Saturday, December 11, 2010

ILTIZAM MENYEMARAKKAN KECEMERLANGAN SASTERA

SAYA mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun, kerana mengilhamkan idea penganjuran sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 dan seterusnya sudi hadir menyempurnakan perasmian majlis itu, malah bersetuju pula memberikan sejumlah dana yang agak besar untuk merealisasikan pelaksanaan program berkenaan pada tahun ini dan insyallah pada tahun hadapan.

Idea dan ketelusan beliau dalam menyemarakkan sastera itu sesungguhnya merupakan iltizam yang sangat kuat dalam melestari dan meningkatkan kecemerlangan sastera yang pada tanggapan kita semua, merupakan satu bidang seni yang paling tua dan paling naluriah, yang dalam empayar besarnya tertakluk nilai-nilai kognitif, genius kolektif dan risalah peradaban bangsa yang besar.
Sastera itu sesungguhnya merupakan satu pengucapan bangsa yang tumbuh daripada bahasa dan keperluan untuk menyampaikan maknanya kepada masyarakat dan kecemerlangan sesuatu bangsa. Sastera itu sejarah, undang-undang, adat istiadat, kearifan lokal, lukisan jati diri dan kehidupan yang cantik dalam taman bahasa yang tercantik. Tidak mungkin kita mengenal diri, pencapaian dan kecangihan tamadun bangsa, jika sekiranya kita mengabaikan wadah yang mengandungi sebahagian besar diri dan jiwa bangsa itu.

Saya juga tidak lupa menyampaikan kalungan tahniah dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang diterajui Datuk Rosmadi Datu Sulai, dan seluruh kakitangan di bawah LKNS yang bertungkus lumus menjayakan program berkenaan. Yang setelah berakhirnya majlis itu sempat membisikkan kepada saya bahawa selepas ini kita sesungguhnya mempunyai agenda, tanggungjawab dan tugas yang lebih besar lagi, dalam menyemarakkan dan mengangkat martabat sastera ke suatu tahap yang lebih tinggi dan cemerlang lagi di negeri kita ini.

Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli BAHASA di negeri Sabah sama ada jauh dan dekat, yang terlibat secara langsung atau tidak dalam majlis sayembara novel berkenaan, kerana memberi kekuatan kepada saya untuk mengemudi pertubuhan bahasa dan sastera yang terbesar di negeri Sabah ini. Sehingga kita mampu melibatkan diri dalam penganjuran program sastera yang besar dan menggerakkan aktiviti penulisan, seterusnya dapat mengangkat martabat bahasa dan sastera , serta penulisan di negeri kita ini ke suatu tahap yang tinggi dan bermaruah.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada para pemenang sayembara menulis novel anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan juga Badan bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang diadakan dalam satu majlis penuh gilang gemilang di Hotel Pasific Sutera pada malam jumaat lalu. Inilah pertama kali kita menganjurkan sebuah sayembara menulis novel yang menawarkan hadiah yang terbesar dan merupakan kemuncak kegiatan sastera yang diadakan di negeri Sabah pada tahun ini.

Walaupun tidak ada penerima hadiah pertama bernilai RM 10,000.00, sayembara itu tetap terlihat sebagai berprestij apabila Ruhani Matdarin, penulis muda yang mula mencipta nama di peringkat negeri dan kebangsaan, berjaya mendapat tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 7,000.00 melalui novelnya yang berjudul ‘Nesan’. Sementara Siti Rahmah G. Ibrahim berjaya mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.00 melalui novelnya yang berjudul ‘Muntio’. Bagi pihak penganjur sayembara berkenaan saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka.

Seterusnya tidak lupa diucapkan tahniah kepada lima pemenang yang berjaya meraih hadiah saguhati yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1,000.00 tiap seorang, iaitu Dr. Chacho Haji Bulah melalui novelnya yang berjudul ‘Kolam’, Emin Madi melalui novelnya yang berjudul ‘Nakad’, Norani Booh Abdullah melalui novelnya ‘Menambalang’, Dayangku Mastura Pg. Ismail melalui novelnya, ‘Merdekakan Cinta’ dan Badariah Arbin, melalui novelnya ‘Titian Muhibah’
Kepada mereka yang tidak berjaya, jangan berputus asa. Anggaplah kegagalan anda itu sebagai kemenangan yang tertangguh. Ingatlah bahawa penulis yang baik itu, adalah penulis yang sentiasa reda dengan pencapaiannya, dan sama sekali tidak berputus asa untuk memperbaiki kualiti karyanya dari semasa ke semasa.

Saya ditanya oleh seorang wartawan yang mahu mendapatkan kepastian berhubung dengan ketiadaan pemenang dan ketiadaan karya yang layak memenangi hadiah pertama. Begaitu juga saya ditanya mengenai ketiadaan penulis remaja yang menyertai program sayembara itu, walaupun pihak urus setia menyediakan hadiah untuk kategori novel remaja yang mesti disertai golongan remaja dalam lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun.
Tetapi, saya menjawab secara spontan bahawa banyak kreteria penilaian yang diambilkira dalam penilian novel yang menyertai sayembara itu, terutamanya dari segi teknik, bahasa, gaya persembahan, tema dan struktur. Jika diperhalusi lagi dari segi kekuatan tema misalnya, ia mesti merangkum persoalan kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang rencam di negeri Sabah, yang pastinya menawarkan pengalaman estetik kepada pembaca. Begitu juga dari segi kekuatan ilmu bantunya, yang mesti diolah melalui jalur penceritaan yang sekaligus memerikan segi galur emosinya, unsur tegangan, konflik dan sebagainya, yang bukan sahaja mendatar, malah turut menyerlahkan segi kekuatan pemikiran, falsafah, logig dan sebagainya.

Penilaian juga turut mengambil kira kekuatan bahasa novel-novel berkenaan, keindahan pengolahan bahasa, segi kreatuvitinya, unsur imaginatif dan keberkesanannya, panel turut melihat kekuatan sturktur dan teknik persembahannya. Malah turut diperhatikan perkembangan watak, plot, latar yang digabungjalinkan dalam hasil kreatif yang halus corak penulisannya, seterunya disampaikan dalam teknik persemabahan menarik dan memiliki unsur garda depan dari segi tekniknya dan segi pengolahan yang mendorong pembaca mengikutinya hingga ke penghujung cerita. Novel yang dihasilkan boleh bersifat konvensional, tetapi unsur tikaiannya atau jalinan ceritanya mestilah diasaskan kepada hukum sebab dan akibat yang munasabah, relevan dan mampu memancing minat pembaca untuk mereka membaca hingga di penghujung cerita.

Sebuah karya novel yang baik, pada tanggapan saya tidak terkecuali daripada dasar penilaian berkenaan. Walaupun saya secara spontan memberi jawapan kepada wartawan berkenaan, secara ringkas tentang hal-hal yang berkaitan dengan tema, teknik, bahasa dan sturktur penulisan, tetapi secara rinciannya faktor penilaian yang dinyatakan di atas sebenarnya saling berhubungan dan saling lengkap melengkapi dalam memberi tambah nilai terhadap sesebuah novel yang dihasilkan. Malah kesemua faktor itu sesungguhnya turut memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat serta keunggulan sesebuah novel, dan biasanya hanya penulis novel yang mahir serta berketrampilan sahaja yang mampu mengolah novel sedemikian rupa, sehingga karyanya itu dapat dipertanggungjawabkan kualitinya, seterusnya mewakili kekayaan pemikiran dan ketinggian akal budi bangsanya.

Daripada keseluruhan novel yang dinilai, terdapat beberapa kecenderungan penulis yang sangat dominan dalam pengkaryaan sama ada dari segi persoalan dan juga temanya. Hal yang berkaitan dengan persoalan masyarakat memang sering menjadi tumpuan penulis dalam pengkaryaan, kerana penulis juga adalah warga masyarakatnya. Justeru, isu-isu masyarakat sama ada berkaitan politik, ekonomi, agama dan budaya turut menyerlah dalam karya mereka, merangkumi ruang lingkup kehidupan manusia seterusnya menyerlahkan nilai-nilai kognitif, pemikiran, membantu usaha pembinaan sahsiah dan pengalaman estetik khalayaknya.

Tidak dinafikan terdapat beberapa novelis, yang mengangkat persoalan yang ringan berkaitan dengan kehidupan yang simplistik atau bergerak sehala, tetapi cerita sedemikiannya biasanya berakhir dengan kehambaran, kurang nilai sasteranya, tidak ada siratan falsafah, dan tidak ada gagasan besar untuk kemaslahatan peradaban bangsanya. Begitu juga dari segi struktur, jalur penceritaan, bahasa dan teknik persembahannya mestilah mempunyai kesatuan yang kukuh dan siginifikan, malah mesti wujud dalam satu keharmonian, jalur penceritaan yang terserlah keberkesanannya, asli, mengungkapkan daya kreativiti, imaginatif, atau secara luwes dan fasih menyerlahkan nilai-nilai keseimbangan dari segi strukturnya, teknik dan berupaya membawa kepelbagaian taakulan pembaca, bervisi dan bersifat garda depan, sehingga memikat minat pembacaan dari segi pengolahannya, dan juga secara konkritnya turut menyerlahkan aspirasi nasional, dinamika sosial dan isu kemanusiaan sejagat.

Jadi setelah penilaian dilakukan panel mendapati bahawa tidak ada sebuah karya yang layak diberikan hadiah pertama, tetapi insyallah pada tahun hadapan, bakal ada karya yang sesuai dengan kehendak penilaian, yang boleh meraih hadiah pertama, jika penulis prihatin dengan dasar penilaian kreatif berkenaan. Sementara itu berhubung dengan ketiadaan penulis remaja yang menyertai sayembara kategori remaja yang disediakan pihak penganjur, seperti yang dinyakan oleh Datuk Masidi Manjun sendiri, sedeikit sebanyak ia berkaitan dengan faktor masa, jangka masa penulisan yang sangat singkat, dan dilaksanakan pada ketika pelajar sedang sibuk mentelaah pelajaran dan kerja sekolah masing-masing. Tetapi saya berpendapat barangkali ia juga berkaitan kekurangan promosi di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negeri Sabah.

Tetapi pada tahun hadapan, insyallah saya mencadangkan agar dilibatkan beberapa orang pegawai tinggi daripada jabatan pelajaran sabah, yang bertanggungjawab dalam memastikan golongan remaja dan pelajar institusi pengajian tinggi turut menyertai sayembara berkenaan. Saya juga mencadangkan supaya selain sayembara menulis novel, kita juga mesti mengadakan peraduan menulis cerpen dan puisi, kepada golongan remaja ini, supaya sambutan daripada golongan ini lebih terserlah.

Dalam pada itu, saya juga bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun, agar pada tahun hadapan semua peraduan atau sayembara penulisan kreatif dan non kreatif yang diadakan di negeri ini, disatukan majlis penyampaian hadiahnya , dalam satu acara yang gilang gemilang, di mana semua penulis boleh berhimpun secara besar-besaran dan segala anugerah diberikan kepada mereka, termasuk anugerah tokoh sasterawan, budaywaan dan aktivis sastera yang memperlihatkan komiten yang tinggi dalam bidang penulisan dan pengurusan sastera. Majlis itu bolehlah diadakan pada hujung tahun dan dihadiri oleh pelbagai lapisan penulis dan masyarakat di seluruh negeri ini.

Jasni Matlani

No comments: