Sunday, February 7, 2010

SEJARAH BAHASA

BADAN BAHASA DAN SASTERA SABAH (BAHASA) ditubuhkan pada 19 Mac 1970, setelah dua buah persatuan yang aktif pada tahun 1960-an iaitu Persatuan Penulis-Penulis Sabah (PERPESA) yang ketika itu diterajui oleh Hajah Noraini Haji Salleh, Amil Jaya, Osman Abdul Rahman atau Kembara Muda, M.A. Rahman dan beberapa orang lagi, bergabung dengan Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) yang dipelopori oleh Kisnawati atau Mohd. Tahir Abdul Hamid dan akhirnya tertubuhlah BAHASA.
Di peringkat awal penubuhannya BAHASA diketuai oleh Datuk Dzulkifli Haji Abdul Hamid dan setiausaha Agungnya yang pertama ialah Datuk Jamdin Buyong. Dalam masa yang singkat sahaja BAHASA menubuhkan cawangannya di seluruh negeri Sabah. Tiga bulan selepas penubuhannya BAHASA sudah mempunyai 23 buah cawangan dan mempunyai ribuan ahli di seluruh negeri Sabah. 4 buah cawangan lagi ditubuhkan kemudian.
Menurut Datuk Ismail Abas dan Datuk Haji Shuhiabun Yusof (1989), apabila BAHASA ditubuhkan, dalam masa yang singkat sahaja cawangan BAHASA ditubuhkan di merata tempat, di kota dan desa. Ahlinya kain hari kian bertambah sehingga melebihi sepuluh ribu orang. Pemimpin di peringkat kampung, peringkat daerah dan malah ahli politik setempat dan ketua masyarakat turut menyertai BAHASA. Kegiatan kebahasaan dan persuratan seperti peraduan menulis esi, peradauan bahas dan pidato, sayembara menulis cerpen, puisi dan novel diadakan di merata daerah, sehingga kegiatan bahasa dan sastera menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat terutamanya golongan guru, pelajar dan masyarakat umum.
BAHASA menjadi sebuah persatuan yang sangat berpengaruh dan antara objektif dan tujuan penubuhan BAHASA ialah seperti berikut:

• Menyatupadukan semua kamu di negeri Sabah khasnya dan di Malaysia amnya menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu Bahasa Melayu.
• Menyatupadukan seluruh penulis, guru, peminat dan ahli bahasa dan sastera di Sabah
• Berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, sastera dan ilmu pengetahuan
i) Berjuang daan mempertahankan serta meninggikan kedaulatan bahasa dan sastera.
ii) Mengadakan hikmat-hikmat bagi menggalakkan, meninggikan dan memperkembangkan bahasa dan sastera yang meluputi A. Usaha penulis-penulis seniman dan bidang penerbitan bahan-bahan bacaan seperti buku, majalah dan risalah. B. Memperjuangkan serta mempertahankan hak-hak kepentingan dan kebajikan penulis-penulis dan seniman yang menjadi ahli BAHASA. C. berhubung serta bekerjasama dengan persatuan atau pertubuhan dalam dan luar negeri yang mempunyai tujuan yang sama dengan (BAHASA).

Pada tahun 1973 BAHASA telah menjadi tuan rumah penganjuran Hari Sastera. Hari Sastera ini adalah julong-julong kalinya diadakan di Sabah. Selepas itu BAHASA juga menganjurkan sayembara penulisan novel, dimana lahirlah tiga buah novel yang penting di Sabah iaitu Nafas Yang Hampir Putus oleh Anuar Beda Amasuba, Serandung oleh Isa Razak dan Cerah oleh Amil Jaya. Dua daripada novel ini telah diterbitkan DBP iaitu Nafas Yang hampir Putus dan Cerah. Di bawah pimpinan Datuk Dzulkifli Abdul Hamid (Allahyarham) BAHASA telah memainkan peranan yang sangat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu di Sabah. Malah selain daripada mendesak dan membawa tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada 1 Januari 1977, BAHASA juga berperanan dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negeri Sabah.
Tun Dato Mustapha Dato Harun yang menjadi Ketua Menteri Sabah ketika itu memberi perhaatian dan sokongan yang penuh terhadap usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di Sabah. Tun Mustapha menyedari betapa pentingnya Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi dan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Sabah. Walaupun ada pengkritik yang menganggap tindakannya mendaulatkan Bahasa Melayu itu sebagai alasan beliau yang tidak mahir berbahasa Inggeris. Tuduhan itu adalah tidak benar, kerana pada 16 september 1973 bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa rasmi di Sabah. Beliau menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia bagi mengelak supaya tidak timbul sebarang prasangka negatif suku kaum lain yang tidak beragama Islam agar menerima bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan sama ada dalam urusan rasmi atau tidak di negeri Sabah.
Kata Datuk Ismail Abas dan Datuk Haji Shuhiabun Yusof, sebagai sebuah pertubuhan yang bermatlamatkan menyatukan rakyat berbilang kaum menerusi satu bahasa, maka BAHASA sesungguhnya telah berjaya memainkan peranan dalam memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di dalam semua urusan kerajaan, badan berkanun, firma swasta dan masyarakat umum di negeri Sabah keseluruhannya. Inilah kejayaan dan kecemerlangan BAHASA sebagai penggerak dan pemikir bahasa dan sastera di Sabah, malah di peringkat kebangsaan. BAHASA berjaya mendesak pemimpin dan kerajaan agar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Sabah tanpa berganjak walau sehari pun daripada hari yang telah dimaktubkan dalam gagasan Malaysia dahulu. Cita-cita itu tercapai hasil usaha seluruh ahli BAHASA, sesuai dengan keputusan seminar pada 4-6 Ogos 1970 yang diadakan di Kota Kinabalu itu.
Pada awal tahun 1980-an BAHASA semakin merundum,sehingga akhirnya timbul pula ura-ura yang dicetuskan oleh beberapa orang penulis Sabah untuk menyemarakkan BAHASA semula. Antara tokoh yang terlibat dengan penubuhan BAHASA di peringkat awal inilah Datuk Jamdin Boyung, Datuk Ismail Abas, Puan Hajah Zaiton Haji Ajmain, Haji Hussein Qasau, Haji Ismail Bongsu dan beberapa orang lagi. BAHASA yang selama ini tidak lagi aktif akhirnya dihidupkan kembali pada tahun 1986 dan Datuk Ismail Abas atau Amil Jaya telah dipilih sebulat suara menerajui badan ini.
Beliau dibantu oleh beberapa orang aktivis sastera serta penulis yang berkelibar di Sabah ketika itu. Setahun kemudian iaitu pada 4-6 september 1987 BAHASA bersama-sama dengan GAPENA telah menganjurkan Hari Puisi Nasional di Kota Kinabalu iaitu yang kedua dianjurkan di Sabah dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah. Tema hari Puisi Nasional yang diadakan di Sabah itu ialah “Dunia Penyair- Antara Desa dan Kota”.
Pada pertengahan tahun 1980-an sekali lagi berlaku pergolakan dalam BAHASA sehingga akhirnya membawa kepada pertukaran pucuk pimpinan BAHASA. Datuk Ismail Abas kemudian digantikan oleh Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah). Malangnya tidak banyak kegiatan besar yang dilaksanakan semasa kepimpinan beliau. Apabila BAHASA krisis kepimpinan pada awal alaf baru, sekali lagi Datuk Ismail Abas mengambil alih teraju kepimpinan BAHASA pada tahun 2003. Tetapi beliau hanya menerajui BAHASA selama dua tahun. Pada tahun 2005, Datuk Ismail Abas mengundur diri atas sebab-sebab kesihatan, tempat beliau akhirnya digantikan Jasni Matlani. Di bawah kepimpinan Jasni Matlani BAHASA semakin aktif menganjurkan pelbagai kegiatan. Beliau sendiri telah menggalurkan beberapa wawasan dan visi untuk memperkukuhkan peranan dan perjuangan BAHASA seperti berikut:
1. Menjadikan Sabah sebagai dataran imu dan sastera Melayu yang penting di rantau Asia Tenggara.
2. Mengemukakan gagasan kepada kerajaan negeri Sabah agar menubuhkan sebuah Lembaga Bahasa dan Sastera Sabah (LBSS) untuk melindungi golongan penulis, sasterawan dan budayawan, seterusnya mengimarahkan lagi perkembangan bahasa dan sastera Melayu di Sabah.
3. Mendesak kerajaan Negeri Sabah agar menjadikan bulan Mei sebagai bulan Festival Puisi setiap tahun di Sabah, dimana di sepanjang bulan ini, berbagai-bagai kegiatan berkaitan puisi diadakan di pelbagai peringkat di seluruh Negeri Sabah dan membabitkan rakyat pelbagai kaum Negeri Sabah. Festival Puisi ini telah pun diputuskan dimulakan di Sabah bermula bulan Jun 2009.
4. Mewujudkan Anugerah Sastera Borneo dan Sabah sebagai pusatnya bagi memberi peluang kepada penulis-penulis di kepulauan Borneo diiktiraf di peringkat tertinggi dan mengangkat mutu karya sastera Melayu di kepulauan berkenaan ke tahap sewajarnya.
5. Mewujudkan rumah atau sekretariat BAHASA di Sabah
Untuk memastikan visi dan idea beliau tercapai, beliau melipatgandakan lagi usaha dan bersama-sama dengan jawatankuasa tertinggi BAHASA yang dipilih, beliau telah menganjurkan pelbagai kegiatan. Sejak menerajui BAHASA pada tahun 2005, BAHASA telah menganjurkan beberapa kegiatan yang bertaraf negeri dan nasional antaranya ialah:

1. Persembahan Dekon Dun dangan Kasih yang dihadiri Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah, 24 April 2006
2. Dialog Budaya peringkat Negeri yang diadakan di Pusat Latihan BTN di Kundasang Ranau, pada 25-27 Ogos 2006
3. Seminar Pemikiran Amil Jaya di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah pada 26-27 April 2008
4. Pementasan teater Menuggu Tuan Presiden di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah pada 13 Nov 2008
5. Baca Puisi GAZA di Jalan Gaya Kota Kinabalu pada 18 Januari 2009
6. Persidangan Persuratan dan Kebudayaan peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu pada 6-8 Mac 2009
7. Sayembara deklamasi Puisi Kebangsaan peringkat daerah seluruh negeri sabah dan Peringkat Negeri Sabah bersama-sama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah bagi tahun 2006,2007,2008 dan 2009
8. Penyampaian Hadiah SEDCO-BAHASA yang pertama di Kota Kinabalu pada 2 Disember 2009
9. Pelancaran Sayembara novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 oleh Datuk Masidi Manjun pada 26 januari 2010
10. Karnival sambutan 40 tahun BAHASA di Kota Kinabalu pada 9-10 April 2010
Semasa Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan yang pertama diadakan, beberapa resulosi yang penting diluluskan seperti berikut:

1. Meminta kerajaan agar menjadikan Sabah sebagai dataran persuratan dan kebudayaan kebangsaan.
2. Menjadikan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan sebagai acara dwitahunan
3. Merayu kerajaan mewujudkan geran khas untuk Badan-Badan Persuratan di Malaysia.
4. Meminta kerajaan melalui Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mewujudkan Sekretariat Persuratan dan Kebudayaan Malaysia di Sabah
5. Meminta kerajaan menubuhkan akademi persuratan dan kebudayaan kebangsaan di Sabah
6. Mengiktiraf Sabah sebagai contoh perpaduan dan persefahaman kebangsaan.
7. Mewujudkan jaringan persuratan dan kebudayaan antara negeri-negeri dalam Malaysia
8. Meminta kerajaan negeri Sabah bagi mewujudkan Anugerah Persuratan bertaraf ASEAN
9. Memohon kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengisytiharkan bulan Mei setiap tahun sebagai bulan ‘Festival Puisi Negeri Sabah’
10. Merayu kerajaan, melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar meluluskan penubuhan Majlis Persuratan dan Kebudayaan Negeri Sabah.

Ada di antara kandungan resolusi itu telah pun dilaksanakan, sebagai contoh Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengiktiraf negeri Sabah sebagai contoh yang terbaik dalam konteks perpaduan dan persefahaman antara kaum di Malaysia apabila beliau memperkenalkan gagasan 1 Malaysia. Sama ada disedari atau tidak BAHASA sebenarnya telah menyuarakan lebih awal pandangan berkenaan.
Di bawah kepimpinan Jasni Matlani, BAHASA akan terus memperjuangkan beberapa resolusi lain yang belum terlaksana dan BAHASA akan terus bersama-sama rakyat, pemimpin dan kerajaan dalam menjadikan Sabah sebagai dataran ilmu dan budaya yang penting di rantau ini.

No comments: