There was an error in this gadget

Saturday, December 25, 2010

CATATAN YDP

ESOK 26 Disember 2010, akan diadakan mesyuarat Jawatankuasa BAHASA di hotel Beverly Hotel Kota Kinabalu, jam 12.00 tengahari. Semua jawatankuasa BAHASA dijemput hadir. Antara agenda yang akan dibincangkan ialah seperti berikut:

1. Mengesahkan mesyuarat lalu
2. Membincangkan Pendaftaran Persatuan
3. Membincangkan Mesyuarat Agung BAHASA 2011
4. Membincangkan Kalendar BAHASA 2011
5. Membincangkan Kegiatan Penerbitan ahli BAHASA 2010
6. Membincangkan Sayembara Menulis Cerpen SEDCO-BAHASA 2011
7. Membincangkan Hari Puisi Nasional 2011
8. Membincangkan Hubungan kerjasama BAHASA-PENA
9. Membincangkan Aktiviti Penulis Muda/Pertemuan Penulis Muda
10. Hal Hal Lain Berbangkit
11. Penanguhan mesyuarat
Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Natal kepada ahli BAHASA yang beragama Kristian. Seterusnya Selamat Tahun baru 2011 dengan harapan tahun baharu 2011 akan membawa keberkatan dan masa depan yang lebih cerah kepada kita semua. Mudah-mudahan juga bidang sastera kita akan terus menyerlah dan kita akan memberi sumbangan dan impak yang lebih berkesan dalam konteks sastera kebangsaan.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada ahli BAHASA yang akan menerima hadiah sastera Sabah yang majlis penyampaiannya akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah. Majlis itu dijangka akan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP Datuk Tarmuzi dan beberapa kenamaan lain.

Saya difahamkan BAHASA disediakan 3 buah meja dalam majlis penyampaian yang diadakan di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah itu. Jadi datanglah beramai-ramai, memenuhi meja yang disediakan dan meraikan teman-teman kita ahli BAHASA yang berjaya meraih hadiah sastera sabah tahun penilaian 2008/2009 ini.
Sahabat kita daripada Badan BAHASA Cawangan Membakut juga dijangka akan menyerikan lagi majlis berkenaan dengan persembahan mereka yang hebat dan pernah menggegarkan pentas penyampaian Hadiah Novel Kerajaan Negeri Sabah beberapa minggu lalu.

JM

Tuesday, December 21, 2010

Mesyuarat

SATU MESYUARAT PENUTUP AKHIR TAHUN AKAN DIADAKAN PADA 26 DISEMBER 2010, JAM 2 PETANG BERTEMPAT DI BILIK LEMBAGA PENGELOLA DBP.

PERHATIAN KEPADA AHLI JAWATANKUASA TERTINGGI, PENGERUSI CAWANGAN DAN AHLI BAHASA LAIN AGAR DAPAT MELUANGKAN MASA UNTUK MENGHADIRI MESYUARAT INI

ANTARA AGENDA MESYUARAT:

1) MEMBINCANGKAN PENERBITAN KARYA AHLI
2 KALENDAR AKTIVITI 2011

KERJASAMA DARI ANDA SEMUA AMATLAH DIHARGAI

Saturday, December 11, 2010

ILTIZAM MENYEMARAKKAN KECEMERLANGAN SASTERA

SAYA mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun, kerana mengilhamkan idea penganjuran sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 dan seterusnya sudi hadir menyempurnakan perasmian majlis itu, malah bersetuju pula memberikan sejumlah dana yang agak besar untuk merealisasikan pelaksanaan program berkenaan pada tahun ini dan insyallah pada tahun hadapan.

Idea dan ketelusan beliau dalam menyemarakkan sastera itu sesungguhnya merupakan iltizam yang sangat kuat dalam melestari dan meningkatkan kecemerlangan sastera yang pada tanggapan kita semua, merupakan satu bidang seni yang paling tua dan paling naluriah, yang dalam empayar besarnya tertakluk nilai-nilai kognitif, genius kolektif dan risalah peradaban bangsa yang besar.
Sastera itu sesungguhnya merupakan satu pengucapan bangsa yang tumbuh daripada bahasa dan keperluan untuk menyampaikan maknanya kepada masyarakat dan kecemerlangan sesuatu bangsa. Sastera itu sejarah, undang-undang, adat istiadat, kearifan lokal, lukisan jati diri dan kehidupan yang cantik dalam taman bahasa yang tercantik. Tidak mungkin kita mengenal diri, pencapaian dan kecangihan tamadun bangsa, jika sekiranya kita mengabaikan wadah yang mengandungi sebahagian besar diri dan jiwa bangsa itu.

Saya juga tidak lupa menyampaikan kalungan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang diterajui Datuk Rosmadi Datu Sulai, dan seluruh kakitangan di bawah LKNS yang bertungkus lumus menjayakan program berkenaan. Yang setelah berakhirnya majlis itu sempat membisikkan kepada saya bahawa selepas ini kita sesungguhnya mempunyai agenda, tanggungjawab dan tugas yang lebih besar lagi, dalam menyemarakkan dan mengangkat martabat sastera ke suatu tahap yang lebih tinggi dan cemerlang lagi di negeri kita ini.

Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli BAHASA di negeri Sabah sama ada jauh dan dekat, yang terlibat secara langsung atau tidak dalam majlis sayembara novel berkenaan, kerana memberi kekuatan kepada saya untuk mengemudi pertubuhan bahasa dan sastera yang terbesar di negeri Sabah ini. Sehingga kita mampu melibatkan diri dalam penganjuran program sastera yang besar dan menggerakkan aktiviti penulisan, seterusnya dapat mengangkat martabat bahasa dan sastera , serta penulisan di negeri kita ini ke suatu tahap yang tinggi dan bermaruah.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada para pemenang sayembara menulis novel anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan juga Badan bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang diadakan dalam satu majlis penuh gilang gemilang di Hotel Pasific Sutera pada malam jumaat lalu. Inilah pertama kali kita menganjurkan sebuah sayembara menulis novel yang menawarkan hadiah yang terbesar dan merupakan kemuncak kegiatan sastera yang diadakan di negeri Sabah pada tahun ini.

Walaupun tidak ada penerima hadiah pertama bernilai RM 10,000.00, sayembara itu tetap terlihat sebagai berprestij apabila Ruhani Matdarin, penulis muda yang mula mencipta nama di peringkat negeri dan kebangsaan, berjaya mendapat tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 7,000.00 melalui novelnya yang berjudul ‘Nesan’. Sementara Siti Rahmah G. Ibrahim berjaya mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.00 melalui novelnya yang berjudul ‘Muntio’. Bagi pihak penganjur sayembara berkenaan saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka.

Seterusnya tidak lupa diucapkan tahniah kepada lima pemenang yang berjaya meraih hadiah saguhati yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1,000.00 tiap seorang, iaitu Dr. Chacho Haji Bulah melalui novelnya yang berjudul ‘Kolam’, Emin Madi melalui novelnya yang berjudul ‘Nakad’, Norani Booh Abdullah melalui novelnya ‘Menambalang’, Dayangku Mastura Pg. Ismail melalui novelnya, ‘Merdekakan Cinta’ dan Badariah Arbin, melalui novelnya ‘Titian Muhibah’
Kepada mereka yang tidak berjaya, jangan berputus asa. Anggaplah kegagalan anda itu sebagai kemenangan yang tertangguh. Ingatlah bahawa penulis yang baik itu, adalah penulis yang sentiasa reda dengan pencapaiannya, dan sama sekali tidak berputus asa untuk memperbaiki kualiti karyanya dari semasa ke semasa.

Saya ditanya oleh seorang wartawan yang mahu mendapatkan kepastian berhubung dengan ketiadaan pemenang dan ketiadaan karya yang layak memenangi hadiah pertama. Begaitu juga saya ditanya mengenai ketiadaan penulis remaja yang menyertai program sayembara itu, walaupun pihak urus setia menyediakan hadiah untuk kategori novel remaja yang mesti disertai golongan remaja dalam lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun.
Tetapi, saya menjawab secara spontan bahawa banyak kreteria penilaian yang diambilkira dalam penilian novel yang menyertai sayembara itu, terutamanya dari segi teknik, bahasa, gaya persembahan, tema dan struktur. Jika diperhalusi lagi dari segi kekuatan tema misalnya, ia mesti merangkum persoalan kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang rencam di negeri Sabah, yang pastinya menawarkan pengalaman estetik kepada pembaca. Begitu juga dari segi kekuatan ilmu bantunya, yang mesti diolah melalui jalur penceritaan yang sekaligus memerikan segi galur emosinya, unsur tegangan, konflik dan sebagainya, yang bukan sahaja mendatar, malah turut menyerlahkan segi kekuatan pemikiran, falsafah, logig dan sebagainya.

Penilaian juga turut mengambil kira kekuatan bahasa novel-novel berkenaan, keindahan pengolahan bahasa, segi kreatuvitinya, unsur imaginatif dan keberkesanannya, panel turut melihat kekuatan sturktur dan teknik persembahannya. Malah turut diperhatikan perkembangan watak, plot, latar yang digabungjalinkan dalam hasil kreatif yang halus corak penulisannya, seterunya disampaikan dalam teknik persemabahan menarik dan memiliki unsur garda depan dari segi tekniknya dan segi pengolahan yang mendorong pembaca mengikutinya hingga ke penghujung cerita. Novel yang dihasilkan boleh bersifat konvensional, tetapi unsur tikaiannya atau jalinan ceritanya mestilah diasaskan kepada hukum sebab dan akibat yang munasabah, relevan dan mampu memancing minat pembaca untuk mereka membaca hingga di penghujung cerita.

Sebuah karya novel yang baik, pada tanggapan saya tidak terkecuali daripada dasar penilaian berkenaan. Walaupun saya secara spontan memberi jawapan kepada wartawan berkenaan, secara ringkas tentang hal-hal yang berkaitan dengan tema, teknik, bahasa dan sturktur penulisan, tetapi secara rinciannya faktor penilaian yang dinyatakan di atas sebenarnya saling berhubungan dan saling lengkap melengkapi dalam memberi tambah nilai terhadap sesebuah novel yang dihasilkan. Malah kesemua faktor itu sesungguhnya turut memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat serta keunggulan sesebuah novel, dan biasanya hanya penulis novel yang mahir serta berketrampilan sahaja yang mampu mengolah novel sedemikian rupa, sehingga karyanya itu dapat dipertanggungjawabkan kualitinya, seterusnya mewakili kekayaan pemikiran dan ketinggian akal budi bangsanya.

Daripada keseluruhan novel yang dinilai, terdapat beberapa kecenderungan penulis yang sangat dominan dalam pengkaryaan sama ada dari segi persoalan dan juga temanya. Hal yang berkaitan dengan persoalan masyarakat memang sering menjadi tumpuan penulis dalam pengkaryaan, kerana penulis juga adalah warga masyarakatnya. Justeru, isu-isu masyarakat sama ada berkaitan politik, ekonomi, agama dan budaya turut menyerlah dalam karya mereka, merangkumi ruang lingkup kehidupan manusia seterusnya menyerlahkan nilai-nilai kognitif, pemikiran, membantu usaha pembinaan sahsiah dan pengalaman estetik khalayaknya.

Tidak dinafikan terdapat beberapa novelis, yang mengangkat persoalan yang ringan berkaitan dengan kehidupan yang simplistik atau bergerak sehala, tetapi cerita sedemikiannya biasanya berakhir dengan kehambaran, kurang nilai sasteranya, tidak ada siratan falsafah, dan tidak ada gagasan besar untuk kemaslahatan peradaban bangsanya. Begitu juga dari segi struktur, jalur penceritaan, bahasa dan teknik persembahannya mestilah mempunyai kesatuan yang kukuh dan siginifikan, malah mesti wujud dalam satu keharmonian, jalur penceritaan yang terserlah keberkesanannya, asli, mengungkapkan daya kreativiti, imaginatif, atau secara luwes dan fasih menyerlahkan nilai-nilai keseimbangan dari segi strukturnya, teknik dan berupaya membawa kepelbagaian taakulan pembaca, bervisi dan bersifat garda depan, sehingga memikat minat pembacaan dari segi pengolahannya, dan juga secara konkritnya turut menyerlahkan aspirasi nasional, dinamika sosial dan isu kemanusiaan sejagat.

Jadi setelah penilaian dilakukan panel mendapati bahawa tidak ada sebuah karya yang layak diberikan hadiah pertama, tetapi insyallah pada tahun hadapan, bakal ada karya yang sesuai dengan kehendak penilaian, yang boleh meraih hadiah pertama, jika penulis prihatin dengan dasar penilaian kreatif berkenaan. Sementara itu berhubung dengan ketiadaan penulis remaja yang menyertai sayembara kategori remaja yang disediakan pihak penganjur, seperti yang dinyakan oleh Datuk Masidi Manjun sendiri, sedeikit sebanyak ia berkaitan dengan faktor masa, jangka masa penulisan yang sangat singkat, dan dilaksanakan pada ketika pelajar sedang sibuk mentelaah pelajaran dan kerja sekolah masing-masing. Tetapi saya berpendapat barangkali ia juga berkaitan kekurangan promosi di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negeri Sabah.

Tetapi pada tahun hadapan, insyallah saya mencadangkan agar dilibatkan beberapa orang pegawai tinggi daripada jabatan pelajaran sabah, yang bertanggungjawab dalam memastikan golongan remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi turut menyertai sayembara berkenaan. Saya juga mencadangkan supaya selain sayembara menulis novel, kita juga mesti mengadakan peraduan menulis cerpen dan puisi, kepada golongan remaja ini, supaya sambutan daripada golongan ini lebih terserlah.

Dalam pada itu, saya juga bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun, agar pada tahun hadapan semua peraduan atau sayembara penulisan kreatif dan non kreatif yang diadakan di negeri ini, disatukan majlis penyampaian hadiahnya , dalam satu acara yang gilang gemilang, di mana semua penulis boleh berhimpun secara besar-besaran dan segala anugerah diberikan kepada mereka, termasuk anugerah tokoh sasterawan, budaywaan dan aktivis sastera yang memperlihatkan komiten yang tinggi dalam bidang penulisan dan pengurusan sastera. Majlis itu bolehlah diadakan pada hujung tahun dan dihadiri oleh pelbagai lapisan penulis dan masyarakat di seluruh negeri ini.

Jasni Matlani

Thursday, December 9, 2010

penyampaian Hadiah Sayembara menulis novel Negeri Sabah Siri 1

Majlis penyampaian Hadiah Sayembara menulis novel Negeri Sabah Siri 1 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) akan diadakan pada 10 Disember 2010, bertempat di Ballroom 2 & 3, Level 2 HOTEL PACIFIC SUTERA, Kota Kinabalu. Bermula jam 7.30 malam. Para aktivitis sastera yang berada di sekitar Kota Kinabalu, jemputlah hadir bagi memeriahkan majlis, masuk percuma.

Harap maklum.

CABARAN MEMPERKASAKAN GOLONGAN BELIA DAN PENULIS MUDA

SAYA tertarik dengan ungkapan Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd Arif semasa berucap dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang baharu berakhir pada jumaat lalu yang antara lain menyebutkan. “Tanda-tanda kegagalan sebuah bangsa itu apabila bangsa berkenaan gagal membina orang mudanya dan tanda-tanda kekalahan sebuah bangsa ialah apabila pemimpinnya kalah dalam membentuk orang mudanya”.

Ucapannya yang bertemakan orang muda dan kemakmuran negara itu turut menegaskan bahawa terdapat dua kekuatan golongan muda yang perlu diberikan perhatian iaitu kekuatan membangun dan juga kekuatan untuk meruntuhkan. Tetapi tentulah semua pihak berkehendak agar belia dapat menyumbang ke arah pembangunan dan bukannya meruntuhkan.
Justeru itu golongan belia mesti diperkasakan dan digilap potensinya, dibentuk akidahnya, disemai ketinggian nilai akhlak, keperibadian yang mulia, dibina kemantapan ilmu serta semangat juang dalam membina masa depan diri, keluarga dan bangsanya. jika ini dapat dilakukan denga baik dan cemerlang sudah pasti negara mampu menjana kemajuan dan kemakmurannya.

Bagaimana pun jika golongan belia atau ‘orang muda’ ini dibiarkan tanpa diberikan perhatian yang sewajarnya, sudah tentu ia akan memudaratkan masa depan sesuatu bangsa, malah tidak, mustahil pula akan memandu negara ke arah kehancuran.
Sebab itu seorang novelis China yang terkenal Ba Jin mengatakan, belia adalah harapan manusia. Ba Jin tidak mengharapkan untuk orang tua mencapai apa-apa, sebaliknya beliau meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada orang muda. Suatu ketika apabila beliau berceramah kepada sekumpulan anak muda dalam sebuah majlis di Tokyo pada musim bunga yang disirami cahaya matahari yang lembut, Ba Jin memberi tahu kumpulan anak muda itu bahawa apa yang paling menyeronokkannya ialah apabila beliau melihat perkembangan spiritual anak muda. “Belia adalah harapan manusia” katanya dengan penuh semangat, yang kemudiannya disambut dengan tepukan bergemuruh sehingga keluar dari dewan perhimpunan.

Sebenarnya Ba Jin mengenali kata-kata keramat itu buat pertama kalinya daripada Bartolomeo Vanzetti, seorang lelaki yang tidak bersalah, tetapi keputusan bersalah dijatuhkan ke atasnya dalam perbicaraan pembunuhan yang bermotifkan politik di Amerika Syarikat yang menggemparkan seluruh dunia pada tahun 1920-an. Sungguhpun banyak rayuan dilaungkan di seluruh dunia yang meminta supaya dia dibebaskan, tetapi hukuman mati akhirnya dilaksanakan juga.

Sebagai seorang pelajar di Paris ketika itu Ba Jin berutus-utus surat dengan Vanzetti dan bersimpati terhadap nasib yang menimpa dirinya. Pada ketika itu juga, beliau memberitahu dunia supaya generasi akan datang tidak melakukan kesilapan yang sama. Walau apa pun alasannya, beliau meminta agar generasi akan datang tidak melakukan kerja bodoh dan jahil yang sama dan tidak bertamadun itu berulang kali.
Kata Daisaku Ikeda dalam sebuah bukunya yang berjudul “Pertemuan Yang Indah”, dalam sejarahnya Ba Jin, beliau pernah dilayan dengan begitu mengaibkan di negaranya. Beliau diseksa dengan penuh kepahitan dan dilayan dengan kejam. Beliau dicerca sebagai seorang reaksioner dan dilabel sebagai “Ketua Mafia dunia penulisan”. Rumahnya digeladah oleh Pengawal Merah dan isterinya dipukul dan dibelasah dengan kejam. Disabitkan kesalahan sebagai ‘Haiwan dan Syaitan”. Musuh kelas pertama yang dibenci di China. Ba Jin diletak dalam penjara, terasing dan diseksa sepanjang masa. Beliau dihina, dicerca dan dikutuk di hadapan perhimpunan umum yang besar, dipaksa membuat pengakuan kepada jenayah yang beliau tidak pernah lakukan.
Penanya di rampas. walaupun bagi seorang penulis yang tulen pena adalah sebahagian daripada nyawanya, tetapi ia telah diragut dengan kejam daripada kehidupannya. Sebagai tambahan, isterinya, satu-satunya tempat beliau bergantung hidup juga diseksa dengan kejam. Apabila isterinya jatuh sakit, dia dilarang daripada menerima sebarang rawatan atas dasar dia adalah isteri kepada seorang ‘rumpai beracun’ yang sangat berbahaya iaitu Ba Jin. Akhirnya dia dimasukkan juga ke hospital, tetapi itu sudah terlambat, dan dia meninggal dunia tiga minggu kemudian.
Sesungguhnya pihak berkuasa merampas segala-galanya daripada Ba Jin- isterinya yang terinta, pekerjaannya. Malah mereka cuba merampas dan merosakkan darjatnya sebagai seorang manusia. Namun apabila keadaannya menjadi semakin buruk, beliau masih mampu melaungkan, “sebagai orang muda, saya akan tunjukkan bagaimana saya akan terus hidup. Ada sesuatu yang tidak boleh diambil atau dirampas kekejaman dan keganasan daripada orang muda iaitu api yang membara di jiwa manusia, api yang akan terus menyala dengan lebih terang dan lebih berani apabila pihak berkuasa cuba memadamkannya”

Jadi jangan sekali-kali ada di antara kita yang cuba bermain-main dengan emosi, perasaan dan kebijaksanaan orang muda. Ini termasuklah golongan penulis. Saya masih ingat pada zaman remaja saya dahulu, saya adalah antara segelintir penulis muda yang pada anggapan sesetengah orang tua ketika itu sebagai penulis yang ‘Panas baran’ dan lebih menyedihkan lagi ada di antara mereka yang menganggap saya sebagai monyet yang menggigit tangan manusia yang menyuapkan pisang kepadanya. Saya masih ingat kata-kata itu sehingga sekarang, dan saya tidak tahu, bagaimana dunia ini dipenuhi oleh manusia yang mengatakan diri mereka sebagai berpengalaman, banyak makan garam daripada orang muda, tetapi sebenarnya membunuh bakat dan kebolehan orang muda dalam banyak cara.

itu saya masih ingat, saya memperjuangkan nasib penulis di negeri Sabah yang tidak mendapat perhatian pelbagai pihak, apatah lagi pihak kerajaan dan agensinya yang berlambak di sana sini. Jauh sekali daripada memberikan dana kepada gerakan penulis muda ketika itu, mereka juga seolah-olah menganggap golongan muda ini sebagai lalang yang perlu dicantas kerana hanya merosakkan kehidupan mereka. Mereka tidak mahu mendengar suara anak muda yang berbeza daripada suara mereka yang kononnya sudah establish ketika itu.

Mereka juga memperlekehkan penulis muda dalam banyak cara, termasuk menutup pintu peluang kepada mereka untuk maju dalam bidang penulisan, tidak memberi dana untuk melaksanakan kegiatan dengan pelbagai alasan yang sama sekali tidak munasabah. Mereka menindas dan menidakkan kebolehan penulis muda. Mereka melumpuhkan semangat mereka sama ada dari segi penebitan karya, apatah lagi dari segi pengiktirafan ketika itu.

Tetapi mujurlah bagi saya, dunia penulisan pada ketika itu saya anggap sebagai sesuatu yang saya mesti lakukan secara serius di dalam kehidupan saya, walau apa pun halangannya. Saya bertekad di dalam diri saya, ke mana pun saya terlontar dalam kehidupan ini, saya mesti tidak melupakan anugerah yang diberikan Tuhan kepada saya ini iaitu ‘kebolehan menulis’. Menulis bagi saya adalah perkara serius dalam mana seseorang itu harus mengetahui bahawa setiap kata, atau setiap ayat yang ditulis itu adalah anugerah Tuhan yang menjadi sebagai tandatangan zamannya.

Tuhan telah menentukan takdir ini untuk saya. Sebab itu saya terus menulis, pada ketika ramai di antara sahabat saya yang lain terpaksa mengaku kalah dan meninggalkan bidang penulisan, kerana layanan pelbagai pihak yang tidak memberi keuntungan kepada golongan muda ketika itu. Saya masih berdiri dengan teguh. Menyalakan obor, walaupun ada pihak yang dengan angkuhnya cuba memadamkan obor berkenaan.

Sekarang saya melihat terdapat kesedaran pemimpin dan kerajaan dalam menilai kembali peranan dan sumbangan orang muda (khususnya penulis muda) kepada bangsa dan negara selama ini, termasuk memberikan peruntukan yang besar kepada golongan muda dalam agihan belanjawan negara. Tetapi apakah agihan peruntukan belanjawan ini sampai kepada sasarannya? Kadang-kadang kita dengan mudah mengumumkan sesuatu untuk kepentingan tertentu, tetapi pada masa yang sama kita membina tembok birokrasi yang sangat tinggi untuk menghalang daripada dana itu sampai ke sasarannya.
Inilah cara yang kita amalkan sejak dahulu lagi dan menjadi sebahagaian daripada budaya kita dalam melayan orang muda. Kita tidak memberikan penghormatan dan kemuliaan yang sewajarnya terhadap orang muda, termasuk golongan penulis, tetapi saya mengharapkan cerita seperti itu akan berakhir dengan begitu cepat. Kerana kita semua mengharapkan sesuatu dilakukan untuk orang muda. Justeru itu saya berharap agar kerajaan melihat juga, seterusnya menilai kembali sumbangan penulis muda di negara ini dan di negeri Sabah khasnya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar generasi muda supaya tidak membiarkan diri mereka terikat dengan kumpulan-kumpulan yang berkepentingan tersendiri dan jangan ada di antara pemimpin muda negara ini yang membiarkan diri mereka dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tetapi, eloklah kita mendekati golongan muda ini dan memahami keperluan mereka sebelum kita mendapati mereka sudah berpatah arang dengan kita dan dengan kerajaan, sehingga tindakan sedemikian memusnahkan kerajaan dan negara.

Pemimpin muda boleh dilentur, tetapi apakah cara yang kita gunakan untuk melentur mereka. Kita boleh menggerakkan tenaga mereka ke arah mencadangkan jalan-jalan penyelesaian isu-isu yang relevan yang boleh menjana negara ke arah Malaysia maju. Tetapi pada masa yang sama juga kita mesti menyediakan dana untuk mereka bergerak dan membina hala tuju mereka dan seterusnya hala tuju bangsa dan negara.
Dana ini mesti diberikan tanpa halangan birokrasi yang sangat kompleks, tetapi biasanya kita terlalu berprasangka kepada orang muda dari segi pengunaan dan pengurusan dana, sedangkan pada masa yang sama kita menagih sokongan mereka, kita menagih kecemerlangan mereka. Jadi adalah tidak adil kita menuntut kecemerlangan belia dalam bidang penulisan misalnya, tetapi kita kedekut untuk membiayai program mereka.

Kerajaan mengumumkan peruntukan 1 bilion untuk pembangunan belia sekali pun, tetapi jika sumbangan itu tidak sampai di peringkat akar umbi dan tidak menepati sasarannya. Maka ia adalah pengumuman yang tidak berguna.
Seringkali juga kita mendengar pemimpin muda dituntut agar bertindak dengan cara yang progresif dan bercirikan sikap yang betul di mana mereka meluahkan potensi yang setimpal untuk kemajuan ekonomi, sosial, politik, agama, pelajaran dan sebagainya serta mempergunakan tenaga dan hasrat murni mereka dalam membina bangsa dan negara. Mereka dituntut agar memberikan sumbangan yang positif dan menjadi teras kepada pembangunan negara, kerana golongan muda ini kononnya adalah orang penting yang bertindak sebagai pemikir, penaksir, moderator dan egen dalam mencapai standard modal insan yang berfikiran positif selari dengan kemajuan dunia. Tetapi eloklah kita menilai kembali, segala apa yang kita berikan kepada golongan belia dan penulis muda khasnya, untuk memajukan dirinya dan seterusnya dalam memperksakan bangsa dan negara.

Jasni Matlani

Wednesday, December 8, 2010

Dialog Teluk Miri

Para sahabat khasnya yang mewakili pertubuhan sastera yang akan menghadiri acara DIALOG TELUK di Miri pada 17-19 Disember. Mohon hantar perkara-perkara berikut untuk makluman panitia yang serba kekurangan mengurus dan mengatur acara ini.
1. Senarai nama peserta, lelaki dan perempuan dan jumlah dari setiap pertubuhan yang ada dan juga nama ketua deligasi masing-masing.
2. Kalau menggunakan penerbangan, sila maklumkan tarikh tiba, waktu, dan no penerbangan supaya dapat diatur pengangkutan yang kami mampu buat.
3. Nyatakan nama pemakalah, tajuk makalah, dan emelkan kepada saya(pnbisaya@yahoo.com) atau salinan kepada beberapa kerabat PUTERA yang dianggap penting. Panjang makalah dalam 20 -25 halaman seperti mana yang dinyatakan dalam jemputan pemakalah. Ini bagi pertubuhan yang dijemput untuk menyediakan makalah.
4. Hal-hal asas ada di dalam brosur yang dikirimkan kepada pihak tuan sebelum ini.
5. Setiap pertubuhan menyediakan sebuah persembahan untuk diselitkan dalam acara yang akan dikendalikan oleh Urus Setia sama ada 17 atau 18 Disember malam. Persembahan tiada honorarium kepada yang berkenaan, hanya sumbangan bersama menjayakan acara ini.
Catatan ringkas yang diterima bagi penyertaan.
a. PENA -akan menghantar 5 orang wakil.
b. ASTERAWANI - 30 orang peserta, akan menginap di tempat lain.
c. WARISMU(Mukah) - 4 orang peserta.
d. PERWILA Labuan - 5 orang peserta.
e. PEKASA Kuching - 5 orang. peserta.
f. APL Limbang - BELUM ada maklumat.
g. BAHASA Sabah - 30 orang peserta.
h. IPS Sabah - BELUM ada maklumat.
i. GAPENA - belum ada maklumat.
j. Perwakilan yang ditaja oleh jabatan seperti DBP Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur atau agensi lain mohon mengurus perjalanan, penginapan ke sini secara persendirian. Namun pengangkutan dari lapangan terbang ke penginapan akan PUTERA usahakan.
*** PUTERA sendiri menyediakan sekitar 25 orang ahli dan Urus Setia menguruskan acara ini. Kita mengganggarkan sekitar 100 orang peserta akan menyertai acara ini. Keutamaan adalah peryertaan melalui pertubuhan sastera wilayah masing-masing. Pendaftaran bermula pada 17 Disember jam 0200 petang-06.00 petang di Hotel Telang Usan, Jalan Airport, Miri, Sarawak.

Sekian, mohon semua yang berkenaan bagi mengetuai deligasi masing-masing mengurus penyertaan ahli tuan puan ke acara ini supaya pendaftaran berjalan lancar. Hubungi saya Poul Nanggang, Pengarah Pertemuan di emel ini atau talian telefon 013- 843 5426 sekiranya memerlukan bantuan atau apa-apa yang amat diperlukan.

Salam sastera

Monday, December 6, 2010

CATATAN YDP

HADIAH CERPEN SEDCO-BAHASA KE 2
KOMITMEN SEDCO MEMBANTU MELESTARIKAN SASTERA DAN BUDAYA

KADANG kala suatu tindakan kecil yang kita lakukan hari ini sebenarnya merangkum dengan kukuh drama kehidupan yang tiada penghujungnya. Kata-kata ini bermain di dalam minda saya selepas mendengar ucapan Pengerusi SEDCO Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, semasa majlis penyampaian Hadiah Penulisan Cerpen SEDCO-BAHASA dan pelancaran buku Antologi Cerpen ‘Emas Hitam’ yang berlangsung di dewan Kimanis ballroom Hotel Hyatt Kota Kinabalu beberapa hari yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin menyebutkan, walaupun SEDCO dan Cement Industries (Sabah) yang menaja hadiah berkenaan adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjana ekonomi negeri Sabah khususnya dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya dan bukan sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam mengimarahkan bidang sastera, tetapi komitmen yang ditunjukkan pihak SEDCO dalam membantu melestarikan bidang sastera dan budaya sesungguhnya perlu membuka mata pelbagai pihak, terutama agensi yang berkaitan supaya lebih prihatin dalam mengangkat martabat sastera, bahasa dan budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

Kalau pihak SEDCO boleh membiayai peraduan menulis cerpen yang bertemakan penglibatan kaum Bumiputera negeri Sabah dalam bidang perniagaan, supaya masyarakat mendapat gambaran yang jelas tentang pengalaman hidup yang pernah dilalui golongan peniaga Bumiputera, penglibatan dan pahit maung dalam dunia perniagaan, seterusnya usaha gigih mereka untuk dijadikan panduan bagi mengapai cita-cita dalam bidang perniagaan pada masa depan. Maka, tidak mustahil pihak lain juga boleh melaksanakan program seumpamanya bersesuaian dengan dasar dan asas penubuhan agensi dan syarikat itu.

Malah mungkin terdapat bidang yang perlu diterokai kaum golongan Bumiputera, yang diungkapkan dalam karya sastera boleh diterokai atau dijadikan garis panduan untuk maju dalam bidang perniagaan. Kerana di Barat sendiri, sudah terdapat kecenderungan di mana karya kreatif yang dihasilkan akhirnya dipelajari tokoh motivasi, ahli perniagaan, saintis dan para angakaswan. Suatu ketika saya masih ingat istilah DNA belum diketahui sehinggalah ia disebut dan dihuraikan secara saintifik dalam novel ‘Jurassic Park’ yang kemudiannya difilemkan. Sehingga hari ini istilah itu popular digunakan dalam bidang sains di seluruh dunia.

Begitu juga suatu ketika para sintis mempelajari penerokaan angkasa lepas, dengan merujuk kepada novel yang ditulis berkaitan dengannya dan menggunakan istilah-istilah baharu, yang digunakan para penulis di dalam novel berkenaan. Sementara, banyak kisah berkaitan perundangan dan pengamal undang-undang ditulis John Grisham yang kemudiannya dirujuk masyarakat antarabangsa seperti dalam novel The Chamber, The Client, the Runaway Jury, The Partner, The Testament dan banyak lagi.
Justeru, usaha pihak SEDCO untuk mencungkil bakat penulis dan menggerakkan mereka menulis tentang bidang keusahawanan dalam karya kreatif tidak musthail mampu membantu agensi berkenaan mengenal pasti sepak terjang dunia perniagaan dan masalah yang sering dihadapi usahawan Bumiputera dalam memajukan bidang perniagaan dalam kalangan mereka. Tidak mustahil juga akan terdapat ruang yang baharu yang boleh diterokai, atau ada istilah baharu dalam bidang perniagaan yang selama ini tidak diketahui dapat diserlahkan melalui karya kreatif yang dihasilkan para penulis negeri ini. Kerana kita perlu ingat bahawa penulis itu adalah pemikir dan pendahulu zamannya, penulis adakalanya lebih terkehadapan dari segi idea, dan masyarakat akhirnya hanya mengikuti dan memperhalusi idea berkenaan terutama dari segi pelaksanaannya.

Jadi hubungan timbal balik antara penulis dan masyarakat sesungguhnya sangat penting dan tidak wajar dipandang remeh begitu sahaja. Dalam kehidupan kreatif itu, tidak kira betapa hebat sekalipun karya yang dihasilkan, jika karya itu tidak membangunkan kehidupan manusia dan mempunyai hubungan timbal balik dengan manusia atau masyarakat sekelilingnya pada tahap yang paling asas, adalah sukar untuk kita menyatakan bahawa kita sudah mencipta sebuah karya hebat yang dapat menyentuh hati nurani manusia. Kerana mencipta karya sastera adakalanya seperti menggali ke dalam hati nurani sesuatu bangsa. Ekspresi emosi yang ikhlas dan dekat dengan jiwa masyarakat, itulah ramuan-ramuan yang pada akhirnya membangunkan kehidupan manusia.

Karya sastera, pada satu tahap, bukan hanya untuk keseronokan, tetapi adalah media yang berkesan dalam menangani perubahan dan menyampaikan harapan, visi serta cita-cita besar yang tersemat dalam hati nurani manusia. Karya sastera harus membuatkan manusia merasakan bahawa hidup ini indah dan bermakna. Ia harus memberikan inspirasi dan mendorong mereka untuk bergerak ke hadapan dan mempercayai bahawa mereka mampu mencapai sesuatu yang lebih hebat untuk diri, bangsa dan negara mereka. Selaras dengan falsafah bahawa karya sastera itu adalah kehidupan dan memimpin pembangunan kehidupan yang tiada henti-hentinya.

Bagi pihak Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), dengan penuh keikhlasan, saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Sementara, kepada mereka yang tidak berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai suatu kejayaan yang tertangguh. Insy-Allah pada tahun hadapan, Hadiah Penulisan Cerpen SEDCO-BAHASA ke 3 akan diadakan lagi. Malah jika kita mendapat sumbangan dana yang lebih besar, agihan hadiahnya mungkin dapat diperbanyakkan lagi, bagi memberi peluang lebih ramai penulis muda mendapat manfaat daripadanya dan terlibat dalam bidang penulisan.

Seperti yang ditegaskan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd Arif, dalam majlis yang sungguh meriah dan mendapat sambutan itu, kita memang perlu menghidangkan bahan-bahan bacaan yang berkualiti kepada generasi muda dan pada masa yang sama kita perlu melibatkan lebih ramai generasi muda terlibat dalam bidang penulisan, daripada hanya membiarkan mereka terjebak dalam kegiatan yang tidak berfaedah dan merugikan masyarakat dan negara. Justeru itu, peruntukan RM 201.81 juta yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman baru-baru ini, bagi pembangunan belia di dalam bajet negeri Sabah 2011, mestilah turut disalurkan kepada badan-badan sastera yang aktif memperkasakan keterlibatan generasi muda dalam bidang penulisan seperti yang diterajui Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

Malah, sudah tiba masanya kerajaan negeri menyediakan dana khas dalam bentuk grant kepada semua persatuan penulis di negeri ini, bagi membolehkan setiap persatuan penulis berkenaan terus aktif untuk mengimarahkan kegiatan bahasa dan sastera di tengah-tengah masyarakat. Sepatutnya persatuan penulis ini tidak tidak lagi perlu bersusah payah memohon bantuan kewangan daripada kerajaan apabila hendak menganjurkan pelbagai kegiatan, yang kebiasaannya ditolak dengan pelbagai alasan oleh menteri dan malah pegawai tinggi kerajaan yang berkaitan.

Jika persatuan ini benar-benar aktif dan memberi sumbangan yang bermakna dan bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan segala dasar kerajaan untuk membangunkan generasi muda dan rakyat negeri ini secara amnya, maka tidak salah jika kerajaan memberi keutamaan kepada mereka dalam konteks pemberian grant. Tidak seharusnya terlalu banyak birokrasi dan prasangka diberikan kepada persatuan penulis untuk membangunkan bidang penulisan negeri ini, kerana berdasarkan rekod, badan BAHASA misalnya menganjurkan berpuluh-puluh program penulisan setiap tahun, yang sebahagian besar dilaksanakan dengan jayanya, sehingga kita berupaya menyemarakkan sastera dalam kalangan generasi muda, seterusnya berjaya memasyarakatkan bahasa dan sastera di negeri ini.

Malah BAHASA turut berperanan dalam perkembangan sastera kebangsaan apabila peneraju BAHASA di negeri ini turut dipilih duduk dalam jawatankuasa kerja Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), bagi mewakili Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang dapat dianggap sebagai suatu pencapaian tertinggi yang pernah berlaku dalam sejarah kepimpinan BAHASA, sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu. Malah suara kita turut diperhatikan dan diberikan pertimbangan yang sewajarnya di peringkat kebangsaan, apabila kita memperjuangkan hak penulis negeri ini di peringkat kebangsaan.

Namun realitinya, seperti yang saya tegaskan dalam ucapan alu-aluan majlis penyamapaian Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA dan seterusnya pelancaran buku Antologi Cerpen ‘Emas Hitam’ yang memuatkan karya para penerima Hadiah penulisan berkenaan, kita mestilah bersedia berbelanja besar untuk melahirkan penulis bertaraf Asia dan dunia, sama ada hasil sumbangan kerajaan negeri dan persekutuan serta pihak swasta seperti yang dimainkan oleh pihak SEDCO dan anak syarikatnya cement Industries (Sabah).

Sebagai analogi, kita tidak mungkin melahirkan juara Asia dalam bidang sukan yang berupaya memenangi pingat emas di peringkat saingan yang tertinggi, seperti sukan Asia dan Olimpik, jika kita sekadar berbelanja dua atau tiga ribu untuk pembangunan ahli sukan itu. Tetapi kita melabur ratusan ribu ringgit dan malah jutaan ringgit untuk melatih mereka dalam negara dan di luar Negara. Kita juga mengeluarkan bajet besar untuk menyediakan pelbagai kemudahan prasarana, memberikan elaun intensif kepada mereka. Jadi hal yang sama juga kita perlu lakukan dalam membangunkan bidang sastera, bahasa dan budaya kita di negara ini.

Justeru itu BAHASA berharap peruntukan besar disalurkan untuk pembangunan penulis, khususnya pembangunan penulis muda sejajar dengan matlamat matlamat Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif untuk menjadikan Sabah sebagai dataran ilmu dan dataran budaya yang terkemuka di rantau ini dan malah di peringkat dunia.
Sekali lagi saya hendak menegaskan bahawa usaha SEDCO melestarikan bidang sastera dan budaya melalui penganjuran peraduan Menulis Cerpen SEDCO-BAHASA itu tidak kecil impaknya kepada pembanguan penulisan kreatif terutama dalam kalangan generasi muda. Malah ia juga turut menyumbang dalam konteks penerbitan karya-karya yang menyerlahkan penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perniagaan. Semoga program ini akan berterusan pada masa akan datang dan terus mendapat suntikan daripada syarikat swasta yang lain dan juga agensi kerajaan yang berkaitan di negeri Sabah ini.

JASNI MATLANI

Saturday, December 4, 2010

CATATAN YDP

1) PADA 3O Nov 2010 yang lalu, tentu terpahat sejarah dalam tinta sastera Sabah apabila Para pemenang Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA ke 2 menerima hadiah masing-masing dalam satu majlis yang meriah dan berprestij bertempat di Kimanis Ballroom hotel Hyatt Kota Kinabalu. Majlis itu disempurnakan oleh pengerusi SEDCO merangkap Penasihat BAHASA, Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd Arif. Dan turut dihadiri oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan seperti Pengerusi Lembaga kebudayaan Negeri Sabah, Datu Rosmadi Sulai, Pengarah DBP Sabah, Encik Zubadi Abbas, Pegawai Tinggi SEDCO, pengurus Besar Sabah Urban Development Corporatin (SUDC), pegawai tinggi Cement Indutries Sabah, Timbalan pengarah Kastam Negeri Sabah Encik Janathan Kandok, Pengarah Penjara Kota Kinabalu, Tuan Suria Idris, ketua Satu Ikatan Penulis sabah (IPS) Encik Sukor Usin dan ramai lagi.

Majlis itu juga mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan penulis, aktivis sastera, budayawan, para peminat sastera di sekitar Kota Kinabalu.alah ada yang dating dari jauh, seperti Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, beaufort, Membakut, Papar dan beberapa daerah lain yang berdekatan.
Bagi pihak BAHASA saya ucapkan tahniah kepada para pemenang iaitu Ruhaini Matdarin yang menang hadiah pertama melalui cerpennya ‘Emas Hitam’ dan Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,000.00, hajah Rubiah Nordin dengan cerpennya berjudul ‘Nasi Lemak’ di tempat kedua dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 700.00 sementara Siti Rahmah G. Ibrahim di tempat ke 3 dengan nilai hadiah RM 500.00.
Sepuluh pemenang lain yang masing-masing menerima RM 200.00 setiap satu ialah Marlaya baluk melalui cerpennya ‘Rogio-rogian’, Dayangku Mastura Pg. Ismail dengan cerpen ‘Bukan Mimpi’, Badariah Arbin dengan cerpen ‘Semanis Madu’, faridah Abdul Hamid dengan cerpen ‘Simpang Niaga’, Mad Sakiran Sulaiman dengan cerpen ‘Metamorfosis’ Martinah Obod dengan cerpen ‘Sehelai Daun Sirih’, Khair Hudsufi @ Ehsan Nawawi dengan cerpen ‘Tasik Bendang’, Siti Aisyah Mat Saad dengan cerpen ‘Apabila Rembulan Berjaga’, Norlie Masrin dengan cerpen ‘Pesta’ dan katherina Tati dengan cerpen ‘Bukan Sekadar Impian’.

Hadiah bagi saguhati walaupun sebelum ini dihadkan kepada hanya 6 orang sahaja dengan nilai hadiah RM 300 setiap satu yang keseluruhannya berjumlah RM 1,800.00. Tetapi pihak penganjur kemudian bersetuju menaikkan hadiah saguhati kepada RM 2,000.00 tetapi dengan syarat lebih ramai pemenang yang mendapat hadiah berkenaan iaitu seramai 10 orang. Justeru hadiah telah diagihkan secara sama rata kepada RM 200.00 tiap seorang. Tetapi insyallah pada tahun depan, jika BAHASA mendapat dana yang lebih besar kita akan perbaiki segi jumlah pemberian hadiah ini. Saya harap semua penulis terus aktif menulis, menghasilkan cerpen yang lebih bermutu pada tahun hadapan. Kepada mereka yang tidak Berjaya, jangan berputus asa. Adat pertandingan memang ada yang menang dan ada yang kalah, tetapi anggaplah kekalahan anda itu sebagai kemenangan yang tertangguh.

Saya juga suka mengingatkan jika sekiranya peraduan manulis cerpen SEDCO-BAHASA ini masih wujud pada tahun depan, jika anda berhasrat menyertai dan memenangi hadiah, selain daripada menghasilkan cerpen yang bermutu, sama ada dari segi olahan, teknik, bahasa, strukturnya, cerpen anda juga mesti menepati tema peraduan yang biasanya berkaitan dengan penglibatan usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan. Ini penting supaya matlamat kita menganjurkan peraduan ini tercapai.
Saya bagi pihak BAHASA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penaja, iaitu Sabah Economy Development Corporation (SEDCO) dan anak syarikatnya kerana menaja Hadiah ini. Terima kasih juga kepada kepada seluruh ahli BAHASA yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

2) Untuk makluman, datuk datin tuan puan, para penulis sekalian, majlis penyampaian hadiah Sayembara menulis novel Negeri Sabah Siri 1 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) akan diadakan secara gilang gemilang di tempat yang baharu iaitu di Ballroom 2 & 3, Level 2 hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu. Tarikh tidak berubah iaitu pada 10 Disember 2010. Bermula jam 7.30 malam. Sila maklum dan datanglah beramai-ramai. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan alam sekitar Sabah, Datuk Masidi manjun. Hadiah yang bakal dimenangi ialah RM 10,000 untuk tempat pertama, RM 7,000 untuk tempat kedua, RM 5,000 untuk tempat ketiga. Seterusnya 5 hadiah saguhati bernilai RM 1,000 setiap satu.
Saya bagi pihak BAHASA mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan diharapkan ini akan menyuntik semangat para penulis negeri ini untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan mengangkat taraf sastera ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Saya juga memohon ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah turut menghadiri majlis ini dan semua ahli jawatankuasa tertinggi BAHASA turut membantu kerja-kerja fasa akhir majlis yang terbesar untuk sastera Sabah pada tahun ini. BAHASA juga insyallah mencipta sejarah sekali lagi dengan kejayaan penganjuran majlis berprestij ini.

Sekali lagi tahniah kepada para pemenang dan Terima kasih juga dipanjangkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, yang membantu merealisasikan dan membiayai segala dana dan hadiah sayembara ini. Terima kasih juga kepada yang berhormat Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang mencetuskan penganjuran hadiah novel ini di Dewan Undangan Negri Sabah dan seterusnya menjadi realiti pada tahun ini. Semoga sastera kita akan terus maju di persada negara yang tercinta ini.
Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan kita di Sarawak yang ramai (4 orang) di antara mereka yang memenangi hadiah Sastera Perdana Malaysia. Entah apa jadahnya, penulis Sabah tidak tersenarai seorang pun pada Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18 ini. Barangkali kerana tidak ada seorang wakil pun penilai atau panel hakim yang datang dari Sabah berbanding dengan Sarawak? Atau entah apa? Saya masih berfikir bahawa sastera Perdana MALAYSIA mesti mengambil kira penulis yang datang dari seluruh negeri-negeri di MALAYSIA dan bukan dari lubuk-lubuk tertentu sahaja. Jika pemenang dari lubuk-lubuk tertentu sahaja, maka buanglah perkataan MALAYSIA itu. Berilah nama baru ‘HADIAH SASTERA PERDANA DBP’ misalnya atau nama lain yang setara dengannya. Janganlah apabila tidak tersenarai nama-nama penulis dari Sabah, baharulah kelam kabut kita nak mencari karya para penulis Sabah yang tersiar dalam pelbagai media selama ini untuk dinilai pada tahun hadapan. Maknanya hadiah sastera perdana MALAYSIA itu tidak menyeluruh. ADA karya yang terlepas pandang, terutamanya dari Sabah. Kasihan para penulis SABAH. Sentiasa melukut di tepi gantang, dan sentiasa tersisih dari arus perdana sastera kebangsaan. Nasiblah kerajaan negeri dan beberapa agensi kerajaan dan swasta , masih prihatin terhadap penulis Sabah. Kalau tidak, sudah lama sastera Melayu BERKUBUR TANPA NISAN DI NEGERI SABAH YANG MAKMUR INI.

Jasni Matlani

Friday, December 3, 2010

Buletin Sastera

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH CERPEN SEDCO-BAHASA DAN PELANCARAN BUKU CERPEN EMAS HITAM





Pada 30 Disember lalu, bertempat di Ballroom Kimanis, Hotel Hyaat Kota Kinabalu, Majlis Penyampaian Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA dan Pelancaran buku kumpulan cerpen EMAS HITAM telah di sempurnakan dengan jayanya oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif, Pengerusi SEDCO Merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP. Majlis tahunan anjuran SEDCO-Cement Industri dan BAHASA itu turut dihadiri oleh Pengurus besar Cement Industri, Pengarah DBP, Pengarah Penjara Kota Kinabalu, Timbalan Pengarah Kastam, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan dan Kesenian Sabah, pegawai-pegawai DBP dan para pengiat sastera.



Tahniah kepada para pemenang, terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa BAHASA yang telah menjayakan majlis ini, jauh dan dekat, sama ada yang telah menyumbang kudrat atau memberi sokongan moral.

+ nantikan catatan ekslusif YDP+

RM