Wednesday, April 21, 2010

PETIKAN UCAPAN DATUK HAJI MOHD ARIFIN MOHD. ARIF

PETIKAN UCAPAN PERBAHASAN
YANG BERHORMAT DATUK HAJI MOHD ARIFIN MOHD. ARIF
SEMPENA PERSIDANGAN
DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
15-22 APRIL 2010


Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahirrahmaan Nirrahim.

Tuan Spekar

TERLEBIH saya merakamkan sejambak budi dan semerbak kasih di atas ucapan dasar yang disampaikan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah.

Saya dengan ini memohon keizinan untuk menggambil bahagian dalam perbahasan ini dengan bercakap tentang konsep “Pelancongan Ilmu”.

Tuan Speker,

Dalam konteks ini izinkan saya mencadangkan agar kerajaan negeri melakukan transformasi dengan menjadikan negeri Sabah ini sebagai ‘Dataran ilmu’ yang penting di rantau ini.

Baru-baru ini, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), telah pun merayakan sambutan 40 tahun BAHASA, di mana kita telah pun diingatkan, tentang kejayaan kita mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu di negeri kita ini. Kita menggunakan bahasa Melayu di dewan yang mulia ini juga adalah kerana perjuangan Badan BAHASA pada awal tahun 1970-an dahulu, sehingga bahasa Melayu diwartakan sebagai bahasa yang kita gunakan dalam dewan yang mulia ini. Kemudian pada 16 September 1973, bahasa Melayu akhirnya telah diisytiharkan sebagai bahasa rasmi di negeri Sabah. Penerimaan masyarakat pelbagai suku kaum negeri kita terhadap bahasa Melayu juga akhirnya memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri kita, sehingga perpaduan yang kita ada ini, menjadi contoh terbaik dalam konteks gagasan 1 Malaysia yang dipopularkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak itu.

Oleh yang demikian eloklah kerajaan turut memberi keutamaan terhadap perjuangan memantapkan bahasa, memantapkan sastera di negeri ini. Saya mohon mencadangkan supaya negeri Sabah ini dijadikan sebagai dataran ilmu, dataran budaya, sastera dan bahasa.(9) Supaya dengan gagasan itu kita dapat membentuk sebuah pembangunan yang seimbang. Kita mahu membangunkan ekonomi dan kemajuan rakyat dan pada waktu yang sama, kita juga dapat menerapkan nilai-nilai keilmuan, nilai-nilai moral dan akhlak yang tinggi yang biasanya ditawarkan melalui pemantapan ilmu, budaya, bahasa dan sastera.

Saya mohon mencadangkan supaya kita dapat membentuk sebuah Majlis atau Lembaga Bahasa dan Sastera di negeri Sabah, berdasarkan keperluan semasa yang akan diperincikan nanti. Di bawah majlis atau lembaga itu, kita boleh membuat perancangan yang lebih teliti untuk meningkatkan martabat dan ketamadunan kita di peringkat yang lebih tinggi lagi, seterusnya kerajaan misalnya, melalui atau di bawah Majlis atau lembaga ini, boleh membina pusat dokumentasi, yang akan menjadi tempat rujukan, seterusnya akan menampatkan naskah-naskah penting berkaitan kesenian, budaya, bahasa dan sastera di negeri ini.(10)
Dengan wujudnya pusat dokumentasi itu, kita bukan sahaja dapat memelihara khazanah penting di negeri kita, sebaliknya, tidak mustahil jika sekiranya pusat itu nanti akan menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa, apatah lagi jika sekiranya pusat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, misalnya kemudahan penginapan atau dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang menyokong penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa seperti mesyuarat, konvensyen antarabangsa, dewan pameran (MICE), dewan seminar yang boleh digunakan untuk tujuan simposium atau konvensyen berskala kecil atau besar.

Saya fikir, jika sekiranya pusat itu dilengkapi beberapa kemudahan lagi seperti dewan persembahan teater, dewan persembahan kesenian lainnya, tempat rekreasi, rehat dan rawat, dan sebagainya, saya fikir ia akan menjadi mercu tanda baharu yang penting di negeri kita. Saya mohon mencadangkan supaya kerajaan mengambil perhatian serius terhadap pengwujudan dan pembinaan pusat dokumentasi ini dalam RMK ke 10, (11) supaya penghargaan kita terhadap kepelbagaian budaya dan tradisi tempatan melalui pengdokumentasian yang sistematik dan terurus, sokongan kita terhadap pembangunan industri seni persembahan dan galeri kesenian yang serba cangih dapat direalisasikan. Saya dengan ini mempelawa kerajaan negeri untuk membina pusat dokumentasi itu di kawasan saya di Membakut. Kecil tapak tangaan, padang bola sepak kami tadahkan.

Tuan speker,

Jika pembinan pusat dokumentasi itu menjadi kenyataan akhirnya, saya yakin, ia bukan sahaja berupaya mengumpul segala bentuk bahan-bahan dokumentasi bahasa dan persuratan ditulis dalam bahasa Melayu, tetapi juga yang ditulis dalam bahasa-bahasa beberapa suku kaum yang terdapat di negeri Sabah. Kerana kita mahu melihat di bawah majlis atau lembaga bahasa dan sastera yang dicadangkan penubuhannya itu, bahasa sukuan yang terdapat di negeri Sabah juga akan diperkasakan dan dijaga kesinambungan perkembangannya, supaya ia tidak hilang ditelan arus zaman.

Kalau kita perhatikan perkembangan mutakhir, memang ada beberapa bahasa suku kaum kita di negeri Sabah ini, yang saya jangkakan hanya boleh bertahan dalam satu atau dua generasi lagi, sebelum pupus kerana genrasi baharu kita sekarang kebanyakannya sudah tidak tahu bertutur dalam bahasa ibunda kaum masing-masing. Mereka lebih terdedah kepada penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sama ada di rumah, sekolah atau dalam lingkungan komuniti masing-masing, sehingga sebahagian besar daripada mereka tidak lagi mengetahui bahasa suku kaum masing-masing.

Di Sabah sekurang-kurangnya ada beberapa bahasa suku kaum di negeri ini yang semakin pupus. Menurut rekod DBP Cawangan Sabah, antaranya ialah bahasa Sungai Bagahak di Mukim Tunku Lahad Datu dan juga bahasa Tobilong di kampung Mangaris Kota Marudu, di mana penuturnya di bawah 1,000 orang. Jadi, untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, sesuatu bahasa itu kukuh jika penuturnya 100,000 orang ke atas. Jika penuturnya di bawah 100,000 orang, maka bahasa itu dianggap sebagai terancam. Sementara bahasa itu dianggap sebagai pupus jika sekiranya penuturnya di bawah 1,000 orang.

Jadi peranan memperkasakan dan memulihara bahasa suku kaum kita yang terdapat di negeri Sabah ini, bolehlah letakkan di bawah majlis atau lembaga bahasa dan persuratan yang dicadangkan penubuhannya itu. Walaupun Dewan Bahasa dan Bahasa setakat ini melaksanakan program pemuliharaan bahasa beberapa suku kaum di negeri Sabah. Tetapi itu pun hanya menjurus kepada usaha mengambil beberapa bahasa sukuan negeri ini untuk diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Malangnya, untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, seperti yang dinyatakan dalam penerbitan Kamus Dewan, edisi 1994, pihak DBP telah pun menyatakan bahawa hanya terdapat 50 patah perkataan sahaja, kata-kata daripada bahasa sukuan pelbagai kaum atau etnik di Sabah ini, yang diserapkan ke dalam bahasa Melayu.

Justeru, usaha mesti dilakukan untuk memastikan agar bahasa sukuan yang terdapat di negeri Sabah ini tidak akan hilang dan sebuah majlis atau lembaga mesti ditubuhkan, untuk memastikan bahasa ini terus bertahan. Kerana banyak suku kaum di dunia ini seperti kaum Maori di New Zealand mula menyedari kepupusan bahasa mereka dan sekarang sedang berusaha dengan gigih untuk memperkasakan bahasa suku kaum mereka. Malah mereka sudah mewujudkan siaran TV khas untuk suku kaum Maori dan menurut Prof Noki, bangsa Maori kini sudah membina sebuah universiti Maori di New Zealand sebagai langkah mereka untuk memastikan bahasa suku kaum berkenaan, budayadan bahasa tidak pupus ditelan zaman. Justeru, begitu juga kita di negeri ini, kekayaan bahasa dan budaya pelbagai suku kaum kita, mesti dipertahankan untuk beberapa generasi akan datang.

Tuan speker,

Justeru itu, saya mohon mencadangkan agar pihak kerajaan negeri memikirkan secara serius cadangan ini, kerana di bawah Majlis atau Lembaga yang dicadangkan itu juga, kita boleh memikirkan beberapa program lain yang tidak kurang pentingnya, misalnya pembinaan akademi seni, supaya kita terlihat sebagai sebuah negeri yang berupaya mempelbagaikan dan memperkasakan pembangunan rakyatnya bukan sahaja dalam konteks ekonomi, politik dan sosial, tetapi juga dalam aspek budaya, bahasa dan sasteranya, yang sekaligus akan memperlihatkan ketinggian ketamadunan kita di peringkat global. (12)

Kita juga boleh membentuk satu anugerah yang berprestij seperti Anugerah Sastera Borneo dengan negeri Sabah menjadi sekretariat tetapnya. Anugerah itu nanti, jika diwujudkan, insy-Allah, akan memperkenalkan Sabah di peringkat global dan mungkin menandingi kehebatan Anugerah SEA Write Award yang diadakan setiap tahun di Bangkok Thailand. (13) Perincian mengenai hadiah berkenaan bolehlah diputuskan di peringkat jawatankuasa, tetapi anugerah itu mesti diberikan atas kapasiti atau nama ‘Kerajaan Negeri Sabah’.

Di bawah majlis atau lembaga ini juga kita boleh mewujudkan Anugerah Kewartawanan Borneo, sebagai penghargaan kerajaan kepada perkembangan bidang kewartwanan dan juga jasa wartawan dalam membantu kerajaan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. (14) Setiap penulis tidak kira penulis kreatif dan sasterawan atau mereka yang terlibat dalam bidang kewartawanan mesti dinaungi di bawah majlis atau lembaga itu nanti.
Justeru itu, saya sekali lagi mencadangkan di dewan yang mulia ini, supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan, agar membantu perkembangan budaya, bahasa dan sastera di negeri kita ini. Begitu juga dengan badan-badan korporat dan swasta yang kukuh di negeri ini seperti Borneo Samudera dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) misalnya mesti melebarkan sumbangan serta obligasi sosial mereka kepada hal-hal yang berkaitan dengan pelestarian budaya, bahasa dan sastera kita di negeri ini. Badan-badan ini bolehlah menyumbang untuk sebarang anugerah sastera yang diwujudkan kerana semua ini penting untuk pemantapan ketamadunan kita bagi jangka masa panjang. (15)
Saya juga mohon mencadangkan supaya setiap bulan jun atau bulan julai setiap tahun akan diisytiharkan oleh kerajaan sebagai bulan seni sastera dan budaya, di negeri Sabah, supaya kita boleh membuat pelbagai program terancang yang diadakan sepanjang bulan dan ini sudah pasti akan meningkatkan lagi, serta menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri Sabah bagi menyaksikan kegiatan seni sastera yang diadakan sepanjang bulan, sekaligus mmperkukuhkan lagi konsep pelancongan ilmu yang dicadangkan. (16)
Saya turut mencadangkan agar festival seni yang diadakan sempena bulan seni negeri Sabah itu nanti, turut disertai oleh aktivis seni dari negara atau negeri jiran seperti Sarawak, Kalimantan, Wilayah Persekutuan Labuan, negara Brunei Darusslam dan Filipina (17) kerana mereka ini juga akhirnya menjadi agen pelancong yang akan mewara-warakan kegemilangan festival ini sekembalinya mereka di negara atau negeri masing-masing.

Tuan speker,

Kita memang berbangga kerana selama ini kita telah melahirkan penulis yang tidak ketinggalan sama ada dari segi kualitinya dan kuantitinya di peringkat kebangsaan, kita juga telah menerbitkan sejumlah buku yang banyak mengenai masayarakat dan budaya kita di negeri Sabah. Tetapi jumlah penerbitan ini juga perlu ditambah dari semasa ke semasa dan memerlukan sokongan dana dari pelbagai pihak, termasuk kerjaan dan swasta.
Kita mahu juga pertubuhan penulis, badan bukan kerajaan yang gigih memperjuangkan budaya, bahasa dan sastera kita sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan serantau seperti Badan Bahasa dan Sastera Sabah, yang mempunyai 17 cawangan di seluruh Negeri Sabah, mendapat dana khas daripada kerajaan negeri Sabah, bagi membolehkan badan ini bukan sahaja membantu kita menjadikan Sabah sebagai destinasi palancongan ilmu yang penting di rantau ini, tetapi juga dapat merancang gerakan yang lebih strategik dalam membantu merealisasikan hasrat kita untuk menjadikan negeri Sabah, sebagai suatu tempat yang mesra ilmu dan menjadi tumpuan destinasi pelancongan ilmu terkemuka, bukan sahaja di negara kita ini tetapi juga di peringkat serantau. (18)
Pada masa yang sama dengan sokongan dan bantuan dana yang kita berikan tehadap badan-badan ini, kita dapat membantu badan-badan berkenaan dalam melahirkan sumber manusia yang berkualiti dalam bidang seni, sesuai dengan saranan YAB Ketua Menteri yang mahu melihat pembangunan pendidikan melalui pelestarian hub pendidikan, bukan sahaja di Sandakan tetapi di seluruh negeri Sabah. Ini juga sekaligus membantu menyemarakkan bidang pendidikan seni di Sabah dan saya juga mencadangkan di dewan yang mulia ini, agar sebuah kerusi persuratan diwujudkan di Universiti Malaysia Sabah, di mana kerusi itu nanti, turut berperanan memulihara persuratan dan adat istiadat anak negeri Sabah.(19)
Menyentuh mengenai pendidikan ini juga saya ingin mencadangkan supaya usaha melestarikan bidang pendidikan di kawasan luar bandar diperhebatkan. Masalah guru yang tidak mempunyai rumah tempat tinggal apabila ditugaskan di kawasan pedalaman mesti diatasi.(20) Saya sedih apabila mendapat tahu ada guru yang ditugaskan mengajar di kawasan pedalaman negeri Sabah, terpaksa tinggal di rumah-rumah dan gubuk buruk yang jauh lebih baik daripada rumah PPRT dan sama sekali tidak sesuai menjadi tempat tinggal mereka. Sepatutnya kerajaan menyediakan kemudahan perumahan di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar ini, bukan hanya menaikkan dan menyediakan eluan perumahan bagi mereka yang bertugas di kawasan luar bandar. Ada elaun sahaja tetapi tidak ada rumah yang sesuai untuk disewa, itu juga tidak bermakna dan masalah tidak dapat diselesaikan.
Justeru untuk mengatasi masalah ini saya mohon mencadangkan supaya sebarang projek pembinaan sekolah di negeri Sabah ini khususnya di kawasan luar bandar dibuat atau dbina secara ‘One Off’, (dengan izin) di mana apabila kerajaan hendak membina sekolah, jalan raya dan pelbagai kemudahan lain, termasuk rumah guru turut dibina bersama.(21) Jangan hanya membina sekolah yang cantik, tetapi tidak ada jalan ke sekolah itu atau jangan hanya sekolah cantik, tetapi tidak ada kemudahan rumah guru dan sebagainya. Jadi jika masalah ini tidak diatasi, ia akhirnya hanya akan menyumbang kepada penurunan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar. Kalau mutu pendidikan di kawasan luar bandar ini tidak mencapai tahap yang sewajarnya kerana kegagalan kita menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka maju seiring dengan masyarakat bandar, itu juga adalah sebahagian daripada kegagalan kita.

Tuan speker

Dalam konteks melestarikan pelancongan ilmu ini, saya juga mohon mencadangkan supaya kerajaan menambah jumlah guru-guru sekolah agama yang ditugaskan di sekolah-sekolah agama di seluruh negeri Sabah,(22) kerana kebanyakan sekolah-sekolah agama ini menghadapi masalah kekurangan guru. Seterusnya saya turut mencadangkan supaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah menimbang supaya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada buku teks sekolah agama yang diedarkan kepada pelajar-pelajar agama di sekolah agama seluruh negeri Sabah. (23) Berilah percuma! Tidak ada ruginya, demi kebaikan kita bersama.
Saya turut mohon mencadangkan supaya JHEAINS menambah bilangan sekolah tadika agama di seluruh negeri Sabah daripada 19 buah yang ada sekarang dan membantu serta menyokong usaha pihak-pihak persendirian yang mahu membina sekolah tadika swasta seperti Tadika Hadanah Islamiah bagi membantu memberi bimbngan agama di peringkat pra kanak-kanak ini lagi. (24)
Kalau institusi keagamaan, tidak perihatin kepada masalah rakyat yang menghantar anak mereka belajar di sekolah agama, siapa lagi yang prihatin terhadap masalah mereka? Apatah lagi buku-buku teks sekolah kebangsaan kini sudah diberikan secara percuma kepada semua pelajar, jadi tidak ada sebab untuk JHEAINS masih mengenakan bayaran bagi buku teks sekolah agama kepada pelajar-pelajar agama di seluruh negeri Sabah.
Dengan demikian, saya sekali lagi mohon mencadangkan agar pendidikan di kawasan luar bandar ini diberi keutamaan. Selain daripada rumah guru, kemudahan asrama juga mesti disediakan bagi sekolah yang benar-benar memerlukannya. (25) Untuk makluman dewan yang mulia ini, di kawasan saya sendiri, iaitu di Membakut sahaja, terdapat 3 buah sekolah Menangah dan lebih 20 buah sekolah rendah yang memerlukan perhatian khusus dari kerajaan. Justeru itu, saya memohon agar Pejabat Pelajaran Daerah Membakut diwujudkan semula. Seterusnya kerajaan menaikkan taraf daerah kecil Membakut kepada taraf daerah penuh bagi menangani segala urusan pentadbiran daerah yang semakin luas, besar skop serta semakin penting peranannya, demi untuk pembangunan rakyat daerah berkenaan. (26)
Saya juga memohon mencadangkan agar kerajaan membina asrama untuk SMK Membakut 2, bagi tujuan menampung beberapa pelajarnya yang terpaksa berulang alik dalam satu perjalanan yang jauh jaraknya. (27) Saya diberitahu ada pelajar ini yang terpaksa membuat jadual sendiri ke sekolah, (sehari pergi ke sekolah sehari tidak) dan begitulah seterusnya. Mereka berbuat begitu sama ada kerana perjalanan yang jauh atau kerana ibu bapa mereka tidak mampu menangung kos perjalanan atau tambang kereta yang terlalu tinggi untuk anak mereka pergi ke sekolah setiap hari.
Jadi saya mohon mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk membina asrama bagi keperluan para pelajar ini, khususnya di SMK Membakut 2 dan saya juga turut mencadangkan agar kerajaan membina asrama yang sama di sekolah-sekolah lain yang memerlukannya. (28)
Begitu juga, saya mohon pihak kerajaan agar melihat kenapa pembinaan 8 buah bilik darjah di Sekolah Menengah St Patrik Membakut, masih terbengkali sehingga kini, walaupun kerajaan telah memberi peruntukan untuk tujuan pembinaan kelas berkenaan.(29)
Seterusnya, saya mohon mencadangkan agar kerajaan membina bangunan baharu untuk sekolah SRK Binsulok dan SRK Lembah Poring di kawasan Membakut, kerana kedua-dua sekolah ini sudah semakin uzur dan daif. (30)
Begitu juga saya memohon mencadangkan, agar projek LINUS, iaitu Projek Literasi dan Numberasi diperkasakan diperingkat sekolah rendah khususnya di sekolah-sekolah rendah di kawasan Pedalaman Negeri Sabah. (31) Memang timbul persoalan sehingga kini tentang tahap pencapaian 3M dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menenagah terutama di kawasan luar bandar negeri Sabah. Ada pelajar luar banda yang sudah berada di sekolah menengah tetapi masih tidak boleh Membaca, Menulis dan Mengira. Mengapa?
Jika masalahnya disebabkan kekurangan sekolah tadika di kawasan luar bandar yang membimbing asas 3M kepada anak-anak, maka saya mohon mencadangkan supaya lebih banyak sekolah tadika dibina atau diwujudkan di kawasan luar bandar dan, meminta supaya semua pelajar yang masuk ke tahun satu sekolah rendah memasuki sekolah tadika terlebih dahulu. Jika masalah ini berpunca daripada masalah pengaplikasian 3M di peringkat sekolah rendah, maka kita hendaklah memperkasakan 3M ini di peringkat sekolah rendah.(32)
Tetapi apa yang penting, kita mesti memperkasakan pendidikan di peringkat rendah dan menengah di sekolah-sekolah luar bandar ini. Kita tidak mahu lagi mendengar sebarang keluhan di mana para pelajar ini tidak boleh membaca, menulis dan mengira walaupun sudah belajar di sekolah menangah.

Dengan ini kita dapat membantu rakyat yang memerlukannya dan sekaligus dapat mengimarahkan lagi bidang pendidikan di negeri Sabah ini. Kita dapat melahirkan pelajar yang cemerlang. Dan apabila kita sudah berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang, saya turut ingin mencadangkan di dewan yang mulia ini, supaya biasiswa yang pernah diperkenalkan oleh Yayasan Sabah suatu ketika dahulu dan dianugerahkan kepada pelajar-pelajar cemerlang negeri ini, yang kemudiannya dihantar ke beberapa buah sekolah yang terbaik di semenanjung Malaysia, diteruskan dan bilangannya ditambah daripada 60 orang yang ada sekarang dan kalau boleh melibatkan sekolah berprestasi tinggi (SBT). (33) Program pemberian biasiswa itu sesungguhnya baik, bukan sahaja mendedahkan pelajar Sabah kepada persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan kondusif, tetapi program itu juga sesungguhnya sangat berkesan dalam memperkukuhkan lagi semangat integrasi nasional dan gagasan 1 Malaysia.
Mudah-mudahan dengan segala usaha kita dalam memperkasakan bidang pendidikan khususnya di kawasan luar bandar negeri Sabah ini, usaha kita mengimarahkan konsep ‘Pelancongan ilmu’ di negeri Sabah ini dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, kita juga mengucapkan jutaan terima kasih kerana kerajaan Negeri mewujudkan Hadiah Penulisan Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 yang bertemakan konsep 1 Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, yang menawarkan hadiah yang besar, bernilai RM 31,000.00 dan dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar kita baru-baru ini, mudah-mudahan program ini berterusan dan akan membantu melahirkan lebih banyak karya khususnya dalam bentuk novel, yang bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian budaya dan etnik di negeri kita ini, tetapi juga turut menyumbang kepada pengisian gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kita kasihi itu.
Apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mula bertugas pada 3 April 2009, beliau telah memperkenalkan gagasan ini sebagai menunjukkan kepekaan beliau terhadap keperluan mengubah zaman dalam bentuk yang lebih drastik. Dalam tempoh setahun memerintah, secara dinamik beliau telah berusaha menterjemahkan slogan pemerintahannya yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian perkhidmatan dan projek-projek yang dilaksanakan kerajaan.
Justeru, sebagai rakyat yang inginkan kedamaian hidup dalam suasana yang harmoni, yang dapat merangsang perkembangan sosial, ekonomi dan politik yang stabil, kita mengharapkan agar dasar-dasar pentadbiran negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin agar kehidupan kita sehari-hari berlangsung secara tenang dan memberangsangkan.
Jika kita hendak memperkasakan aspek pelancongan ilmu, maka gagasan 1Malaysia itu mesti dihayati sebaik-baiknya,agar lapan nilai yang wujud dalam gagasan 1 Malaysia itu, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti, dapat difahami dan dihayati dengan penuh kesedaran agar ia mampu menyatupadukan rakyat negara kita ini dengan fikiran dan tindakan yang terarah kepada satu matlamat, iaitu untuk negara kita yang tercinta.
Justeru itu, sekali lagi saya memohon mencadangkan supaya kerajaan kita bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut memberi perhatian kepada mustajabnya ilmu pengetahuan untuk kekayaan tamadun bangsa kita. (34) Kita mesti menjadikan negeri Sabah sebagai dataran ilmu yang penting di rantau ini. Kita sudah memiliki universiti yang tercantik di Asia dan kita mesti memberi nilai tambah kepada kehebatan pusat ilmu itu dengan menghasilkan lebih banyak karya bermutu dan menyerlahkan lagi kehebatan serta ketamadunan bangsa kita. Pada ketika itu, negeri Sabah bukan sahaja terkenal sebagai pusat palancongan dan negeri yang indah alam semula jadinya, tetapi orang datang ke negeri Sabah, dan menghalakan pandangannya ke negeri kita ini, kerana ketinggian tamadun yang kita miliki, semarak ilmu yang kita perkasakan di negeri ini.
Saya mengharapkan dalam rancangan Malaysia ke 10, fokus kita dalam memperkasakan bangsa dan negeri kita hendaklah mengambil kira kepentingan ’budaya ilmu’ ini. Kerana hanya dengan ilmu kita mampu menjadikan gagasan satu Malaysia itu sebagai satu gagasan yang bermakna kepada rakyat dan negara
Tetapi asasnya, semuanya bermula daripada kita, jika kita mahu melihat negeri ini sebagai pusat ketamadunan dunia, kita boleh melakukannya, dan usaha ke arah itu mestilah digembleng lebih kuat lagi. Biarlah sejarah negeri kita dicatat kerana kehebatan kita dalam bidang ilmu dan bukannya kerana reruntuhan bangunannya, yang akhrinya hancur dan runtuh sama ada kerana bebanan waktu atau kerana impak hasad dengki dan pertelingkahan, yang meraja dalam hati kita yang akhirnya menjadi satu bentuk pertelingkahan yang menghancurkan kita semua.

Tuan speker

Saya ingin menyebut dalam dewan yang mulia ini, bahawa sesungguhnya pelancongan ilmu itu bukan sekadar satu pelancongan biasa, sebaliknya ia adalah pelaburan yang luar biasa untuk membina tamadun. Bila wujud tamadun, insy-Allah negeri kita ini kekal menjadi tumpuan pelancong dan komuniti dunia, sampai bila-bila. Dengan kata-kata itu, saya dengan ini mohon untuk mencadangkan.

Sekian.

Warahmatullah hi wabarakatuh.

No comments: