Saturday, December 4, 2010

CATATAN YDP

1) PADA 3O Nov 2010 yang lalu, tentu terpahat sejarah dalam tinta sastera Sabah apabila Para pemenang Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA ke 2 menerima hadiah masing-masing dalam satu majlis yang meriah dan berprestij bertempat di Kimanis Ballroom hotel Hyatt Kota Kinabalu. Majlis itu disempurnakan oleh pengerusi SEDCO merangkap Penasihat BAHASA, Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd Arif. Dan turut dihadiri oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan seperti Pengerusi Lembaga kebudayaan Negeri Sabah, Datu Rosmadi Sulai, Pengarah DBP Sabah, Encik Zubadi Abbas, Pegawai Tinggi SEDCO, pengurus Besar Sabah Urban Development Corporatin (SUDC), pegawai tinggi Cement Indutries Sabah, Timbalan pengarah Kastam Negeri Sabah Encik Janathan Kandok, Pengarah Penjara Kota Kinabalu, Tuan Suria Idris, ketua Satu Ikatan Penulis sabah (IPS) Encik Sukor Usin dan ramai lagi.

Majlis itu juga mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan penulis, aktivis sastera, budayawan, para peminat sastera di sekitar Kota Kinabalu.alah ada yang dating dari jauh, seperti Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, beaufort, Membakut, Papar dan beberapa daerah lain yang berdekatan.
Bagi pihak BAHASA saya ucapkan tahniah kepada para pemenang iaitu Ruhaini Matdarin yang menang hadiah pertama melalui cerpennya ‘Emas Hitam’ dan Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,000.00, hajah Rubiah Nordin dengan cerpennya berjudul ‘Nasi Lemak’ di tempat kedua dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 700.00 sementara Siti Rahmah G. Ibrahim di tempat ke 3 dengan nilai hadiah RM 500.00.
Sepuluh pemenang lain yang masing-masing menerima RM 200.00 setiap satu ialah Marlaya baluk melalui cerpennya ‘Rogio-rogian’, Dayangku Mastura Pg. Ismail dengan cerpen ‘Bukan Mimpi’, Badariah Arbin dengan cerpen ‘Semanis Madu’, faridah Abdul Hamid dengan cerpen ‘Simpang Niaga’, Mad Sakiran Sulaiman dengan cerpen ‘Metamorfosis’ Martinah Obod dengan cerpen ‘Sehelai Daun Sirih’, Khair Hudsufi @ Ehsan Nawawi dengan cerpen ‘Tasik Bendang’, Siti Aisyah Mat Saad dengan cerpen ‘Apabila Rembulan Berjaga’, Norlie Masrin dengan cerpen ‘Pesta’ dan katherina Tati dengan cerpen ‘Bukan Sekadar Impian’.

Hadiah bagi saguhati walaupun sebelum ini dihadkan kepada hanya 6 orang sahaja dengan nilai hadiah RM 300 setiap satu yang keseluruhannya berjumlah RM 1,800.00. Tetapi pihak penganjur kemudian bersetuju menaikkan hadiah saguhati kepada RM 2,000.00 tetapi dengan syarat lebih ramai pemenang yang mendapat hadiah berkenaan iaitu seramai 10 orang. Justeru hadiah telah diagihkan secara sama rata kepada RM 200.00 tiap seorang. Tetapi insyallah pada tahun depan, jika BAHASA mendapat dana yang lebih besar kita akan perbaiki segi jumlah pemberian hadiah ini. Saya harap semua penulis terus aktif menulis, menghasilkan cerpen yang lebih bermutu pada tahun hadapan. Kepada mereka yang tidak Berjaya, jangan berputus asa. Adat pertandingan memang ada yang menang dan ada yang kalah, tetapi anggaplah kekalahan anda itu sebagai kemenangan yang tertangguh.

Saya juga suka mengingatkan jika sekiranya peraduan manulis cerpen SEDCO-BAHASA ini masih wujud pada tahun depan, jika anda berhasrat menyertai dan memenangi hadiah, selain daripada menghasilkan cerpen yang bermutu, sama ada dari segi olahan, teknik, bahasa, strukturnya, cerpen anda juga mesti menepati tema peraduan yang biasanya berkaitan dengan penglibatan usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan. Ini penting supaya matlamat kita menganjurkan peraduan ini tercapai.
Saya bagi pihak BAHASA mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penaja, iaitu Sabah Economy Development Corporation (SEDCO) dan anak syarikatnya kerana menaja Hadiah ini. Terima kasih juga kepada kepada seluruh ahli BAHASA yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

2) Untuk makluman, datuk datin tuan puan, para penulis sekalian, majlis penyampaian hadiah Sayembara menulis novel Negeri Sabah Siri 1 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) akan diadakan secara gilang gemilang di tempat yang baharu iaitu di Ballroom 2 & 3, Level 2 hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu. Tarikh tidak berubah iaitu pada 10 Disember 2010. Bermula jam 7.30 malam. Sila maklum dan datanglah beramai-ramai. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan alam sekitar Sabah, Datuk Masidi manjun. Hadiah yang bakal dimenangi ialah RM 10,000 untuk tempat pertama, RM 7,000 untuk tempat kedua, RM 5,000 untuk tempat ketiga. Seterusnya 5 hadiah saguhati bernilai RM 1,000 setiap satu.
Saya bagi pihak BAHASA mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan diharapkan ini akan menyuntik semangat para penulis negeri ini untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan mengangkat taraf sastera ini ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Saya juga memohon ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah turut menghadiri majlis ini dan semua ahli jawatankuasa tertinggi BAHASA turut membantu kerja-kerja fasa akhir majlis yang terbesar untuk sastera Sabah pada tahun ini. BAHASA juga insyallah mencipta sejarah sekali lagi dengan kejayaan penganjuran majlis berprestij ini.

Sekali lagi tahniah kepada para pemenang dan Terima kasih juga dipanjangkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, yang membantu merealisasikan dan membiayai segala dana dan hadiah sayembara ini. Terima kasih juga kepada yang berhormat Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang mencetuskan penganjuran hadiah novel ini di Dewan Undangan Negri Sabah dan seterusnya menjadi realiti pada tahun ini. Semoga sastera kita akan terus maju di persada negara yang tercinta ini.
Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan kita di Sarawak yang ramai (4 orang) di antara mereka yang memenangi hadiah Sastera Perdana Malaysia. Entah apa jadahnya, penulis Sabah tidak tersenarai seorang pun pada Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 18 ini. Barangkali kerana tidak ada seorang wakil pun penilai atau panel hakim yang datang dari Sabah berbanding dengan Sarawak? Atau entah apa? Saya masih berfikir bahawa sastera Perdana MALAYSIA mesti mengambil kira penulis yang datang dari seluruh negeri-negeri di MALAYSIA dan bukan dari lubuk-lubuk tertentu sahaja. Jika pemenang dari lubuk-lubuk tertentu sahaja, maka buanglah perkataan MALAYSIA itu. Berilah nama baru ‘HADIAH SASTERA PERDANA DBP’ misalnya atau nama lain yang setara dengannya. Janganlah apabila tidak tersenarai nama-nama penulis dari Sabah, baharulah kelam kabut kita nak mencari karya para penulis Sabah yang tersiar dalam pelbagai media selama ini untuk dinilai pada tahun hadapan. Maknanya hadiah sastera perdana MALAYSIA itu tidak menyeluruh. ADA karya yang terlepas pandang, terutamanya dari Sabah. Kasihan para penulis SABAH. Sentiasa melukut di tepi gantang, dan sentiasa tersisih dari arus perdana sastera kebangsaan. Nasiblah kerajaan negeri dan beberapa agensi kerajaan dan swasta , masih prihatin terhadap penulis Sabah. Kalau tidak, sudah lama sastera Melayu BERKUBUR TANPA NISAN DI NEGERI SABAH YANG MAKMUR INI.

Jasni Matlani

No comments: