Friday, April 29, 2011

SENARAI JAWATANKUASA TERTINGGI BAHASA SESI 2011/2012

Yang Di Pertua Jasni Bin Matlani (Menang tanpa bertanding)
Timbalan Yang Di Pertua Ramli Jusoh (Menang tanpa bertanding)
Setiausaha Satu Aliuddin Mohd. Salleh (Dilantik)
Setiausaha Dua Siti Rahmah G Ibrahim (Menang tanpa bertanding)
Bendahari Md. Salleh Bin Ali (Dilantik)
Penerangan Ruhaini Matdarin (Dilantik)


Ahli Jawtankuasa Dipilih Jair Sulai
Abdul Karim Gulam
Dayang Mastura Pg. Ismail
Faridah Abdul Hamid
Welnee Joykin
Maznah Sulaiman
Angela Engkuan
Saik Dalwis
Siti Zuraidah Mukaddam
Norhayati Tasip

Ahli Jawatankuasa dilantik Amini Gawis
Hayati Istiqamah Haji Jalidar
Hajah Rubiah Nordin
Junainah Imyabir
Juri Durabi

Saturday, April 23, 2011

PERJALANAN PANJANG MERENTAS CABARAN

SAYA masih ingat seorang sahabat, namanya Nandra Hitong memberitahu beberapa tahun lalu tentang tiga buah pertubuhan yang ditubuhkan di Sabah pada tahun 1960-an dan juga 1970-an yang masih aktif hingga ke hari ini. Tiga buah pertubuhan beliau senaraikan itu ialah USNO, pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan juga Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). “Pertubuhan lain yang seusia dengannya sudah berkubur” katanya.

Ketiga-tiga pertubuhan itu, jelas beliau, membawa siginifikan tersendiri terhadap perjuangan Melayu/Bumiputera di Sabah. USNO membawa perjuangan politik Melayu/Bumiputera, USIA membawa perjuangan dakwah Islamiah dalam kalangan Melayu/Bumiputera, sementara BAHASA menyerlahkan perjuangan hal-hal yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya Melayu/Bumiputera di negeri Sabah.
Walau bagaimana pun USNO akhirnya kecundang digantikan UMNO. Kini hanya tinggal USIA dan BAHASA sahaja yang meneruskan perjuangannya di tengah-tengah pencaroba zaman dan arus kehidupan yang makin mencabar pada ketika sebahagian besar pertubuhan yang seusia dengannya lenyap selama-lamanaya. USIA meneruskan agenda dakwah islamiahnya, sementara BAHASA dengan agenda kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan yang dipeloporinya sejak tahun 1970-an .lagi

Pemimpin kedua-dua buah pertubuhan itu iaitu USIA dan BAHASA sudah silih berganti, tetapi kedua-duanya terus bertahan, malah tidak tergugat dengan sebarang pertukaran yang berlaku terhadap barisan kepimpinannya. Bak kata pepatah Melayu “Patah tumbuh, hilang berganti” namun kedua-dua pertubuhan itu terus berada di atas laluannya, meredah ranjau sepanjang perjalanan merentas cabaran. Kedua-dua pertubuhan itu kini sudah melewati 40 tahun usianya, tetapi izinkanlah saya memperkatakan tentang BAHASA sahaja dalam tulisan kali ini, kerana kebetulan pada minggu lalu BAHASA baharu sahaja menyempurnakan mesyuarat agungnya di Kota kinabalu.

Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan BAHASA yang masih memberi kepercayaan terhadap saya memimpin persatuan berkenaan bagi penggal ke empat dan tentulah ia merupakan suatu amanat dan tanggungjawab besar kepada saya, terutama dalam melestarikan bidang bahasa, sastera dan budaya di negeri Sabah, agar dapat diletakkan di tempat sewajarnya dalam konteks perkembangan bahasa, sastera dan budaya kebangsaan, malah di peringkat serantau.

Saya turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kenalan dan sahabat yang menghantar ucap tahniah kepada Barisan kepimpinan BAHASA yang baharu bagi tempoh dua tahun akan datang. Tidak banyak perubahan yang berlaku dalam kepimpinan BAHASA kali ini, jawatan Timbalan Yang Di Pertua BAHASA masih dipegang oleh tokoh penulis veteran yang terkenal di Sabah dan juga di peringkat kebangsaan, Cikgu Ramli Jusoh, jawatan Setiausaha Satu masih dipegang Aliuddin Mohd Salleh, jawatan bendahari masih dipegang Saudara Salleh Mohd Ali, kecuali jawatan Setiausaha Dua, yang dahulunya dipegang penulis wanita prolifik, Ruhaini Matdarin, kini dipegang Siti rahmah G. Ibrahim. Bagaimana pun Ruhaini Matdarin kemudiannya mengambil alih jawatan ketua penerangan BAHASA daripada penyandang terdahulu, Dulamid Rudin.

Sepuluh orang yang terpilih membarisi jawatankuasa BAHASA ialah Jair Sulai, Abdul Karim Gulam, Dayang Mastura Pg. Ismail, Faridah Abdul Hamid, Welnee Joykin, Maznah Sulaiman, Angela Engkuan, Saik Dalwis, Siti Zuraidah Mukaddam dan Norhayati Tasip. Sementara, mereka yang dilantik pula ialah Amini Gawis, Hayati Istiqamah Haji Jalidar, Hajah Rubiah Nordin, Junainah Imyabir dan Aishah Aliszaman.

Badan BAHASA sebenarnya mula ditubuhkan pada 19 Mac 1970. Dicatatkan dalam sejarah, persatuan ini ditubuhkan setelah dua buah persatuan yang aktif pada tahun 1960-an iaitu Persatuan Penulis-Penulis Sabah (PERPESA) yang ketika itu diterajui Hajah Noraini Haji Salleh, M.A. Nast atau Haji Mohd. Ahyar Nasution, Amil Jaya, M.A. Rahman, Awang Abdul Hamid, Osman Abdul Rahman atau Kembara Muda dan beberapa orang lagi, bergabung dengan Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) yang dipelopori Kisnawati atau Mohd. Tahir Abdul Hamid, K. Bali, S. Mala, Datuk Murshidi Nambi, Murni S atau Shahirul Lakibul, Datuk R.M Jasni dan akhirnya tertubuhlah BAHASA. Tetapi M.A. Rahman kemudian dipecat daripada BAHASA apabila beliau bertanding sebagai calon United Sabah Action Party (USAP) pada tahun 1971.
Di peringkat awal penubuhannya BAHASA yang diasaskan dan diketuai oleh Datuk Dzulkifli Haji Abdul Hamid dan setiausaha Agungnya yang pertama, Datuk Jamdin Buyong, menjadi satu-satunya gerakan bahasa dan sastera yang ulung di negeri Sabah. Dalam sebuah kertas kerja yang ditulis Allahyarham Datuk Ismail Abas dan Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yusof berjudul “Seratus Tahun Kegiatan BAHASA di Sabah” dibentangkan sempena Seminar 100 Tahun Pergerakan Bahasa-Sastera Melayu di Malaysia, yang diadakan di Johor Bahru pada 28-29 Januari 1989, kedua-dua tokoh penulis Sabah itu mengatakan, gerakan bahasa dan sastera di Sabah sudah mula wujud pada zaman sebelum merdeka dan pada zaman awal merdeka dalam skala yang kecil melalui persatuan bahasa dan persuratan kecil-kecilan di peringkat daerah. Hanya apabila BAHASA ditubuhkan pada 19 Mac 1970, maka gerakan kebahasaan dan persuratan dapat dilaksanakan secara terancang dan rapi di negeri Sabah.

Dalam masa yang singkat sahaja BAHASA menubuhkan cawangannya di seluruh negeri Sabah. Tiga bulan selepas penubuhannya BAHASA sudah mempunyai 23 buah cawangan dan mempunyai ribuan ahli di seluruh negeri Sabah. Empat buah cawangan lagi ditubuhkan kemudian. Penganalisis berpendapat, itu adalah satu perkembangan yang di luar dugaan.

Pada bulan ogos 1970 apabila gerakan berkenaan menerbitkan majalah BAHASA sempena Seminar Bahasa dan Sastera anjuran BAHASA pada 4-6 Ogos 1970 di Kota Kinabalu, hanya selepas empat bulan penubuhannya, rencana pengarang majalah itu menyatakan, Badan Bahasa Sabah merupakan sebuah badan terbesar seumpamanya dalam sejarah kemajuan bahasa dan sastera di Sabah. Ia mempunyai ribuan ahli dan peminat bahasa dan sastera, mempunyai 23 buah cawangannya di seluruh negeri Sabah.
Menurut Datuk Ismail Abas dan Datuk Haji Shuhiabun Yusof lagi, apabila BAHASA ditubuhkan, dalam masa yang singkat sahaja cawangan BAHASA diwujudkan di merata tempat, di kota dan desa. Ahlinya kian hari kian bertambah sehingga melebihi sepuluh ribu orang. Pemimpin di peringkat kampung, peringkat daerah dan malah ahli politik setempat dan ketua masyarakat turut menyertai BAHASA. Kegiatan kebahasaan dan persuratan seperti peraduan menulis esei, peraduan bahas dan pidato, sayembara menulis cerpen, puisi dan novel diadakan di merata daerah, sehingga kegiatan bahasa dan sastera menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat terutamanya golongan guru, pelajar dan masyarakat umum.
Kata mereka lagi, tokoh yang menggerakkan BAHASA sehingga menjadi sebuah pertubuhan yang cukup berpengaruh ialah Yang Di Pertua BAHASA yang pertama iaitu Datuk Dzulkifli Abdul Hamid dan setiausaha agungnya, Datuk Jamdin Buyong. Mereka dibantu oleh ahli jawatankuasanya seperti Mohd. Tahir Abdul Hamid, Mohd. Ahyar Nasution, Noraini Haji Salleh dan beberapa orang lagi.

Pada tahun 1986 teraju BAHASA diambil alih pula oleh Datuk Ismail Abas atau nama penanya Amil Jaya, setelah melalui zaman gelap lebih sedekad lamanya. Bagaimana pun semasa pemilihan pucuk pimpinan BAHASA pada tahun 1994, Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah) pula mengambil alih teraju kepimpinan daripada Datuk Ismail Abas.
Pada tahun 2003 sekali lagi Datuk Ismail Abas mengambil alih kepimpinan BAHASA daripada Hajah Sairah Haji Antin dalam satu perhimpunan yang dianggap sebahagian besar ahli-ahlinya sebagai usaha menyelamatkan BAHASA dan meletakkan semula badan atau pertubuhan itu di atas landasan asalnya. Tetapi usaha itu ternyata gagal, kerana kudrat Datuk Ismail Abas ketika itu tidak lagi mengizinkan beliau bergiat aktif dalam gerakan bahasa dan sastera di Sabah. Akhirnya pada tahun 2005 diadakan mesyuarat agung BAHASA di sudut penulis DBP Cawangan Sabah, dan saya secara rasminya mengambil alih teraju kepimpinan BAHASA daripada Datuk Ismail Abas.
Di peringkat awal kepimpinan dalam BAHASA, saya lebih banyak melakukan kerja-kerja pemulihan BAHASA, menyusun semula pentadbran, meraih semula kepercayaan masyarakat terhadap BAHASA dan mengukuhkan hubungan antara penulis, sama ada generasi penulis mapan mahupun penulis muda. Misi pertama saya ialah untuk menjadikan BAHASA sebuah pertubuhan yang terbuka kepada penulis di negeri Sabah, tidak kira mereka golongan muda atau veteran. Saya tidak mahu melihat BAHASA menjadi pertubuhan yang hanya dianggotai oleh penulis elite atau mereka yang dianggap tokoh dalam dunia sastera di negeri Sabah.

Sebaliknya saya membawa ramai penulis muda menyertai BAHASA. Apabila saya melihat ada kelibat penulis muda yang berpotensi dalam dunia sastera, saya mendorong mereka menyertai BAHASA, kerana selain daripada belajar mengasah bakat kepimpinan dan mengatur strategi, membina rangkaian bagi menyerlahkan keterampilan dalam bidang sastera dan penulisan, saya dengan penuh yakin memberitahu golongan penulis muda, bahawa mereka tidak rugi menyertai pertubuhan BAHASA.
Jika mereka benar-benar hendak menjadi penulis, pejuang bahasa, sastera dan budaya, maka inilah wadah dan institusinya, di mana mereka bertemu dengan ramai orang yang bakal membuka ruang dan peluang bagi mereka menapak lebih jauh ke hadapan dalam bidang penulisan. Sebahagian besar daripada orang yang mereka temui itu adalah tokoh-tokoh besar dalam bidang penulisan, yang mungkin menghasilkan puluhan buku dan mendapat pengiktirafan sama ada di peringkat negeri, nasional mahupun serantau.

Mereka mungkin tidak dapat melihat hasil atau impak menyertai BAHASA itu secara serta merta atau katakanlah, dapat meraih manfaatnya selepas sebulan dua menyertai pertubuhan Badan BAHASA. Tidak seperti itu. mereka tidak boleh memikirkan untuk menyertai BAHASA dan kemudian mendapat gaji pada hujung bulan pertama penyertaannya. Mereka tidak boleh membayangkan menyertai BAHASA seperti mereka memulakan kerjaya sebagai kakitangan sesebuah organisasi (swasta atau kerajaan) dengan mereka mendapat gaji pada setiap hujung bulan. Tidak begitu!

Tetapi ingatlah, sesiapa juga yang menyertai mana-mana organisasi seperti BAHASA, saya hampir pasti mengatakan bahawa ia sesungguhnya berkaitan dengan aliran masa. Penyertaan dan komitmen mereka yang berterusan sahaja yang menjadi penanda aras kepada pencapaian mereka pada masa depan. Justeru, sejajar dengan komitmen melestarikan bahasa, sastera dan budaya di negeri Sabah, BAHASA akan terus melaksanakan pelbagai program selepas berakhirnya mesyuarat agung BAHASA dalam usia yang sudah melepasi 40 tahun itu. Tidak lama lagi BAHASA yang kini hanya mempunyai 17 cawangan di seluruh negeri Sabah, akan menganjurkan program Persidangan Persuratan dan Kebudayaan peringkat Kebangsaan yang ke 2 di Kota Kinabalu dan bakal disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Begitu juga program sayembara menulis cerpen Hadiah SEDCO-BAHASA yang sudah memasuki tahun ke 3 penganjurannya, akan terus diadakan pada tahun ini. Mudah-mudahan usaha yang dilaksanakan BAHASA dan pihak SEDCO itu berterusan pada masa akan datang, kerana selain daripada berusaha melahirkan lebih banyak karya cerpen berkualiti yang bertemakan penyertaan kaum Bumiputera dalam sektor ekonomi dan perniagaan, ia juga diharapkan menjadi pentas dalam melahirkan lebih ramai penulis muda berkaliber di negeri Sabah dan di peringkat kebangsaan amnya.

Semoga BAHASA akan terus maju dan melangkah ke hadapan merentas cabaran. Seseungguhnya perjalanan BAHASA masih jauh tetapi saya percaya kepada kata-kata bahawa bahasa, sastera dan budaya itu adalah teras penting sesuatu bangsa. Hilang ketiga-tiganya maka hilanglah identiti sesuatu bangsa itu. Saya turut berdoa, agar BAHASA akan terus memasuki gerbang baharu dan seluruh Barisan kepimpinan BAHASA yang baharu mengukuhkan iltizam dan dengan penuh komitmen menyemarakan bahasa, sastera dan budaya, generasi demi generasi di bumi tercinta ini.

JM