Monday, February 8, 2010

Atur cara program KARNIVAL SAMBUTAN 40 TAHUN BAHASA

8 April 2010 (KHAMIS)

MESYUARAT AGUNG BAHASA 2010

3.00 petang Ucapan alu-aluan Yang Di Pertua BAHASA
Encik Jasni Matlani

Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung BAHASA 2010
Oleh Tan Sri Prof. Ismail Hussein
Ketua 1 GAPENA

Laporan aktiviti BAHASA
Laporan Kewangan
Hal-hal lain
Ucapan penanguhan Mesyuarat oleh YDP BAHASA
BERSURAI


9 APRIL 2010 (JUMAAT)

PELANCARAN KARNIVAL SAMBUTAN 40 TAHUN (BAHASA) dan PELANCARAN BUKU PENULIS SABAH BERTEMPAT DI KOMPLEKS BELIA PERSEKUTUAN PASIR PUTIH PUTATAN.

8.00 pagi Ketibaan Urus setia

8.30 pagi Ketibaan Jemputan Khas

9.00 pagi Ketibaan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman

Lagu Negaraku/Sabah Tanah Airku

Tayangan slide Perjuangan tokoh BAHASA

Deklamasi Rangkaian Puisi dalam Bahasa Melayu/Bahasa Bajau/Bahasa Kadazan diiringi lagu yang menggunakan alat Muzik Tradisional Sabah

9.30 pagi Ucapan alu-aluan Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun

10.00 pagi Ucapan Perasmian pelancaran karnival sambutan 40 Tahun BAHASA oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

Perasmian dan Pelancaran buku penulis Sabah

Penyampaian Cenderamata

11.00 pagi Rehat, makan tengahari dan solat Jumaat


2.30 petang Bicara Tokoh
Bersama Yang Berbahagia Datuk Yahya Lampong
Moderator: Encik Karim Gulam

4.30 petang Rehat



7.30 Malam Majlis Makan Malam Jasamu di Kenan g

Ketibaan Urus setia/Peserta
Ketibaan Datuk Yahya Lampong
Ketibaan YB Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif
Ketibaan YB Datuk Marcus Mojigoh
Ketibaan YB Datuk Sapawi Haji Ahmad
Ketibaan YB Datuk Masidi manjun
Ketibaan YB Datuk Haji Yahya Hussein

8.00 Malam Tayangan Slide Tokoh BAHASA

Ucapan Alu-aluan YB Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif

Ucapan Perasmian Malam Jasamu dan pelancaran HADIAH CERPEN BAHASA-SEDCO oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussein

Majlis makan malam

Persembahan Kebudayaan
Lagu-lagu Puisi
Deklamasi Puisi Jemputan Khas
Encik Raymond Majumah
Encik Poul Nangang

Dekon dan Mestamu Puisi ‘Siapakah Yang Kau cari’ karya A. Latiff Mohidin

Deklamasi Puisi Khas 40 tahun BAHASA

Penyampaian saguhati khas kepada veteran BAHASA
Penyampaian Anugerah Khas BAHASA

10.30 malam BERSURAI


10 APRIL 2010 (SABTU)

PERSIDANGAN KEBUDAYAAN DAN PERSURATAN KE 2
BERTEMPAT DI BILIK SEMINAR KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN PERSEKUTUAN PUTATAN.
(BICARA EKSEKUTIF)

8.30.00 Pagi Ucapan alu-aluan Pengarah JKKN Negeri Sabah
Encik Sallehuddin Mohd Salleh

Bicara Eksekutif Bersama Dato’ Haji A. Aziz Deraman
Kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia dalam konteks gagasan 1 Malaysia

Moderator Encik Nadin Haji Salleh



11.00 Pagi REHAT

Makan Tengahari

1.30 petang Pembentangan Kertas kerja

Encik Ramlie A.R
Keunikan masyarakat pelbagai kaum dalam karya penyair Sabah

Tuan Haji Hamzah Hamdani
Penyair Sabah dan Cabaran Gagasan 1 Malaysia


Encik Mohd. Daud Mohamad
Kepelbagaian kaum dalam karya terpilih Sabah: Kajian Studi Budaya

Prof Madya Hashim Ismail
Penulis Sabah: Sumbangannya dalam Sastera Malaysia

Pengerusi Sesi: Encik Japar Haji Ungki

3.30 petang Minum petang

REHAT/ BERSURAI


8.00 malam Kegiatan Baca puisi dan lagu puisi santai dihoskan oleh saudara A Karim Gulam
Anjung Apresiasi bersama DBP Cawangan Sabah



1 MEI 2010

KARNIVAL PUISI 1 MALAYSIA

SEMARAK PUISI 1 MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN ANJURAN BAHASA, LEMBAGA KEBUDAYAAN NEGERI SABAH DAN BIRO KEBUDAYAAN PEMUDA UMNO MALAYSIA. PERASMIANNYA DIJANGKA DISEMPURNAKAN OLEH YANG BERHORMAT DATO’SERI UTAMA DR. RAIS YATIM


8.00 Pagi Kehadiran jawatankuasa induk dan peserta

8.45 Pagi Ketibaan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah

Ketibaan Menteri Penerangan, Multimedia & Kebudayaan Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim

Lagu Negaraku/ Lagu Sabah Tanah airku

9.00 Pagi Ucapan alu-aluan Datuk Masidi Manjun

9.30 Pagi Ucapan Perasmian dan Pelancaran Semarak Puisi 1 Malaysia oleh Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim

Penyampaian cenderamata

Persembahan Deklamasi rangkaian Puisi 1 Malaysia oleh pendeklamasi pelbagai kaum

Lagu Puisi
Deklamasi Puisi oleh tokoh penyair 1 MALAYSIA

Prof Madya Dr Lim Swee Tin
Hasyuda Abadi (Sabah)
Marsli N.O (Pahang)
Abizai (Sarawak)
Amiduddin Hanafiah (Johor)
Poul Nangang (Sarawak)
Ramli A.R (Sabah)
Datu Roslan Sulai (Sabah)
Karim Gulam (Sabah)
Mabulmaddin Shaiddin (Sabah)
Dulamid Rudin (Sabah)
S.M Zakir (Kuala Lumpur)
Latifah Oneh (Sabah)


Lagu Puisi etnik Negeri Sabah LKNS

11.30 Pagi: BERSURAI


2.00 petang: ACARA YANG BERHORMAT DATO’ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM BERSAMA PEMUDA UMNO TENOM

MALAM ACARA SEMARAK KEBUDAYAAN DAN KENDURI SEKAMPUNG
Tempat : Sebuah Kampung yang terpilih di Tenom

7.00 malam Ketibaan urusetia dan para peserta

8.00 malam Ucapan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) En. Jasni Matlani

8.35 malam Ucapan Perasmian oleh Encik Jamawi Jaafar Ketua Pemuda UMNO Tenom

8.40 malam Persembahan Deklamasi Puisi/ Lagu Puisi/ kebudayaan berkonsepkan Satu Malaysia

oleh: Penyair dan Pendeklamasi puisi jemputan
Penyanyi Lagu Puisi Jemputan
Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah

10.30 malam Penyampaian Cenderamata

BERSURAI
2 MEI 2010

BICARA PUISI 1 MALAYSIA

8.30 pagi Prof Dr. Lim Swee Tin
Abizai
Amiruddin Ali Hanafiah
Ramlie A.R
Norza (Nordin Zainal Abidin)

12.00 t/hari Makan tengahari
BERSURAI



12 Jun 2010 (SABTU)

ACARA PENUTUPAN KARBIVAL SAMBUTAN 40 TAHUN BADAN BAHASA DAN SASTERA SABAH BERTEMPAT DI DEWAN MASYARAKAT RANAU

8.00 pagi Ketibaan Urus setia

8.00 pagi Pertandingan Melukis BAHASA Cawangan Ranau Bersama Puteri UMNO

12.00 t/hari REHAT



7.00 Malam Ketibaan orang ramai

Ketibaan Jemputan khas
Ketibaan YB. Datuk Arifin Arif
Ketibaan Datuk Masidi Manjun

Lagu Negaraku/Sabah Tanah Airku

Lagu Muzik Etnik Sabah/ Bambu
Persembahan Syair/ Nazam

8.00 pagi Ucapan alu-aluan Yang Berbahagia Encik Jasni Matlani
Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA)

Ucapan Datu Rosmadi Sulai
Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah

Ucapan Perasmian penutupan karnival sambutan 40 Tahun BAHASA oleh Y B Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,
Datuk Masidi Manjun

Persembahan kebudayaan
Deklamasi puisi
Lagu puisi/etnik

Penyampaian hadiah melukis BAHASA Ranau/Puteri UMNO
Penyampaian hadiah peraduan menulis cerpen dan puisi BAHASA Ranau

Penyampaian Cenderamata

10.30 pagi BERSURAI

HINGGA BERJUMPA LAGI!

Sunday, February 7, 2010

SEJARAH BAHASA

BADAN BAHASA DAN SASTERA SABAH (BAHASA) ditubuhkan pada 19 Mac 1970, setelah dua buah persatuan yang aktif pada tahun 1960-an iaitu Persatuan Penulis-Penulis Sabah (PERPESA) yang ketika itu diterajui oleh Hajah Noraini Haji Salleh, Amil Jaya, Osman Abdul Rahman atau Kembara Muda, M.A. Rahman dan beberapa orang lagi, bergabung dengan Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) yang dipelopori oleh Kisnawati atau Mohd. Tahir Abdul Hamid dan akhirnya tertubuhlah BAHASA.
Di peringkat awal penubuhannya BAHASA diketuai oleh Datuk Dzulkifli Haji Abdul Hamid dan setiausaha Agungnya yang pertama ialah Datuk Jamdin Buyong. Dalam masa yang singkat sahaja BAHASA menubuhkan cawangannya di seluruh negeri Sabah. Tiga bulan selepas penubuhannya BAHASA sudah mempunyai 23 buah cawangan dan mempunyai ribuan ahli di seluruh negeri Sabah. 4 buah cawangan lagi ditubuhkan kemudian.
Menurut Datuk Ismail Abas dan Datuk Haji Shuhiabun Yusof (1989), apabila BAHASA ditubuhkan, dalam masa yang singkat sahaja cawangan BAHASA ditubuhkan di merata tempat, di kota dan desa. Ahlinya kain hari kian bertambah sehingga melebihi sepuluh ribu orang. Pemimpin di peringkat kampung, peringkat daerah dan malah ahli politik setempat dan ketua masyarakat turut menyertai BAHASA. Kegiatan kebahasaan dan persuratan seperti peraduan menulis esi, peradauan bahas dan pidato, sayembara menulis cerpen, puisi dan novel diadakan di merata daerah, sehingga kegiatan bahasa dan sastera menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat terutamanya golongan guru, pelajar dan masyarakat umum.
BAHASA menjadi sebuah persatuan yang sangat berpengaruh dan antara objektif dan tujuan penubuhan BAHASA ialah seperti berikut:

• Menyatupadukan semua kamu di negeri Sabah khasnya dan di Malaysia amnya menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu Bahasa Melayu.
• Menyatupadukan seluruh penulis, guru, peminat dan ahli bahasa dan sastera di Sabah
• Berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, sastera dan ilmu pengetahuan
i) Berjuang daan mempertahankan serta meninggikan kedaulatan bahasa dan sastera.
ii) Mengadakan hikmat-hikmat bagi menggalakkan, meninggikan dan memperkembangkan bahasa dan sastera yang meluputi A. Usaha penulis-penulis seniman dan bidang penerbitan bahan-bahan bacaan seperti buku, majalah dan risalah. B. Memperjuangkan serta mempertahankan hak-hak kepentingan dan kebajikan penulis-penulis dan seniman yang menjadi ahli BAHASA. C. berhubung serta bekerjasama dengan persatuan atau pertubuhan dalam dan luar negeri yang mempunyai tujuan yang sama dengan (BAHASA).

Pada tahun 1973 BAHASA telah menjadi tuan rumah penganjuran Hari Sastera. Hari Sastera ini adalah julong-julong kalinya diadakan di Sabah. Selepas itu BAHASA juga menganjurkan sayembara penulisan novel, dimana lahirlah tiga buah novel yang penting di Sabah iaitu Nafas Yang Hampir Putus oleh Anuar Beda Amasuba, Serandung oleh Isa Razak dan Cerah oleh Amil Jaya. Dua daripada novel ini telah diterbitkan DBP iaitu Nafas Yang hampir Putus dan Cerah. Di bawah pimpinan Datuk Dzulkifli Abdul Hamid (Allahyarham) BAHASA telah memainkan peranan yang sangat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu di Sabah. Malah selain daripada mendesak dan membawa tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada 1 Januari 1977, BAHASA juga berperanan dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negeri Sabah.
Tun Dato Mustapha Dato Harun yang menjadi Ketua Menteri Sabah ketika itu memberi perhaatian dan sokongan yang penuh terhadap usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di Sabah. Tun Mustapha menyedari betapa pentingnya Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi dan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Sabah. Walaupun ada pengkritik yang menganggap tindakannya mendaulatkan Bahasa Melayu itu sebagai alasan beliau yang tidak mahir berbahasa Inggeris. Tuduhan itu adalah tidak benar, kerana pada 16 september 1973 bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa rasmi di Sabah. Beliau menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia bagi mengelak supaya tidak timbul sebarang prasangka negatif suku kaum lain yang tidak beragama Islam agar menerima bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan sama ada dalam urusan rasmi atau tidak di negeri Sabah.
Kata Datuk Ismail Abas dan Datuk Haji Shuhiabun Yusof, sebagai sebuah pertubuhan yang bermatlamatkan menyatukan rakyat berbilang kaum menerusi satu bahasa, maka BAHASA sesungguhnya telah berjaya memainkan peranan dalam memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di dalam semua urusan kerajaan, badan berkanun, firma swasta dan masyarakat umum di negeri Sabah keseluruhannya. Inilah kejayaan dan kecemerlangan BAHASA sebagai penggerak dan pemikir bahasa dan sastera di Sabah, malah di peringkat kebangsaan. BAHASA berjaya mendesak pemimpin dan kerajaan agar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah tanpa berganjak walau sehari pun daripada hari yang telah dimaktubkan dalam gagasan Malaysia dahulu. Cita-cita itu tercapai hasil usaha seluruh ahli BAHASA, sesuai dengan keputusan seminar pada 4-6 Ogos 1970 yang diadakan di Kota Kinabalu itu.
Pada awal tahun 1980-an BAHASA semakin merundum,sehingga akhirnya timbul pula ura-ura yang dicetuskan oleh beberapa orang penulis Sabah untuk menyemarakkan BAHASA semula. Antara tokoh yang terlibat dengan penubuhan BAHASA di peringkat awal inilah Datuk Jamdin Boyung, Datuk Ismail Abas, Puan Hajah Zaiton Haji Ajmain, Haji Hussein Qasau, Haji Ismail Bongsu dan beberapa orang lagi. BAHASA yang selama ini tidak lagi aktif akhirnya dihidupkan kembali pada tahun 1986 dan Datuk Ismail Abas atau Amil Jaya telah dipilih sebulat suara menerajui badan ini.
Beliau dibantu oleh beberapa orang aktivis sastera serta penulis yang berkelibar di Sabah ketika itu. Setahun kemudian iaitu pada 4-6 september 1987 BAHASA bersama-sama dengan GAPENA telah menganjurkan Hari Puisi Nasional di Kota Kinabalu iaitu yang kedua dianjurkan di Sabah dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah. Tema hari Puisi Nasional yang diadakan di Sabah itu ialah “Dunia Penyair- Antara Desa dan Kota”.
Pada pertengahan tahun 1980-an sekali lagi berlaku pergolakan dalam BAHASA sehingga akhirnya membawa kepada pertukaran pucuk pimpinan BAHASA. Datuk Ismail Abas kemudian digantikan oleh Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah). Malangnya tidak banyak kegiatan besar yang dilaksanakan semasa kepimpinan beliau. Apabila BAHASA krisis kepimpinan pada awal alaf baru, sekali lagi Datuk Ismail Abas mengambil alih teraju kepimpinan BAHASA pada tahun 2003. Tetapi beliau hanya menerajui BAHASA selama dua tahun. Pada tahun 2005, Datuk Ismail Abas mengundur diri atas sebab-sebab kesihatan, tempat beliau akhirnya digantikan Jasni Matlani. Di bawah kepimpinan Jasni Matlani BAHASA semakin aktif menganjurkan pelbagai kegiatan. Beliau sendiri telah menggalurkan beberapa wawasan dan visi untuk memperkukuhkan peranan dan perjuangan BAHASA seperti berikut:
1. Menjadikan Sabah sebagai dataran imu dan sastera Melayu yang penting di rantau Asia Tenggara.
2. Mengemukakan gagasan kepada kerajaan negeri Sabah agar menubuhkan sebuah Lembaga Bahasa dan Sastera Sabah (LBSS) untuk melindungi golongan penulis, sasterawan dan budayawan, seterusnya mengimarahkan lagi perkembangan bahasa dan sastera Melayu di Sabah.
3. Mendesak kerajaan Negeri Sabah agar menjadikan bulan Mei sebagai bulan Festival Puisi setiap tahun di Sabah, dimana di sepanjang bulan ini, berbagai-bagai kegiatan berkaitan puisi diadakan di pelbagai peringkat di seluruh Negeri Sabah dan membabitkan rakyat pelbagai kaum Negeri Sabah. Festival Puisi ini telah pun diputuskan dimulakan di Sabah bermula bulan Jun 2009.
4. Mewujudkan Anugerah Sastera Borneo dan Sabah sebagai pusatnya bagi memberi peluang kepada penulis-penulis di kepulauan Borneo diiktiraf di peringkat tertinggi dan mengangkat mutu karya sastera Melayu di kepulauan berkenaan ke tahap sewajarnya.
5. Mewujudkan rumah atau sekretariat BAHASA di Sabah
Untuk memastikan visi dan idea beliau tercapai, beliau melipatgandakan lagi usaha dan bersama-sama dengan jawatankuasa tertinggi BAHASA yang dipilih, beliau telah menganjurkan pelbagai kegiatan. Sejak menerajui BAHASA pada tahun 2005, BAHASA telah menganjurkan beberapa kegiatan yang bertaraf negeri dan nasional antaranya ialah:

1. Persembahan Dekon Dun dangan Kasih yang dihadiri Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah, 24 April 2006
2. Dialog Budaya peringkat Negeri yang diadakan di Pusat Latihan BTN di Kundasang Ranau, pada 25-27 Ogos 2006
3. Seminar Pemikiran Amil Jaya di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah pada 26-27 April 2008
4. Pementasan teater Menuggu Tuan Presiden di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah pada 13 Nov 2008
5. Baca Puisi GAZA di Jalan Gaya Kota Kinabalu pada 18 Januari 2009
6. Persidangan Persuratan dan Kebudayaan peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu pada 6-8 Mac 2009
7. Sayembara deklamasi Puisi Kebangsaan peringkat daerah seluruh negeri sabah dan Peringkat Negeri Sabah bersama-sama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah bagi tahun 2006,2007,2008 dan 2009
8. Penyampaian Hadiah SEDCO-BAHASA yang pertama di Kota Kinabalu pada 2 Disember 2009
9. Pelancaran Sayembara novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 oleh Datuk Masidi Manjun pada 26 januari 2010
10. Karnival sambutan 40 tahun BAHASA di Kota Kinabalu pada 9-10 April 2010
Semasa Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan yang pertama diadakan, beberapa resulosi yang penting diluluskan seperti berikut:

1. Meminta kerajaan agar menjadikan Sabah sebagai dataran persuratan dan kebudayaan kebangsaan.
2. Menjadikan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan sebagai acara dwitahunan
3. Merayu kerajaan mewujudkan geran khas untuk Badan-Badan Persuratan di Malaysia.
4. Meminta kerajaan melalui Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mewujudkan Sekretariat Persuratan dan Kebudayaan Malaysia di Sabah
5. Meminta kerajaan menubuhkan akademi persuratan dan kebudayaan kebangsaan di Sabah
6. Mengiktiraf Sabah sebagai contoh perpaduan dan persefahaman kebangsaan.
7. Mewujudkan jaringan persuratan dan kebudayaan antara negeri-negeri dalam Malaysia
8. Meminta kerajaan negeri Sabah bagi mewujudkan Anugerah Persuratan bertaraf ASEAN
9. Memohon kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengisytiharkan bulan Mei setiap tahun sebagai bulan ‘Festival Puisi Negeri Sabah’
10. Merayu kerajaan, melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar meluluskan penubuhan Majlis Persuratan dan Kebudayaan Negeri Sabah.

Ada di antara kandungan resolusi itu telah pun dilaksanakan, sebagai contoh Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengiktiraf negeri Sabah sebagai contoh yang terbaik dalam konteks perpaduan dan persefahaman antara kaum di Malaysia apabila beliau memperkenalkan gagasan 1 Malaysia. Sama ada disedari atau tidak BAHASA sebenarnya telah menyuarakan lebih awal pandangan berkenaan.
Di bawah kepimpinan Jasni Matlani, BAHASA akan terus memperjuangkan beberapa resolusi lain yang belum terlaksana dan BAHASA akan terus bersama-sama rakyat, pemimpin dan kerajaan dalam menjadikan Sabah sebagai dataran ilmu dan budaya yang penting di rantau ini.

Saturday, February 6, 2010

Mengenali Sasterawan Sabah: Allahyarham Datuk Ismail Abbas @ Amil Jaya

DALAM perkembangan sastera Sabah, nama Amil Jaya sering disentuh oleh peneliti sastera tanah air sebagai penulis yang dapat bertahan dan menulis secara berterusan. Amil Jaya membentuk namanya sebagai penulis melalui bakat, keinginan dan cita-cita kepengarangannya yang dipupuk sejak di sekolah rendah. Bakat, keinginan dan cita-cita itu disuburkan oleh keresahan serta desakan berfikir yang menggelodak dalam dirinya. Pengalaman sewaktu penjajahan Inggeris, peningkatan kosa kata bahasa Melayunya serta pengamatan dan penghayatannya kepada aspek sosio-politik-ekonomi dan budaya, mendorongnya menulis dan memaparkan perkara-perkara yang positif kepada masyarakat.

Amil Jaya memulakan persekolahannya pada tahun 1952 dan menamatkannya pada tahun 1954di Sekolah Rendah Kerajaan Tenghilan, Sabah. Keputusan peperiksaannya agak cemerlang dan dalam masa setahun beliau naik darjah sebanyak dua kali. Lantaran keluarga yang kurang berada, Amil Jaya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Inggeris yang kebanyakannya diasaskan oleh mubaligh Kristian. Sekatan yang ketat dikenakan kepada bumiputera Sabah oleh penjajah turut membantutkan peningkatan akademik Amil Jaya.

Kemudian pada tahun 1962, Amil Jaya bertugas sebagai guru pelatih di Sekolah Sukarela Rakyat di sebuah kampung terpencil, iaitu Kampung Wangkod, Tenghilan. Selain menjadi guru pelatih, sekali gus beliau menjadi guru besar kerana beliau satu-satunya guru di sekolah tersebut dan menjadi tenaga pengajar kepada enam buah kelas, iaitu dari darjah satu hingga darjah enam.

Semasa menjadi guru di sekolah ini, Amil Jaya berusaha meningkatkan kelulusan akademiknya. Pada setiap hari Sabtu, beliau bergegas dari rumah ke jalan raya terdekat. Perjalanannya bermula pada jam 4.00 pagi kerana mengejar satu-satunya bas dari Tenghilan ke Tamparuli, untuk menghadiri kelas bahasa Inggeris di Tamparuli khusus untuk guru-guru. Kelas bahasa Inggeris ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah. Amil Jaya terpaksa berjalan meredah hutan selama tiga jam pada awal subuh dari rumahnya menuju ke jalan raya di Tenghilan. Namun kerana ingin meningkatkan ilmu, Amil Jaya tabah dan rela menempuhnya selama dua tahun sehingga lulus cemerlang ke tahap sijil Teaching English as a Foreign Language (TEFL).

Pada bulan Ogos 1964, Amil Jaya dihantar berkursus di Pusat Latihan Guru-guru Bumiputera Sabah, di Tanjung Aru, Kota Kinabalu. Kemudian pada bulan Februari 1965, Amil Jaya dihantar kembali mengajar di sekolah asalnya di Kampung Wangkod. Selepas itu, beliau ditukar mengajar di Sekolah Rendah Kerajaan Selupoh, Tuaran.

Semasa mengajar di Sekolah Rendah Kerajaan Selupoh, Amil Jaya menyertai kelas lanjutan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Kelas itu ditubuhkan oleh Pengetua Maktab tersebut, Anas Haji Ahmad, dalam usahanya meningkatkan kelulusan akademik guru-guru Sabah. Kelas SRP itu adalah yang pertama diadakan di Sabah dan khusus untuk guru-guru di daerah Tuaran sahaja. Pelajarnya terdiri daripada guru-guru yang hanya berkelulusan darjah lima dan enam.

Pada tahun 1969, Amil Jaya mengikuti Kursus Lanjutan Perguruan dan Peningkatan Akademik di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Pada tahun 1970 pula, beliau berpindah ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, mengikuti kursus yang sama.

Pada tahun 1970 itu juga, Amil Jaya lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seterusnya Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1972. Pada tahun 1976, beliau diterima sebagai Mahasiswa Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1982. Sebelum itu, pada Januari 1971 (sesudah menamatkan kursus di Maktab Perguruan Bahasa dan Maktab Perguruan Sultan Idris), Amil Jaya dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Setelah berkhidmat di Maktab Perguruan Gaya selama empat tahun, Amil Jaya telah dipinjamkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah untuk berkhidmat dengan Biro Kesusasteraan Borneo Cawangan Sabah pada tahun 1974. Beliau dilantik sebagai Editorial Officer, dan juga Officer Incharge bagi cawangan biro tersebut di Kota Kinabalu.

Tiga tahun kemudian, iaitu pada bulan Januari 1977, Biro Kesusasteraan Borneo telah bergabung dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Semua pegawai dan kakitangan Biro diserapkan untuk meneruskan perkhidmatan mereka di DBP, termasuklah Amil Jaya yang telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik. Sejak tahun 1991 beliau memegang jawatan Pengarah DBP Cawangan Sabah hinggalah bersara pada tahun 1994.

Amil Jaya adalah antara tokoh yang sama-sama menyemarakkan peranan Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Bermula sebagai anggota biasa pada tahun 1972, beliau telah dipilih menganggotai Ahli Jawatankuasa Tertinggi badan tersebut hingga tahun 1989. Pada tahun yang sama itu juga beliau terpilih sebagai Yang Dipertua BAHASA.

Semasa gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah, Amil Jaya turut terlibat dan bersama-sama Jamdin Buyong (Jamdin B), Datu Haji Dzulkifli Abdul Hamid dan seluruh ahli BAHASA mendesak melalui satu seminar supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Sabah. Hasrat itu tercapai apabila bahasa Melayu diumumkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Sabah pada 31 Ogos 1973 oleh Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam upacara yang gilang-gemilang sempena perayaan 10 tahun Sabah di dalam Gagasan Malaysia.

Sebagai penulis pula, Amil Jaya telah menghasilkan tiga buah novel. Novel-novelnya mengemukakan persoalan-persoalan yang berkisar tentang konflik masyarakat peribumi Sabah yang bertolak daripada permusuhan tradisional yang berhubung antara etnik-etnik Kayan, Melanau, Kelabit di Sarawak dalam novel Ngayau; konflik etnik Bajau dan Dusun dalam Bagaton; dan konflik ras Kadazan dan Bajau dalam novel Cerah.

Tiga buah novel remajanya, iaitu Yanti Anak Laut, Herwan Anak Kembara dan Periuk Kera Raksasa mengetengahkan unsur-unsur kembara, lasak dan keberanian di kalangan anak-anak remaja. Menurut Amil Jaya, perasaan ingin tahu remaja harus dieksploitasi supaya timbul rasa berani, keinginan mencuba, dan perasaan ingin tahu mereka harus dipenuhi dan dipertingkatkan serta sifat-sifat lasak perlu diwujudkan melalui bahan bacaan. Watak-watak wira pujaan mereka harus diwujud dan diresapkan ke dalam imaginasi dan daya khayal mereka.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia kesusasteraan, Amil Jaya tidak banyak menulis cerpen. Setakat ini, cuma 30 buah cerpen yang telah diterbitkan di pelbagai akhbar dan majalah. Persoalan-persoalan yang digarapkannya berkisar kepada persoalan cinta dan kasih sayang, dan politik. Kebanyakan persoalan yang digarapkannya itu adalah refleksi daripada pengalaman dan pengamatannya tentang peristiwa-peristiwa semasa. Kekuatan Amil Jaya terletak pada penghayatannya tentang hakiki kehidupan seperti yang terpancar pada cerpen "Nor Hayati", "Pak Sakar", "Pusaka Yang Hilang", "Lintah" dan "Tuntutan Kasih".

Sepanjang hidupnya, Amil Jaya tidak pernah renggang daripada kegiatan kesusasteraan. Beliau sering menyertai seminar, simposium, dialog, bengkel dan ceramah sastera di peringkat, nasional dan antarabangsa. Malahan sebahagian besar daripada hidupnya didedikasikan kepada kecemerlangan dan kesuburan sastera Melayu, sama ada sebagai penulis sastera kreatif, editor, pemberita, pengkritik mahupun pengurus ataupun sebagai pemikir dan aktivis sastera.

Atas sumbangannya dalam pembinaan dan pengembangan kesusasteraan Melayu di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya, Amil Jaya telah menerima Penghargaan Penulis pada tahun 1987 oleh DBP Cawangan Sabah yang diberi oleh kerajaan negeri pada tahun 1990.Berdasarkan kecemerlangan menyemarakkan dunia kesusasteraan Melayu, Amil Jaya dipilih sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) di Bangkok pada tahun 1992. Amil Jaya pernah menjadi Yang Dipertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan anggota jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).


KARYA
Novel
- Cerah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976
- Ngayau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979
- Bagaton. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987

Novel Remaja
- Herwan Anak Kembara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982
- Yanti Si Anak Laut. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986
- Periuk Kera Raksasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.

Kumpulan Cerpen
- Adam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008

Beliau meninggal dunia di kediamannya akibat serangan jantung pada 2 September 2009.
(al-fatihah selalu buat rohnya ... moga dicucuri rahmat)