Monday, December 21, 2009

Perutusan YDP

SALAM untuk seluruh ahli BAHASA di negeri Sabah. Semoga anda semua terus berkarya dan memartabatkan bidang kesusasteraan di Negeri Sabah ini. Kita semua mesti bangkit daripada kesakitan dan membuktikan bahawa kita semua boleh! BAHASA tahun hadapan insy-Allah akan lebih meriah lagi pada tahun sebelumnya. Pada awal bulan Januari ini BAHASA dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah akan melancarkan satu sayembara menulis novel, yang jumlah hadiahnya bernilai puluhan ribu ringgit (memang lumayan).

Tunggu saja saya akan memaklumkan secara rasmi dalam laman blog BAHASA ini dalam minggu yang terdekat. BAHASA juga akan menganjurkan Persidangan Kebudayaan dan Persuratan yang ke 2 dengan kerjasama JKKN Negeri Sabah. Temanya juga sudah ditetapkan oleh Pengarah JKKN Sabah, iaitu perpaduan pelbagai etnik di Sabah ke arah 1 Malaysia. Satu lagi acara besar yang kita akan terus perjuangkan dan insya-Allah akan dilaksanakan pada tahun depan ialah pelancaran Bulan Puisi Negeri Sabah pada awal bulan Jun 2010.

Selain daripada itu BAHASA juga akan terus memperkasa bidang penerbitan dan kita mensasarkan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya 5 judul buku karya ahli BAHASA tahun hadapan dengan bantuan pelbagai agensi yang berkaitan sastera dan budaya. Ini sasaran kita. Sementara Sayembara Penulisan Cerpen SEDCO-BAHASA yang ke 2 juga akan diadakan. Insy-Allah saya sedang memikirkan supaya genrenya diluaskan kepada puisi juga, kerana kita turut berhasrat untuk terus menyemarakkan dunia perpuisian di negeri Sabah.

Saya juga berterima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun kerana sudi menaja sayembara menulis cerpen untuk para penulis di daerah Ranau dan saya telah menghubungi Saudara Sahiman iaitu pengerusi BAHASA Cawangan Ranau yang baru untuk menguruskan hal berkenaan. Kita juga akan menetapkan sayembara cerpen untuk penulis di daerah Ranau ini dibuka pada bulan Januari dan ditutup pada penghujung Mei dan penyampaian hadiahnya pada bulan Jun 2010.
Selebihnya kita akan terus melaksanakan majlis baca puisi, bengkel penulisan dan insy-Allah bengkel ini akan kita buat dengan kerjasama cawangan BAHASA di seluruh Negeri Sabah.

Selain itu BAHASA kini rasanya lebih bersedia untuk memperkasakan dunia sastera di Sabah selaras dengan wawasan kita untuk menjadikan negeri Sabah sebagai dataran ilmu dan lembah sastera yang penting di rantau ini. Saya harap semua ahli BAHASA dan para penulis di Negeri Sabah tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama saya memartabatkan bidang sastera di negeri ini setelah kita melalui tahun-tahun yang sukar selama ini.

Saya juga berharap DBP Cawangan Sabah, akan terus membantu walaupun peruntukan tahunan badan itu dikurangkan sebanyak 30 peratus pada tahun 2010, begitu juga saya berharap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah, serta agensi kerajaan yang lain seperti JHEAINS, JAKIM akan turut membantu terutama dalam memperkasakan sastera Islam di Sabah.

Kita juga mengharapkan Jabatan Pendidikan, DBKK dan UMS terutamanya akan terus bersama-sama kita membantu menganjurkan pelbagai program sastera. Saya optimis, masa untuk bersedih mesti dibiarkan berlalu dan kita melangkah dengan semangat hijrah.
Perjuangan kita dalam BAHASA tidak lain tidak bukan ialah untuk membuktikan sastera mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan masayarakat dan ketamadunan manusia. Sastera mesti menjati diri dalam masyarakat SABAH dan apa salahnya menjadi tarikan pelancong untuk orang luar yang dahagakan kesenian dan ilmu datang melihat pencapaian kita dalam bidang budaya, bahasa dan sastera. BAHASA BOLEH! PENULIS SABAH BOLEH!

Esok saya akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat PPSB peringkat kebangsaan dan hanya kembali ke Sabah pada 26 Dis 2009. Saya ucapkan selamat hari natal kepada sahabat penulis dan ahli BAHASA yang beragama KRISTIAN di Sabah.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan lebih awal jawatankuasa tertinggi BAHASA yang terlibat dalam Jawatankuasa Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah 2010 itu agar bersedia lebih awal, kerana mesyuarat jawatankuasa sayembara yang pertama akan diadakan pada minggu pertama bulan Januari 2010. Saya akan SMS sesiapa yang terlibat sebaik-baik sahaja saya mendapat tarikh yang sesuai untuk mesyuarat itu diadakan. Selepas mesyuarat ini barulah insy-Allah saya akan memanggil mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi BAHASA untuk kita semua memperincikan lagi pelaksanaan program kita pada tahun 2010.

JASNI MATLANI