Friday, May 28, 2010

UCAPAN TAKZIAH KEPADA ALLAHYARHAMAH DATIN HAJAH RIPAH HAJI JULANG

SAYA bagi pihak seluruh penulis dan ahli BAHASA khususnya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Datin Hajah Ripah Haji Julang yang kembali ke rahmatullah pada pagi ini. Semasa hayatnya Allahyarhamah adalah seorang wanita solehah yang sangat baik hati, sentiasa menjadi pendorong kepada suaminya, Allahyarham Datuk Shuhaibun Yussof sehingga menjadi seorang tokoh penulis dan budayawan yang terkemuka di negara ini. Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang sangat besar kepada kami. Semoga Allah SWT akan menempatkan roh Allahyarhamah di sisi orang-orang yang beriman.

JASNI MATLANI
Yang Di Pertua BAHASA

Saturday, May 22, 2010

PELAWAAN MENYERTAI PENUTUPAN KARNIVAL SAMBUTAN 40 TAHUN BAHASA DI RANAU PADA 12 JUN 2010

Para penulis di sekitar Kota Kinabalu dan malah di seluruh negeri Sabah dipelawa menyertai program penutupan Karnival sambutan 40 tahun BAHASA yang diadakan di Ranau pada 12 Jun 2010. Antara program yang dianjurkan sempena penutupan Karnival itu ialah seperti berikut:

1. Bengkel dan pertemuan penulis sehari bersama penulis di Dewan Majlis Daerah Ranau bermula jam 8.30 pagi

2. Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak bersama BAHASA cawangan Ranau dan Puteri UMNO Ranau bermula jam 9.00 pagi

3. Pertandingan Deklamasi Puisi bersama BAHASA cawangan Ranau dan Putrei UMNO Ranau bermula jam 9.00 pagi

4. Majlis penyampaian Hadiah menulis cerpen dan puisi hadiah Datuk Masidi Manjun

5. Pelancaran tiga buah buku baharu karya ahli BAHASA.

6. Persembahan kebudayaan dan

7. Cabutan tiket bertuah
Bagi ahli BAHASA, penulis dan peminat sastera di sekitar Kota Kinabalu, tarikh dan masa bertolak rasmi yang ditetapkan urus setia ke Ranau ialah pada 11 Jun 2010 jam 1.00 petang.

Untuk tujuan pengesahan penyertaan sila berhubung sama ada melalui Yang Di Pertua BAHASA di talian 016 8115593 atau Timbalan Setiausaha BAHASA di talian 013 8804550.

PELAWAAN MENYERTAI PROGRAM PENULISAN MASTERA XIII (DRAMA) DI BOGOR INDONESIA

SESIAPA yang berminat menyertai program penulisan MASTERA (Drama), BAHASA mempelawa(seorang penulis sahaja) daripada ahli BAHASA untuk menyertai program penulisan berkenaan bertempat di Agra Mulya, Puncak Bogor Indonesia bermula 18 Julai 2010 hingga 28 Julai 2010. Walau bagaimanapun semua perbelanjaan menyertai bengkel berkenaan ditanggung sendiri oleh peserta yang berminat. BAHASA hanya memberi saguhati dalam jumlah yang kecil kepada peserta berkenaan. Para pembimbing adalah daripada kalangan sasterwan, penulis dan dramatis yang professional dan tersohor dalam bidangnya daripada beberapa Negara Asean.

Syarat penyertaan adalah seperti berikut:
1. Mengisi borang persetujuan yang boleh didapati daripada yang Di Pertua BAHASA secepat mungkin.

2. Menyediakan biodata dan profil peribadi

3. Mengirimkan sebuah skrip drama pentas yang belum pernah diterbitkan dalam mana-mana media. Panjang skrip drama sekurang-kurangnya 20 halaman kertas A4 bertaip baris dua langkau

4. Menyediakan 2 keping gambar berukuran 4 X 6

5. Mengurus / menyediakan sendiri pasport antarabangsa

6. Menyediakan laporan selepas selesai program (perlu diserahkan tujuh hari selepas program penulisan MASTERA kepada secretariat MASTERA Malaysia di DBP Kuala Lumpur, di alamat Setiausaha MASTERA Malaysia. Bahagian Pengembangan Sastera Jabatan Sastera, Aras 22 Menara DBP 50926 KUALA LUMPUR.

7. Borang dan penyertaan mesti dihantar kepada YDP BAHASA untuk diserahkan kepada DBP Kuala Lumpur sebelum 7 Jun 2010.

Sekian terima kasih.

Wednesday, May 12, 2010

Catatan YDP BAHASA pada 11 Mei 2010

PADA 10 Mei 2010 (isnin) saya bersama-sama Ketua Dua GAPENA, Dato’ Latif Bakar dan saudara Juri Durabi telah meluangkan masa melawat Ibu Dayang Salmah Salam di rumah anak beliau di kampung Tanaki yang terletak di jalan lama Kota Kinabalu-Papar.Kami sampai di rumah beliau sekitar jam 10.45 pagi dan kedatangan kami disambut seorang pembantu rumah yang kemudian memaklumkan kehadiran kami kepada ibu Dayang yang tidak lama selepas itu muncul di tengah ruang rumah sambil dipapah dan kehilatan sangat jauh berbeza dariapada zaman beliau sihat dahulu.

Kami kemudian dibawa duduk di ruang tamu dan Dato Latif memulakan perbualan dengan bertanyakan keadaan ibu Dayang. Tetapi pertanyaan beliau itu dijawab dengan tangisan dan barangkali itulah fitrahnya manusia, yang apabila Tuhan menarik balik sebahagian besar keistimewaan kita sebagai manusia, kita kembali kepada sepi, sedih, merindui sesuatu yang tidak mungkin dapat direbut kembali, sangat bernostlgik dan inginkan perhatian.

Ibu Dayang adalah seorang penulis wanita yang berjasa di Sabah. Sekolahnya mungkin tidak tinggi, tetapi tulisannya dan pemikrannya, kata Dato’ Latif sangat tajam, masih kritis, terutama apabila beliau menyebutkan sikap orang melayu yang suka mengambil mudah terhadap banyak perkara.

Kata ibu Dayang dalam kesakitan, orang Melayu ini suka melakukan perkara yang tidak mencabar. Sebagai contoh katanya, pada zaman dahulu orang Melayu suka tinggal dan membina rumah di tepi laut, kerana di situ mereka boleh melakukan banyak perkara dengan mudah. Mandi mudah,mencari makanan mudah dan nak melepas pun mudah.

Kami tergelak seketika. Tetapi kegembiraan itu semantara sahaja, kerana selepas itu perbualan kami hanya bersulamkan tangisan, apabila ibu Dayang terkenangkan kisah lampaunya yang tidak mungkin akan berulang.Katanya, masih banyak hajatnya yang belum tertunaikan. Buku yang dihasilkannya pun hanya beberapa buah sahaja. Beliau masih lagi berkeinginan hendak menulis, tetapi apa kan daya kemampuannya sudah sangat terbatas dek kerana usia tua.

Jadi nasihat saya kepada para penulis muda dan mereka yang masih sihat belaka, tulislah sebanyak mungkin karya semasa kita masih sihat, agar kita tidak menyesal pada hari tua. Saya bagi pihak ahli BAHASA mendoakan semoga ibu Dayang sentiasa tabah menghadapi ujian Allah dan dapat menyesuaikan dirinya dengan usia yang semakin lanjut. Semua manusia memang begitu dan semua kita akan melalui pengalaman yang sama, bezanya bagaimana kita menghadapi semua itu dengan kekuatan yang ada dalam diri kita sehinggalah kita dijemput menemui-Nya.

Sempena kunjungan itu juga, saya bagi pihak BAHASA menyampaikan sumbangan ikhlas para penulis dalam BAHASA sebanyak RM 400.00 sebagai tanda kasih dan balas kami bagi meringankan beban beliau. Sumbangan itu tidak bernilai berbanding jasa dan pengorbanan beliau terhadap dunia persuratan di negeri kita ini, tetapi hanya itulah yang mampu diberikan dalam segala keterbatasan kami.Sempena kunjungan itu Dato’ Latif Bakar juga turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada ibu Dayang.

Jasni Matlani

Sunday, May 9, 2010

CATATAN YDP 9 mei 2010

Salam ukhuwah kepada semua penulis dan ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah. Hasrat kita memperkasa bahasa dan sastera di Sabah insy-Allah akan terus bersemerak. BAHASA akan terlibat dalam beberapa program penting dalam beberapa bulan terakhir ini. Pada 12 Jun 2010 BAHASA akan menganjurkan majlis penutupan karnival sambutan 40 tahun BAHASA di Ranau. Jom kita semua berkampung di Ranau. Bermula pada 11 Jun 2010 dan hanya kembali di Kota Kinabalu pada pagi 13 Jun 2010. Kita akan buat beberapa program sastera di Ranau termasuk juga majlis penyampaian hadiah menulis cerpen dan puisi hadiah datuk Masidi Manjun dan BAHASA. Ada juga pertandingan melukis kanak-kanak bersama Puteri UMNO Ranau dan kemungkinan pelancaran buku saudara Raymond Majumah danprogram bengkel penulisan sehari bersama BAHASA.

Saya juga mempelawa ahli BAHASA yang berminat menyertai kunjungan ke Jakarta pada 6-10 Julai 2010. Semasa di jakarta rombongan dijangka akan menghadiri pesta buku antarabangsa Jakarta dan bertemu penulis di sana. Segala perbelanjaan adalah tanggungan sendiri dan kos untuk tambang pergi balik KK-jakarta dan penginapan adalah sebanyak RM 750.00 peserta yang berminat menyertainya bolehlah membayar kepada saya sebelum 20 Mei 2010.

Ahli BAHASA juga dipelawa menyertai pertemuan penyair nusantara ke 4 di negara Brunei darussalam pada 16-18 Julai 2010. Peserta BAHASA akan bertolak melalui jalan darat (berkereta) secara berkonvoi. Sesiapa yang berminat boleh memaklumkan kepada YDP dan hantar senarai nama secepat mungkin. Perbelanjaan adalah tanggungan sendiri dan disertakan bersama ini surat jemputan dan jadual aturcara sepanjang program pertemuan penyair nusanatara itu diadakan.


Peti Surat 62, Pejabat Pos PMM, Berakas BB3577, Brunei Darussalam.
Web: http://www.asterawani.20m.com e-mel: asterawani@yahoo.com

22 Rabiulakhir 1431
7 April 2010

Kepada,

BAHASA


Assalamu alaikum,

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-4

Dengan penuh hormat, sukacita dimaklumkan kepada Tuan-Tuan / Puan-Puan bahawa ASTERAWANI akan menganjurkan Pertemuan Penyair Nusantara Ke-4 pada 16 – 18 Julai 2010 bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.
2. Sehubungan dengan itu, saya dengan penuh hormat dan sukacita mengundang Tuan-Tuan / Puan-Puan untuk menyertai majlis di atas. Sayugia juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur hanya akan menyediakan kemudahan penginapan dan pengangkutan domestik kepada peserta luar negara.
3. Pihak penganjur juga bercadang akan menerbitkan dan melancarkan antologi sajak pada pertemuan berkenaan. Oleh yang demikian, sukacita dimaklumkan kepada para peserta agar dapat menghantar tiga buah sajak, sekeping foto, dan biodata bagi tujuan tersebut kepada pihak penganjur tidak lewat daripada 31 Mei 2010.
4. Bersama ini disertakan atur cara tentatif pertemuan tersebut sebagai rujukan pihak Tuan-Tuan / Puan-Puan.
5. Di atas kesudian Tuan-Tuan / Puan-Puan menyertai pertemuan berkenaan, saya terlebih dahulu mengucapkan berbanyak–banyak terima kasih.
Wassalam.


Dengan Hormat,

……………………
(Zefri Ariff)
Pengarah Program
Pertemuan Penyair Nusantara ke-4

Tel: +673-8749500
Faks: +673-2337033



ATUR ACARA TENTATIF
PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA 4

JUMAAT, 16 JULAI 2010

Pagi – petang: Kehadiran dan urusan penginapan bagi peserta luar negara dan sesi pendaftaran
7.00 malam: Acara Pembukaan Rasmi PPN4
• Bacaan surah Al-Fatihah, Tahlil dan Doa Selamat
• Ucapan Pengerusi PPN4
• Ucapan Perasmian oleh Tetamu Kehormat
• Pelancaran Antologi Sajak Gema Nusantara
• Ucaptama
• Makan Malam
• Persembahan Penyair Nusantara
• Pertukaran Momentu

SABTU, 17 JULAI 2010

8.00 – 9.45 pagi: Gema 1: Penyair Pembina Masyarakat
• Pemakalah Brunei Darussalam
• Pemakalah Filipina
• Pemakalah Indonesia
• Pemakalah Kemboja
• Pemakalah Malaysia
• Pemakalah Singapura
• Pemakalah Thailand
9.45 – 10.15 pagi: Minum pagi
10.15 pagi – 12.00 tgh: Gema 2: Kepenyairan: Akreditasi dan Kredibiliti
• Penyair Brunei Darussalam
• Penyair Filipina
• Penyair Indonesia
• Penyair Kemboja
• Penyair Malaysia
• Penyair Singapura
• Penyair Thailand
12.00 tgh – 2.30 ptg: Makan tengah hari / Solat Jumaat - Zuhur / Rehat
2.30 – 4.00 ptg: Forum Penyair Nusantara: “Rangsangan Lonjakan Industri Kreatif Menerusi Dunia Perpuisian”
• Panel Brunei Darussalam
• Panel Indonesia
• Panel Malaysia
• Panel Singapura
• Panel Filipina / Kemboja / Thailand
4.00 – 5.00 ptg: Gema 3: Kepenyairan Media Baru
• Akademia / Pengamal Media dari Brunei Darussalam
• Akademia / Pengamal Media dari Indonesia
• Akademia / Pengamal Media dari Malaysia
• Akademia / Pengamal Media dari Singapura
5.00 ptg – 7.00 mlm: Minum Petang / Solat Asar / Rehat
7.00 – 8.00 mlm: Makan malam
8.00 – 11.00 mlm: Festival Penyair Nusantara (Bersempena dengan sambutan Perayaan Ulangtahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-64 Tahun)

AHAD, 18 JULAI 2010

8.00 – 10.00 pagi: Lawatan ke Kg. Ayer
10.00 pagi – 12.00 tgh: Baca Puisi di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kg. Ayer
12.00 tgh – 2.00 ptg: Makan tengah hari / solat
2.00 – 3.00 ptg: Bicara Penyair (sumbang saran setiap ketua perwakilan negara)
3.00 – 3.45 ptg: Sidang pleno
4.00 ptg: Acara Penutupan Rasmi PPN4
• Pembentangan Resolusi
• Ucapan Pengarah Program
• Penyerahan Simbolik kepada Tuan Rumah PPN5
• Ucapan Penutupan Rasmi oleh Tetamu Kehormat
• Pertukaran Cenderamata
• Doa Selamat
• Acara Bergambar Ramai
• Jamuan
Malam: Acara bebas

ISNIN, 19 JULAI 2010

Kepulangan peserta luar negara.

Friday, May 7, 2010

Sumbangan buku

Pada 6 May 2010, hari Khamis, bertempat di dewan asrama SMK Gadong, Beaufort telah berlangsung satu majlis penyerahan buku-buku terbitan BAHASA kepada perpustakaan SMK Beaufort. Rombongan BAHASA yang diwakili oleh YDP Jasni Matlani, Timbalan YDP Cikgu Ramlee ar, Timbalan Setiausaha Ruhaini Matdarin, Jawatankuasa Perhubungan Siti Rahmah G.Ibrahim, dan veteran Bahasa Hajah Rubiah Nordin. Rombongan ini diserikan lagi dengan kehadiran Ammi Manja sebagai penunjuk jalan ke SMK Gadong pada hari tersebut.


(Penyerahan buku oleh YDP kepada wakil pelajar SMK Gadong)

Sebanyak 120 buah buku terbitan dan selenggaraan BAHASA pada tahun 2008, 2009 dan 2010 yang ditulis oleh ahli-ahli BAHASA sendiri, telah disumbangkan kepada perpustakaan SMK Gadong dalam suasana yang sederhana dan santai. Sumbangan ini bersempena menyahut seruan kempen menanam minat suka membaca dalam kalangan masyarakat, yang bermula sejak di bangku sekolah lagi.


(Buku yang disumbangkan: Lajim Haji Ukin Penyelamat UMNO Sabah, Kumpulan Puisi Terbang Nan Tinggi,Kumpulan Cerpen Hadiah SEDCO Bahasa 1 Visi Sophia, Ikhtisar Membakut, Antologi Lagu Nasyid Nurani, Kumpulan Cerpen Negeri Malam, Kumpulan Cerpen Bagong, Skrip Radio Setinggi Puncak, Kumpulan Esei Refleksi, Novelet Racunda, Kumpulan Skrip Drama Pewaris dan Kumpulan Puisi Skrip Aneh)

Dalam majlis yang berlangsung selama satu jam setengah itu juga, YDP Jasni Matlani, Timbalan YDP Cikgu Ramlee ar dan Timbalan Setiausaha diminta oleh Penolong Kanan Satu, cikgu Mohammad bagi menyampaikan sedikit galakan menulis kepada para pelajar. YDP Jasni Matlani memberi tip penulisan cerpen secara ringkas, Cikgu Ramlee ar berkongsi petua menghasilkan puisi, dan Ruhaini Matdarin berkongsi pengalaman menulis. Puan Siti Rahmah dan Hajah Rubiah Nordin berkongsi pengalaman masing-masing dengan guru sastera SMK Gadong.


(Khusyuk dan penuh minat dengan sastera)


(Pelajar yang hadir terdiri daripada pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 yang belajar dalam jurusan sastera)

Pada masa akan datang, BAHASA akan dijemput sekali lagi ke SMK Gadong bagi mengadakan satu bengkel penulisan secara lebih serius.