There was an error in this gadget

Thursday, December 9, 2010

CABARAN MEMPERKASAKAN GOLONGAN BELIA DAN PENULIS MUDA

SAYA tertarik dengan ungkapan Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd Arif semasa berucap dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang baharu berakhir pada jumaat lalu yang antara lain menyebutkan. “Tanda-tanda kegagalan sebuah bangsa itu apabila bangsa berkenaan gagal membina orang mudanya dan tanda-tanda kekalahan sebuah bangsa ialah apabila pemimpinnya kalah dalam membentuk orang mudanya”.

Ucapannya yang bertemakan orang muda dan kemakmuran negara itu turut menegaskan bahawa terdapat dua kekuatan golongan muda yang perlu diberikan perhatian iaitu kekuatan membangun dan juga kekuatan untuk meruntuhkan. Tetapi tentulah semua pihak berkehendak agar belia dapat menyumbang ke arah pembangunan dan bukannya meruntuhkan.
Justeru itu golongan belia mesti diperkasakan dan digilap potensinya, dibentuk akidahnya, disemai ketinggian nilai akhlak, keperibadian yang mulia, dibina kemantapan ilmu serta semangat juang dalam membina masa depan diri, keluarga dan bangsanya. jika ini dapat dilakukan denga baik dan cemerlang sudah pasti negara mampu menjana kemajuan dan kemakmurannya.

Bagaimana pun jika golongan belia atau ‘orang muda’ ini dibiarkan tanpa diberikan perhatian yang sewajarnya, sudah tentu ia akan memudaratkan masa depan sesuatu bangsa, malah tidak, mustahil pula akan memandu negara ke arah kehancuran.
Sebab itu seorang novelis China yang terkenal Ba Jin mengatakan, belia adalah harapan manusia. Ba Jin tidak mengharapkan untuk orang tua mencapai apa-apa, sebaliknya beliau meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada orang muda. Suatu ketika apabila beliau berceramah kepada sekumpulan anak muda dalam sebuah majlis di Tokyo pada musim bunga yang disirami cahaya matahari yang lembut, Ba Jin memberi tahu kumpulan anak muda itu bahawa apa yang paling menyeronokkannya ialah apabila beliau melihat perkembangan spiritual anak muda. “Belia adalah harapan manusia” katanya dengan penuh semangat, yang kemudiannya disambut dengan tepukan bergemuruh sehingga keluar dari dewan perhimpunan.

Sebenarnya Ba Jin mengenali kata-kata keramat itu buat pertama kalinya daripada Bartolomeo Vanzetti, seorang lelaki yang tidak bersalah, tetapi keputusan bersalah dijatuhkan ke atasnya dalam perbicaraan pembunuhan yang bermotifkan politik di Amerika Syarikat yang menggemparkan seluruh dunia pada tahun 1920-an. Sungguhpun banyak rayuan dilaungkan di seluruh dunia yang meminta supaya dia dibebaskan, tetapi hukuman mati akhirnya dilaksanakan juga.

Sebagai seorang pelajar di Paris ketika itu Ba Jin berutus-utus surat dengan Vanzetti dan bersimpati terhadap nasib yang menimpa dirinya. Pada ketika itu juga, beliau memberitahu dunia supaya generasi akan datang tidak melakukan kesilapan yang sama. Walau apa pun alasannya, beliau meminta agar generasi akan datang tidak melakukan kerja bodoh dan jahil yang sama dan tidak bertamadun itu berulang kali.
Kata Daisaku Ikeda dalam sebuah bukunya yang berjudul “Pertemuan Yang Indah”, dalam sejarahnya Ba Jin, beliau pernah dilayan dengan begitu mengaibkan di negaranya. Beliau diseksa dengan penuh kepahitan dan dilayan dengan kejam. Beliau dicerca sebagai seorang reaksioner dan dilabel sebagai “Ketua Mafia dunia penulisan”. Rumahnya digeladah oleh Pengawal Merah dan isterinya dipukul dan dibelasah dengan kejam. Disabitkan kesalahan sebagai ‘Haiwan dan Syaitan”. Musuh kelas pertama yang dibenci di China. Ba Jin diletak dalam penjara, terasing dan diseksa sepanjang masa. Beliau dihina, dicerca dan dikutuk di hadapan perhimpunan umum yang besar, dipaksa membuat pengakuan kepada jenayah yang beliau tidak pernah lakukan.
Penanya di rampas. walaupun bagi seorang penulis yang tulen pena adalah sebahagian daripada nyawanya, tetapi ia telah diragut dengan kejam daripada kehidupannya. Sebagai tambahan, isterinya, satu-satunya tempat beliau bergantung hidup juga diseksa dengan kejam. Apabila isterinya jatuh sakit, dia dilarang daripada menerima sebarang rawatan atas dasar dia adalah isteri kepada seorang ‘rumpai beracun’ yang sangat berbahaya iaitu Ba Jin. Akhirnya dia dimasukkan juga ke hospital, tetapi itu sudah terlambat, dan dia meninggal dunia tiga minggu kemudian.
Sesungguhnya pihak berkuasa merampas segala-galanya daripada Ba Jin- isterinya yang terinta, pekerjaannya. Malah mereka cuba merampas dan merosakkan darjatnya sebagai seorang manusia. Namun apabila keadaannya menjadi semakin buruk, beliau masih mampu melaungkan, “sebagai orang muda, saya akan tunjukkan bagaimana saya akan terus hidup. Ada sesuatu yang tidak boleh diambil atau dirampas kekejaman dan keganasan daripada orang muda iaitu api yang membara di jiwa manusia, api yang akan terus menyala dengan lebih terang dan lebih berani apabila pihak berkuasa cuba memadamkannya”

Jadi jangan sekali-kali ada di antara kita yang cuba bermain-main dengan emosi, perasaan dan kebijaksanaan orang muda. Ini termasuklah golongan penulis. Saya masih ingat pada zaman remaja saya dahulu, saya adalah antara segelintir penulis muda yang pada anggapan sesetengah orang tua ketika itu sebagai penulis yang ‘Panas baran’ dan lebih menyedihkan lagi ada di antara mereka yang menganggap saya sebagai monyet yang menggigit tangan manusia yang menyuapkan pisang kepadanya. Saya masih ingat kata-kata itu sehingga sekarang, dan saya tidak tahu, bagaimana dunia ini dipenuhi oleh manusia yang mengatakan diri mereka sebagai berpengalaman, banyak makan garam daripada orang muda, tetapi sebenarnya membunuh bakat dan kebolehan orang muda dalam banyak cara.

itu saya masih ingat, saya memperjuangkan nasib penulis di negeri Sabah yang tidak mendapat perhatian pelbagai pihak, apatah lagi pihak kerajaan dan agensinya yang berlambak di sana sini. Jauh sekali daripada memberikan dana kepada gerakan penulis muda ketika itu, mereka juga seolah-olah menganggap golongan muda ini sebagai lalang yang perlu dicantas kerana hanya merosakkan kehidupan mereka. Mereka tidak mahu mendengar suara anak muda yang berbeza daripada suara mereka yang kononnya sudah establish ketika itu.

Mereka juga memperlekehkan penulis muda dalam banyak cara, termasuk menutup pintu peluang kepada mereka untuk maju dalam bidang penulisan, tidak memberi dana untuk melaksanakan kegiatan dengan pelbagai alasan yang sama sekali tidak munasabah. Mereka menindas dan menidakkan kebolehan penulis muda. Mereka melumpuhkan semangat mereka sama ada dari segi penebitan karya, apatah lagi dari segi pengiktirafan ketika itu.

Tetapi mujurlah bagi saya, dunia penulisan pada ketika itu saya anggap sebagai sesuatu yang saya mesti lakukan secara serius di dalam kehidupan saya, walau apa pun halangannya. Saya bertekad di dalam diri saya, ke mana pun saya terlontar dalam kehidupan ini, saya mesti tidak melupakan anugerah yang diberikan Tuhan kepada saya ini iaitu ‘kebolehan menulis’. Menulis bagi saya adalah perkara serius dalam mana seseorang itu harus mengetahui bahawa setiap kata, atau setiap ayat yang ditulis itu adalah anugerah Tuhan yang menjadi sebagai tandatangan zamannya.

Tuhan telah menentukan takdir ini untuk saya. Sebab itu saya terus menulis, pada ketika ramai di antara sahabat saya yang lain terpaksa mengaku kalah dan meninggalkan bidang penulisan, kerana layanan pelbagai pihak yang tidak memberi keuntungan kepada golongan muda ketika itu. Saya masih berdiri dengan teguh. Menyalakan obor, walaupun ada pihak yang dengan angkuhnya cuba memadamkan obor berkenaan.

Sekarang saya melihat terdapat kesedaran pemimpin dan kerajaan dalam menilai kembali peranan dan sumbangan orang muda (khususnya penulis muda) kepada bangsa dan negara selama ini, termasuk memberikan peruntukan yang besar kepada golongan muda dalam agihan belanjawan negara. Tetapi apakah agihan peruntukan belanjawan ini sampai kepada sasarannya? Kadang-kadang kita dengan mudah mengumumkan sesuatu untuk kepentingan tertentu, tetapi pada masa yang sama kita membina tembok birokrasi yang sangat tinggi untuk menghalang daripada dana itu sampai ke sasarannya.
Inilah cara yang kita amalkan sejak dahulu lagi dan menjadi sebahagaian daripada budaya kita dalam melayan orang muda. Kita tidak memberikan penghormatan dan kemuliaan yang sewajarnya terhadap orang muda, termasuk golongan penulis, tetapi saya mengharapkan cerita seperti itu akan berakhir dengan begitu cepat. Kerana kita semua mengharapkan sesuatu dilakukan untuk orang muda. Justeru itu saya berharap agar kerajaan melihat juga, seterusnya menilai kembali sumbangan penulis muda di negara ini dan di negeri Sabah khasnya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar generasi muda supaya tidak membiarkan diri mereka terikat dengan kumpulan-kumpulan yang berkepentingan tersendiri dan jangan ada di antara pemimpin muda negara ini yang membiarkan diri mereka dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Tetapi, eloklah kita mendekati golongan muda ini dan memahami keperluan mereka sebelum kita mendapati mereka sudah berpatah arang dengan kita dan dengan kerajaan, sehingga tindakan sedemikian memusnahkan kerajaan dan negara.

Pemimpin muda boleh dilentur, tetapi apakah cara yang kita gunakan untuk melentur mereka. Kita boleh menggerakkan tenaga mereka ke arah mencadangkan jalan-jalan penyelesaian isu-isu yang relevan yang boleh menjana negara ke arah Malaysia maju. Tetapi pada masa yang sama juga kita mesti menyediakan dana untuk mereka bergerak dan membina hala tuju mereka dan seterusnya hala tuju bangsa dan negara.
Dana ini mesti diberikan tanpa halangan birokrasi yang sangat kompleks, tetapi biasanya kita terlalu berprasangka kepada orang muda dari segi pengunaan dan pengurusan dana, sedangkan pada masa yang sama kita menagih sokongan mereka, kita menagih kecemerlangan mereka. Jadi adalah tidak adil kita menuntut kecemerlangan belia dalam bidang penulisan misalnya, tetapi kita kedekut untuk membiayai program mereka.

Kerajaan mengumumkan peruntukan 1 bilion untuk pembangunan belia sekali pun, tetapi jika sumbangan itu tidak sampai di peringkat akar umbi dan tidak menepati sasarannya. Maka ia adalah pengumuman yang tidak berguna.
Seringkali juga kita mendengar pemimpin muda dituntut agar bertindak dengan cara yang progresif dan bercirikan sikap yang betul di mana mereka meluahkan potensi yang setimpal untuk kemajuan ekonomi, sosial, politik, agama, pelajaran dan sebagainya serta mempergunakan tenaga dan hasrat murni mereka dalam membina bangsa dan negara. Mereka dituntut agar memberikan sumbangan yang positif dan menjadi teras kepada pembangunan negara, kerana golongan muda ini kononnya adalah orang penting yang bertindak sebagai pemikir, penaksir, moderator dan egen dalam mencapai standard modal insan yang berfikiran positif selari dengan kemajuan dunia. Tetapi eloklah kita menilai kembali, segala apa yang kita berikan kepada golongan belia dan penulis muda khasnya, untuk memajukan dirinya dan seterusnya dalam memperksakan bangsa dan negara.

Jasni Matlani

No comments: