Monday, December 6, 2010

CATATAN YDP

HADIAH CERPEN SEDCO-BAHASA KE 2
KOMITMEN SEDCO MEMBANTU MELESTARIKAN SASTERA DAN BUDAYA

KADANG kala suatu tindakan kecil yang kita lakukan hari ini sebenarnya merangkum dengan kukuh drama kehidupan yang tiada penghujungnya. Kata-kata ini bermain di dalam minda saya selepas mendengar ucapan Pengerusi SEDCO Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, semasa majlis penyampaian Hadiah Penulisan Cerpen SEDCO-BAHASA dan pelancaran buku Antologi Cerpen ‘Emas Hitam’ yang berlangsung di dewan Kimanis ballroom Hotel Hyatt Kota Kinabalu beberapa hari yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Arifin menyebutkan, walaupun SEDCO dan Cement Industries (Sabah) yang menaja hadiah berkenaan adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjana ekonomi negeri Sabah khususnya dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya dan bukan sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam mengimarahkan bidang sastera, tetapi komitmen yang ditunjukkan pihak SEDCO dalam membantu melestarikan bidang sastera dan budaya sesungguhnya perlu membuka mata pelbagai pihak, terutama agensi yang berkaitan supaya lebih prihatin dalam mengangkat martabat sastera, bahasa dan budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

Kalau pihak SEDCO boleh membiayai peraduan menulis cerpen yang bertemakan penglibatan kaum Bumiputera negeri Sabah dalam bidang perniagaan, supaya masyarakat mendapat gambaran yang jelas tentang pengalaman hidup yang pernah dilalui golongan peniaga Bumiputera, penglibatan dan pahit maung dalam dunia perniagaan, seterusnya usaha gigih mereka untuk dijadikan panduan bagi mengapai cita-cita dalam bidang perniagaan pada masa depan. Maka, tidak mustahil pihak lain juga boleh melaksanakan program seumpamanya bersesuaian dengan dasar dan asas penubuhan agensi dan syarikat itu.

Malah mungkin terdapat bidang yang perlu diterokai kaum golongan Bumiputera, yang diungkapkan dalam karya sastera boleh diterokai atau dijadikan garis panduan untuk maju dalam bidang perniagaan. Kerana di Barat sendiri, sudah terdapat kecenderungan di mana karya kreatif yang dihasilkan akhirnya dipelajari tokoh motivasi, ahli perniagaan, saintis dan para angakaswan. Suatu ketika saya masih ingat istilah DNA belum diketahui sehinggalah ia disebut dan dihuraikan secara saintifik dalam novel ‘Jurassic Park’ yang kemudiannya difilemkan. Sehingga hari ini istilah itu popular digunakan dalam bidang sains di seluruh dunia.

Begitu juga suatu ketika para sintis mempelajari penerokaan angkasa lepas, dengan merujuk kepada novel yang ditulis berkaitan dengannya dan menggunakan istilah-istilah baharu, yang digunakan para penulis di dalam novel berkenaan. Sementara, banyak kisah berkaitan perundangan dan pengamal undang-undang ditulis John Grisham yang kemudiannya dirujuk masyarakat antarabangsa seperti dalam novel The Chamber, The Client, the Runaway Jury, The Partner, The Testament dan banyak lagi.
Justeru, usaha pihak SEDCO untuk mencungkil bakat penulis dan menggerakkan mereka menulis tentang bidang keusahawanan dalam karya kreatif tidak musthail mampu membantu agensi berkenaan mengenal pasti sepak terjang dunia perniagaan dan masalah yang sering dihadapi usahawan Bumiputera dalam memajukan bidang perniagaan dalam kalangan mereka. Tidak mustahil juga akan terdapat ruang yang baharu yang boleh diterokai, atau ada istilah baharu dalam bidang perniagaan yang selama ini tidak diketahui dapat diserlahkan melalui karya kreatif yang dihasilkan para penulis negeri ini. Kerana kita perlu ingat bahawa penulis itu adalah pemikir dan pendahulu zamannya, penulis adakalanya lebih terkehadapan dari segi idea, dan masyarakat akhirnya hanya mengikuti dan memperhalusi idea berkenaan terutama dari segi pelaksanaannya.

Jadi hubungan timbal balik antara penulis dan masyarakat sesungguhnya sangat penting dan tidak wajar dipandang remeh begitu sahaja. Dalam kehidupan kreatif itu, tidak kira betapa hebat sekalipun karya yang dihasilkan, jika karya itu tidak membangunkan kehidupan manusia dan mempunyai hubungan timbal balik dengan manusia atau masyarakat sekelilingnya pada tahap yang paling asas, adalah sukar untuk kita menyatakan bahawa kita sudah mencipta sebuah karya hebat yang dapat menyentuh hati nurani manusia. Kerana mencipta karya sastera adakalanya seperti menggali ke dalam hati nurani sesuatu bangsa. Ekspresi emosi yang ikhlas dan dekat dengan jiwa masyarakat, itulah ramuan-ramuan yang pada akhirnya membangunkan kehidupan manusia.

Karya sastera, pada satu tahap, bukan hanya untuk keseronokan, tetapi adalah media yang berkesan dalam menangani perubahan dan menyampaikan harapan, visi serta cita-cita besar yang tersemat dalam hati nurani manusia. Karya sastera harus membuatkan manusia merasakan bahawa hidup ini indah dan bermakna. Ia harus memberikan inspirasi dan mendorong mereka untuk bergerak ke hadapan dan mempercayai bahawa mereka mampu mencapai sesuatu yang lebih hebat untuk diri, bangsa dan negara mereka. Selaras dengan falsafah bahawa karya sastera itu adalah kehidupan dan memimpin pembangunan kehidupan yang tiada henti-hentinya.

Bagi pihak Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), dengan penuh keikhlasan, saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Sementara, kepada mereka yang tidak berjaya, anggaplah kegagalan itu sebagai suatu kejayaan yang tertangguh. Insy-Allah pada tahun hadapan, Hadiah Penulisan Cerpen SEDCO-BAHASA ke 3 akan diadakan lagi. Malah jika kita mendapat sumbangan dana yang lebih besar, agihan hadiahnya mungkin dapat diperbanyakkan lagi, bagi memberi peluang lebih ramai penulis muda mendapat manfaat daripadanya dan terlibat dalam bidang penulisan.

Seperti yang ditegaskan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd Arif, dalam majlis yang sungguh meriah dan mendapat sambutan itu, kita memang perlu menghidangkan bahan-bahan bacaan yang berkualiti kepada generasi muda dan pada masa yang sama kita perlu melibatkan lebih ramai generasi muda terlibat dalam bidang penulisan, daripada hanya membiarkan mereka terjebak dalam kegiatan yang tidak berfaedah dan merugikan masyarakat dan negara. Justeru itu, peruntukan RM 201.81 juta yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman baru-baru ini, bagi pembangunan belia di dalam bajet negeri Sabah 2011, mestilah turut disalurkan kepada badan-badan sastera yang aktif memperkasakan keterlibatan generasi muda dalam bidang penulisan seperti yang diterajui Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

Malah, sudah tiba masanya kerajaan negeri menyediakan dana khas dalam bentuk grant kepada semua persatuan penulis di negeri ini, bagi membolehkan setiap persatuan penulis berkenaan terus aktif untuk mengimarahkan kegiatan bahasa dan sastera di tengah-tengah masyarakat. Sepatutnya persatuan penulis ini tidak tidak lagi perlu bersusah payah memohon bantuan kewangan daripada kerajaan apabila hendak menganjurkan pelbagai kegiatan, yang kebiasaannya ditolak dengan pelbagai alasan oleh menteri dan malah pegawai tinggi kerajaan yang berkaitan.

Jika persatuan ini benar-benar aktif dan memberi sumbangan yang bermakna dan bersama-sama kerajaan dalam melaksanakan segala dasar kerajaan untuk membangunkan generasi muda dan rakyat negeri ini secara amnya, maka tidak salah jika kerajaan memberi keutamaan kepada mereka dalam konteks pemberian grant. Tidak seharusnya terlalu banyak birokrasi dan prasangka diberikan kepada persatuan penulis untuk membangunkan bidang penulisan negeri ini, kerana berdasarkan rekod, badan BAHASA misalnya menganjurkan berpuluh-puluh program penulisan setiap tahun, yang sebahagian besar dilaksanakan dengan jayanya, sehingga kita berupaya menyemarakkan sastera dalam kalangan generasi muda, seterusnya berjaya memasyarakatkan bahasa dan sastera di negeri ini.

Malah BAHASA turut berperanan dalam perkembangan sastera kebangsaan apabila peneraju BAHASA di negeri ini turut dipilih duduk dalam jawatankuasa kerja Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), bagi mewakili Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang dapat dianggap sebagai suatu pencapaian tertinggi yang pernah berlaku dalam sejarah kepimpinan BAHASA, sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu. Malah suara kita turut diperhatikan dan diberikan pertimbangan yang sewajarnya di peringkat kebangsaan, apabila kita memperjuangkan hak penulis negeri ini di peringkat kebangsaan.

Namun realitinya, seperti yang saya tegaskan dalam ucapan alu-aluan majlis penyamapaian Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA dan seterusnya pelancaran buku Antologi Cerpen ‘Emas Hitam’ yang memuatkan karya para penerima Hadiah penulisan berkenaan, kita mestilah bersedia berbelanja besar untuk melahirkan penulis bertaraf Asia dan dunia, sama ada hasil sumbangan kerajaan negeri dan persekutuan serta pihak swasta seperti yang dimainkan oleh pihak SEDCO dan anak syarikatnya cement Industries (Sabah).

Sebagai analogi, kita tidak mungkin melahirkan juara Asia dalam bidang sukan yang berupaya memenangi pingat emas di peringkat saingan yang tertinggi, seperti sukan Asia dan Olimpik, jika kita sekadar berbelanja dua atau tiga ribu untuk pembangunan ahli sukan itu. Tetapi kita melabur ratusan ribu ringgit dan malah jutaan ringgit untuk melatih mereka dalam negara dan di luar Negara. Kita juga mengeluarkan bajet besar untuk menyediakan pelbagai kemudahan prasarana, memberikan elaun intensif kepada mereka. Jadi hal yang sama juga kita perlu lakukan dalam membangunkan bidang sastera, bahasa dan budaya kita di negara ini.

Justeru itu BAHASA berharap peruntukan besar disalurkan untuk pembangunan penulis, khususnya pembangunan penulis muda sejajar dengan matlamat matlamat Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif untuk menjadikan Sabah sebagai dataran ilmu dan dataran budaya yang terkemuka di rantau ini dan malah di peringkat dunia.
Sekali lagi saya hendak menegaskan bahawa usaha SEDCO melestarikan bidang sastera dan budaya melalui penganjuran peraduan Menulis Cerpen SEDCO-BAHASA itu tidak kecil impaknya kepada pembanguan penulisan kreatif terutama dalam kalangan generasi muda. Malah ia juga turut menyumbang dalam konteks penerbitan karya-karya yang menyerlahkan penglibatan kaum Bumiputera dalam bidang perniagaan. Semoga program ini akan berterusan pada masa akan datang dan terus mendapat suntikan daripada syarikat swasta yang lain dan juga agensi kerajaan yang berkaitan di negeri Sabah ini.

JASNI MATLANI

No comments: