlani, Timbalan YDBP BAHASA, Encik Ramli Jusoh, Timbalan Setiausaha BAHASA, Cik Ruhaini Matdarin dan Pegawai DBPCS, Encik Noordin Zainal Abidin (Norza). Majlis memperkatkan buku Visi Sophia ini dipengerusikan oleh Setiausaha BAHASA, Encik Alliuddin Mohd. Salleh. Insya-Allah untuk makluman awal, pada tahun hadapan, tema cerpen Hadiah SEDCO-BAHASA adalah berkaitan dengan penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perniagaan.

Jika mendapat hadiah tajaan yang lebih baik pada tahun hadapan, Hadiah ini akan diperkasakan lagi dan insya-Allah akan menjadi satu hadiah sastera yang prestij di Sabah.

Monday, November 2, 2009

Tahniah YDP

Ucapan setinggi tahniah kepada Yang Dipertua BAHASA Jasni Matlani kerana penganugerahan pingat Ahli Darjah Kinabalu sempena hari keputeraan TYT Sabah pada 24 Oktober lalu.

PENGUMUMAN

1) Penyampaian Hadiah BAHASA - SEDCO dan pelancaran antologi cerpen pemenang Visi Sofia akan diadakan pada 25 November 2009, bertempat di bangunan SEDCO, Tingkat 3, jam 9.30 pagi.