Wednesday, December 30, 2009

Kata-kata falsafah yang mengubah kehidupan

SEORANG penulis Arab, Ghadah Al-Saman, pernah menagatakan, kata-kata yang terindah adalah kata-kata yang tidak diungkapkan. Tetapi kata saya, kata-kata yang diungkapkanlah yang boleh mengubah kehidupan, lebih-lebih lagi jika kata-kata itu sangat tinggi nilai falsafahnya, penuh renungan dan tersirat makna yang mendalam tentang perjuangan hidup manusia. Sebab itu baru-baru ini saya terbaca satu rencana tentang Brunello Cucinelli, seorang tokoh usahawan dan kapitalis Itali yang memperoleh pendapatan sekitar 154 juta Euro pada tahun 2009, dan percaya bahawa kata-kata falsafah yang dipaparkan di tempat tertentu di pejabat dan di kilang barangan mewahnya di Umbria, Itali sesungguhnya mempengaruhi kehidupan, kualiti kerja dan keberkesanan pengurusan syarikatnya.

Terdapat kata-kata falsafah yang dilekatkan pada dinding berhampiran kilang yang dia mahu supaya para pekerjanya menyerap dan memikirkan makna tersirat kata-kata falsafah itu untuk tujuan perubahan paradigma, sikap dan kehidupan, setiap kali mereka melihat dan membacanya. Antara kata-kata yang menghiasi dinding kilangnya itu ialah kata-kata falsafah Socrates yang berbunyi “Sebuah kehidupan tanpa pencarian tidak berbaloi dijalani. Kemudian kata-kata Aristotle “Alam semula jadi tidak melahirkan sesuatu tanpa makna”, dan kata-kata Galileo, “ Di sebalik setiap masalah terdapat satu peluang”.

Apabila tokoh itu menyebut tentang cara pengurusan syarikat dan kilang barangan mewahnya, dia berkata, dia tidak pernah menggunakan kad perakam waktu untuk kakitangan dan pekerjanya, mereka boleh datang dan pulang sesuka hati, kerana setiap manusia katanya, mempunyai urusan dan kekangan hidup masing-masing. Jadi seluruh perniagaan dan pengurusan syarikat dan perkilangannya diurus berdasarkan kepercayaan semata-mata, asalkan para pekerjanya datang itu sudah memadai, asalkan mereka bekerja dengan kreatif, berinovasi dan sentiasa berfikir tentang keuntungan.

“Jangan paksa mereka bekerja mengikut kekangan masa yang kita tetapkan, tetapi mereka tidak menyukainya. Apabila seseorang itu menjalani gaya hidup yang digemari dan disukainya, maka dia akan menjadi lebih kreatif dan inovatif. Jika kita mahu membuat perubahan dan mahu menghasilkan barangan yang berkualiti, kita perlukan manusia. Untuk meyakinkan insan yang terbabit agar melakukan kerjjhiuva yang baik dan berkualiti, kita perlu memastikan pekerjaan tersebut bermaruah dan mereka sangat menyukainya” kata Brunello Cucinelli.

Bagi saya kehebatan Brunello Cucinelli ada dua. Pertama, dia hebat mencari idea yang terbaik bagi mengurus perniagaannya dengan mwujudkan masa yang sangat anjal, tanpa sebarang kekangan waktu yang rigid. Kedua, kegemarannya terhadap kata-kata falsafah yang diyakininya akan mengubah kehidupan manusia di sekelilingnya. Sebab itu saya melihat kata-kata yang indah, dan sarat falsafah ini sangat penting dalam kehidupan manusia dan apabila ia diungkapkan ia akan menjadi pedoman manusia untuk jangka masa yang lama.

Hamka misalnya pernah mengungkapkan kata-kata tentang perkahwinan seperti berikut, perkahwinan itu ialah percantuman dua jiwa dengan seribu perbezaan. Saya kata itu realitinya. Jika anda hendak mengahwini seseorang kerana ada persamaan anda dengannya, itu adalah karut. Jangan kata, anda mencari gadis yang mempunyai hobi sebagai kutu buku seperti anda untuk dikahwini. Itu juga adalah karut. Kita akan tetap bertemu perbezaannya. Perbezaan itulah yang menentukan sama ada kita tahan uji untuk kekal bersama atau sebaliknya. Sebab itu dalam sebuah cerpen, saya menulis ”Jadi janganlah terlalu memilih. Bukan persamaan yang kamu mesti cari daripada perkahwinan, melainkan perbezaan. Tidak ada persamaan, Ingat itu, melainkan perbezaan”

Kemudian saya teringat satu kata-kata falsafah yang sangat menarik tentang bangsa di Malaysia. Saya tidak ingat siapa yang mengungkapkannya, tetapi ia lebih kurang berbunyi begini, persoalan bangsa tidak boleh dibincangkan dalam suasana yang terlalu panas dan penuh provokasi. Dalam masa yang kita tidak boleh lagi menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet.

Ungkapan ini saya kata sangat menarik kerana dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, persoalan bangsa memang sering menjadi isu yang sensetif dan perlu berhati-hati diungkapkan.Apabila seorang tokoh pembangkang baru-baru ini mempersoalkan perbelanjaan kerajaan dalam membina masjid, tentulah ia menguris hati orang Melayu yang beragama Islam. Kenyataan bersifat provokasi seperti ini boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan keharmonian hidup rakyat. Walaupun trend politik seperti ini, mungkin menguntungkan pihak tertentu dalam jangka masa pendek, tetapi saya masih berpendapat ia mesti dielakkan supaya keharmonian kaum dapat dinikmati untuk jangka masa yang lama di negara ini.

Apabila UMNO diharamkan pada tahun 4 Februari 1988, seorang tokoh ilmuan dan pejuang keamanan dari Jepun yang juga Presiden Pertubuhan Soka Gokkai Internasional, Daisaku Ikeda, melawat Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, dua hari selepas peristiwa yang mengejutkan negara itu berlaku. Dalam pertemuan itu dia berkata kepada Dr. Mahathir “Di dalam setiap zaman dan setiap negara, mereka yang berada dalam kedudukan sebagai pemimpin sememangnya menanggung kesukaran. Dengan mengatasi kesukaran itu, datanglah sinar yang lebih terang”.
Tun Dr. Mahathir kemudian mengangguk dan berkongsi kepimpinnnya dengan mengatakan “Pemimpin sentiasa berhadapan dengan keadaan yang susah dan masalah yang sukar. Salah satu kunci yang diperlukan oleh pemimpin ialah keazaman untuk mengatasi segala kesukaran itu, di samping keberanian yang aktif untuk mencari dan menerima cabaran”.

Kata mantan Presiden Pertubuhan Soka Gakkai Internasional yang kedua, Josei Toda, bermulalah dengan perkara yang paling sukar, selepas itu segalanya akan menjadi mudah.Apabila Dr. Mahathir sekali lagi ditanya oleh Encik Daisaku Ikeda, tentang rahsianya mentadbir negara yang berbilang kaum dan agama, Dr. Mahathir menjawab budayalah yang menjadi faktor penentu paling utama. Budaya menjadi penyokong utama untuk pembangunan yang harmoni.

Pada malamnya Encik Daisaku Ikeda kemudiannya diraikan dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Dr. Mahathir dan beberapa menteri lain dan persembahan budaya tarian Kikunokai dari Jepun juga dipersembahkan. Tetapi yang mengejutkan semua orang dalam majlis itu ialah sebahagian besar penari tarian Jepun itu adalah orang Malaysia. Begitu juga tarian Malaysia yang dipersembahkan pada malam itu ditarikan oleh wanita Jepun. Itu adalah imbasan Renaisans Asia yang beraneka warna yang menunggu dunia pada hari muka.

Tetapi lebih daripada itu, di dalam negara saya yang tercinta ini, saya juga hendak melihat dengan begitu ghairah, suatu pemandangan atau persembahan sebenar di mana pada ketika itu, orang Cina dengan tulus ikhlas menarikan atau mempersembahkan tarian Melayu seperti Zapin, Inang, Samazau dan sebagainya, Orang India menayanyikan lagu asli, dondang sayang, joget, lagu etnik Bajau atau kadazandusun dan sebagainya. Saya berfikir itu jauh lebih baik daripada membangkitkan isu ketuanan Melayu.
Kita hendak duduk bersama dan membina negara ini berasaskan pelembagaan yang telah kita persetujui bersama. Kita mahu kata-kata yang indah, yang diungkapkan biarlah menyumbang kepada keharmonian dan keamanan. Di dalam kehidupan, keamanan adalah perkara yang paling penting daripada segalanya. Tanpa keamanan kata mantan Presiden Republik Dominika, Joaquin Balaguer, kita tidak akan mencapai apa-apa. Keamanan tidak terjadi hanya dengan mengelak peperangan, tetapi kita perlu menubuhkan kesatuan yang padu antara semua manusia.

Pemimpin itu jugalah yang saya ingat, telah mengungkapkan sebuah kata-kata yang sungguh indah dan berfalsafah, lewat sebuah puisi yang penuh makna yang masih saya ingat sehingga kini, “tiada apa yang dapat mencarik benderaku. Sekalipun pohon oak membengkok diserbu angin. Ia tidak akan berkerik. Ia mendengar pada nyanyian beburung di atas dahan”

Puisi itu pada saya sungguh mengagumkan. Ia bukan hanya menyerlahkan watak seorang yang berkuasa, tetapi lebih daripada itu ia sebenarnya cerminan watak yang unggul yang melangkau batas politik dan kuasa. Seperti katanya yang banyak mempengaruhi saya dalam kehidupan, “Jika kita sendiri menjadi sumber cahaya, maka tidaklah ada kegelapan di dunia ini”.

Akhir sekali saya menyebut dan menyukai Yang Berhormat Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif, pemimpin muda yang bersinar bintangnya di Negeri Sabah, bukan kerana dia adalah sahabat saya, tetapi di dalam dirinya tersimpan seribu kata-kata yang apabila diungkapkan ia sebenarnya boleh mengubah dunia. Antara kata-kata berfalsafah yang pernah diungkapkannya ialah “Manusia berjaya kala ditakluk kalbu, binasa kala ditawan nafsu” dan dia juga seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berani seperti ungkapannya, “pemilik jiwa yang besar ialah orang yang tidak mengenal erti kalah. Tidak gusar di hadapan kritikan dan tidak gentar menghadapi apapun keadaan”.
Sementara ketika mengulas tentang nilai persahabatan, Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif pernah menulis “Mahalnya persahabatan kala dicagarkan dengan kesetiaan, murahnya persaudaraan kala digadai dengan kepuraan”

Kata-kata ini mengingatkan saya kepada dunia yang kita huni ini, kita bertemu dengan pelbagai bencana kehidupan kerana seseorang yang menikam belakang sahabatnya sehingga pertumpahan dan huru hara berlaku. Justeru itu menghargai persahabatan mempunyai harga yang tidak kecil. Persahabatan tidak kenal kepada darjat, batas kaum atau kepentingan diri. Persahabatan tidak kenal perbezaan pendapat atau bangsa. Persahabatan hanya bersandarkan kepada tiang ikhlas, kesetiaan, kepercayaan dan rasa kemanusiaan yang tinggi.

Saya tahu, Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif adalah pemimpin yang berkarisma dan tidak mengorbankan kepentingan persahabatan untuk kepentingan dirinya. Beliau juga tidak mengorbankan kepentingan rakyat untuk kepentingan dirinya. Kerana pemimpin yang mengorbankan sahabat dan rakyat untuk kepentingannya adalah tidak bertanggungjawab, sama seperti rakyat yang tidak berguna, yang mengorbankan masa depannya untuk kesenangan yang singkat dan sementara.

JASNI MATLANI

1 comment:

Hasyuda Abadi said...

Falsafah menyebabkan hidup ini lebih indah daripada yang dijangkakan...