Monday, December 28, 2009

Perjuangan ke arah memartabatkan bidang penulisan

“BANGSA yang tidak mempunyai penulis adalah bangsa yang sudah mati”. Saya teringat kata-kata itu apabila umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia menyambut ketibaan maal hijrah 1431 yang menyakasikan kita semua mendapat keberkatan daripada Allah kerana dipanjangkan umur dalam keadaan yang sihat walafiat melangkah ke tahun hijrah yang baru ini. Tidak lupa juga saya mengucapkan selamat menyambut perayaan Hari Natal dan selamat tahu baru kepada sahabat handai yang beragama Kristian.

Mudah-mudahan perayaan tahun baru masihi dan tahun baru Islam atau tahunn hijrah yang disambut hampir serentak kali ini membawa perubahan yang lebih menarik lagi, terutama dari segi memperkukuhkan keharmonian yang merentas kaum dan agama yang sudah diamalkan berdekad-dekad lamanya di negeri ini. Saya teringat beberapa kisah menarik yang menunjukkan keharmonian hubungan antara umat Islam, orang Kristian dan Yahudi yang pernah ditunjukkan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W semasa hayat baginda, yang boleh kita renung bersama ketika melangkah ke tahun baru hijrah dan juga tahun baru masihi ini.

Suatu ketika apabila seorang wakil dari Habsyah yang beragama kristian datang ke Madinah, baginda membawanya ke rumah baginda dan baginda sendiri melayani orang itu selama dia berada di Madinah.
Pada suatu ketika yang lain, datang seorang Yahudi dan tanpa disangka-sangka orang itu menegur Baginda dengan kata-kata Al-sam ‘alaikum (kematian untuk kamu) sebagai ganti kepada perkataan Al-salamu ‘alaikum (sejahtera ke atas kamu) tetapi baginda tidak mengambil hati, malah melayan orang Yahudi itu dengan baik hati dan penuh sopan santun.

Begitu juga Sayidina Ali bin Abu Talib pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah berhutang beberapa dinar kepada seorang tabib Yahudi yang meminta bayaran daripada Rasullullah. Apabila Rasulullah memberitahunya, “Aku tidak mempunyai apa-apa untuk diberi kepada engkau” Yahudi itu menjawab, “Aku tidak akan melepaskan engkau hai Muhammad, sehingga engkau membayar hutangmu kepadaku” Raslullah bersabda “kalau begitu aku akan tinggal bersamamu”. Lalu Baginda mematuhi kata-katanya itu. Rasulullah menunaikan sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh bersama Yahudi itu.

Sahabat-sahabat Rasulullah mengancam dan menggugut Yahudi itu, lalu bertanya “Ya Rasulullah, adakah Yahudi itu menjadikan engkau sebagai hambanya? Rasulullah menjawab, “Tuhanku melarang aku daripada memungkiri janji terhadap seseorang” Selepas beberapa ketika iaitu apabila matahari telah meninggi, orang Yahudi itu berkata “Aku mengaku bahawa engkau adalah Rasulullah. Maka, separuh daripada hartaku akan aku serahkan untuk jalan Allah. Aku bersumpah di hadapan Allah bahawa tujuanku mengugut engkau (Rasulullah) ialah supaya aku dapat bertemu dengan apa yang diceritakan oleh kitab Taurat mengenaimu”

Di dalam kitab Taurat dinyatakan. Muhammad bin Abdullah akan dilahirkan di makkah yang merupakan nabi akhir zaman... baginda tidak kasar atau bersuara nyaring di jalan. Baginda juga tidak mempunyai peribadi yang kasar dan berkata-kata tidak sopan.
Pernah dikisahkan juga bahawa Rasulullah pernah pergi ke rumah seorang Yahudi untuk melawat anaknya yang sedang sakit, sehingga anak itu memeluk Islam dan pada suatu ketika yang lain Rasulullah pergi ke suatu tempat dan tiba-tiba baginda berhenti dan berdiri di suatu tempat. Apabila para sahabat bertanya mengapa baginda berhenti, maka Rasulullah memberi tahu ada jenazah orang Yahudi sedang diusung di atas jalan dan baginda berhenti adalah sebagai tanda hormat terhadap jenazah berkenaan.

Kisah yang saya turunkan ini mungkin simple dan nampak biasa, tetapi demikianlah ketinggian akhlak dan budi pekerti Rasulullah yang merentas sempadan kaum dan agama, yang boleh kita contohi dalam membina hubungan harmoni dan aman sejahtera, sehingga kita mampu menjana pembangunan dengan lebih baik dan sebagai pedoman kita ketika hendak melangkah pada awal tahun baru hijrah dan juga tahun baru masihi ini.

Tetapi para penulis juga harus mengambil ikthibar daripada sambutan maal hijrah dan tahun baru ini dengan menyematkan azam yang lebih kukuh dan lebih kuat lagi dalam memperkasa keterlibatan dalam bidang penulisan, kerana inilah satu-satunya anugerah yang dikurniakan Allah kepada kita untuk mengabadikan sesuatu yang bermakna kepada bangsa, agama dan negara kita. Anugerah ini telah diterjemahkan oleh para ulama terdahulu, terutama dalam zaman keemasan Islam, dan sekarang tiba pula giliran kita untuk mengimarahkan ilmu, kemajuan dan mempertingkatkan kualiti dalam pelbagai aspek kehidupan, kerana kita adalah pewaris dan penterjemah ilmu untuk zaman kita.

Sebab itu saya mengatakan, bangsa yang tidak mempunyai penulis itu adalah bangsa yang sudah mati. Kenapa? Sebabnya ialah penulis itu bukan sekadar perakam, tetapi adalah peterjemah zamannya. Menghidupkan ketamadunan bangsanya untuk jangka masa yang lama. Usia sebuah ketamadunan mungkin hanya puluhan atau ratusan tahun sahaja, tetapi penulis yang menjadikannya sentiasa segar dan kebesarannya diingati atau dipelajari untuk jangka yang lama. Penulis yang agung adalah cahaya dan roh kepada tamadun bangsa yang tak akan padam. Penulis seperti ini lahir untuk memuliakan kehidupan dan tahu darimana sumber kehidupan itu datang.

Saya mengungkapkan kata-kata ini ketika bersama teman-teman beberapa minggu lalu sewaktu berada di Miri, kerana menghadiri Perkampungan Pengarang Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).Saya memperkatakannya kerana kebetulan kami berada dalam satu pertemuan yang berlangsung dalam suasana menarik, penuh perbincangan ilmu, walaupun sederhana, dengan upacara perasmiannya disempurnakan oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Jiso Rutan. Saya menghadiri pertemuan itu bersama-sama Timbalan Yang Di Pertua BAHASA, Saudara Ramlie Jusoh dan juga Ketua Satu Ikatan Penulis (IPS) saudara Hasyuda Abadi, sebagai sokongan kepada sahabat penulis di Sarawak yang bergabung dalam PUTERA, yang begitu gigih memperjuangkan dan memperkasakan bidang penulisan di negeri berkenaan.

Beberapa kertas kerja telah dibentangkan sepanjang perkampungan itu, antaranya kertas kerja berjudul “Masa Depan Kesusasteraan Kebangsaan di Sarawak” yang disampaikan oleh Sasterawan Sarawak yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah, kertas kerja kedua berjudul “Perspektif Bangsa Dalam Lanskap Sastera” oleh Ketua Bahagian Pengembangan Teori DBP, Encik Mohamad Daud Mohamad, kertas kerja ketiga berjudul “Strategi Pemasaran karya Sastera” disampaikan oleh Dr. Jeniri Amir, dan kertas kerja ke empat berjudul “Pengaruh Kontekstual terhadap kelahiran teks dan kaedah lakonan bangsawan tahun 1980-an di Sarawak” oleh Dr. Nur Afifah Anitha Abdullah.

Seterusnya dibentangkan juga kertas kerja berjudul “Memperkasa keberhasilan karya sastera: Pengalaman Meneliti karya Penulis Sarawak” oleh Pensyarah Universiti Negara Brunei Darussalam, Dr. Shahlan Mohd. Saman, kertas kerja “Satu Malaysia Perspektif Sastera Nasional: Realiti dan Cabaran” oleh Dr. Awang Azman Awang Pawi, kertas kerja “Menulis Sastera Popular: Pengalaman dan Prospek” oleh Dahiri Saini dan kertas kerja yang terakhir berjudul “Membangunkan Generasi Penulis Baru: Perancangan dan Pelaksanaan” oleh penulis terkenal Sarawak, Poul Nangang.

Kertas kerja yang dibentangkan itu semuanya berkaitan dunia penulisan dan kesusasteraan Sarawak, tetapi ada beberapa buah kertas kerja yang secara perbandingan mengatakan bahawa perkembangan serta potensi masa depan sastera Melayu di Sabah sebenarnya lebih baik dan lebih maju berbanding dengan apa yang berlaku di Sarawak. Itu adalah kerana kita mampu melahirkan karya yang lebih baik sama ada dari segi kualiti dan kuantitinya, malah ada penulis di Sabah yang pada tahap tertentu diangkat menjadi idola, menjadi semacam ikon dan penggerak kepada golongan muda untuk terus berkarya serta memartabatkan dunia penulisan.
Tahap ini kononnya belum berjaya dicapai Sarawak, walaupun kedua-dua negeri ini berkongsi tarikh kemerdekaan yang sama dengan bersetuju menyertai Malaysia pada 16 September 1963, yang kini telah di perakui sebagai Hari Malaysia.

Apabila pujian ini saya sebut kembali dalam tulisan ini, saya tidak bermaksud untuk membangga diri atau mengajak penulis di Sabah ini riak tidak bertempat dengan pujian tersebut. Tidak sekali-kali!. Tidak ada sebab mengapa penulis Sabah harus mendabik dada dan bersikap angkuh mengenainya. Dari satu segi yang sangat terpencil, perkembangan dunia penulisan di Sabah memang sewajarnya mendapat pujian yang melangit kerana pengorbanan yang dilakukan penulis negeri ini dalam pelbagai aspek.
Dunia penulisan Sabah berkembang dengan baik kerana komitemen yang berterusan yang ditunjukkan oleh para penulis dan aktivis sastera Melayu di Sabah yang tidak pernah jemu melipatgandakan usaha dalam memartabatkan bidang penulisan dan malah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam melahirkan lebih ramai penulis yang berwibawa, yang berkelibar bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat kebangsaan. Mereka berusaha bersungguh-sungguh meletakkan negeri Sabah dalam peta sastera kebangsaan, walaupun ia sering dipandang sebelah mata oleh pelbagai pihak di Semenanjung.

Mereka tidak pernah berputus asa dan malah secara berterusan memperkasakan dunia penulisan di negeri ini, kerana bagi mereka, usaha memartabatkan dunia penulisan sebenarnya tidak berpenghujung. Begitu juga usaha seseorang itu dalam menghasilkan karya dan menjadi penulis yang terbaik tidak ada akhirnya. Jika ada pengakhirnya juga, maka itu adalah kematian.

Justeru itu, pada tahun baru 1431 hijrah dan tahun baru masihi 2010 akan datang tak lama lagi ini, marilah kita semua memperkukuhkan azam untuk berubah, memartabatkan serta memperkasakan lagi bidang penulisan kreatif dan non kreatif di negeri Sabah ini. Saya yakin, perjuangan yang tidak berkesudahan akan membuahkan hasil yang baik. Selagi kita berpegang kepada obor perjuangan yang mulia, selagi itulah gerakan ke puncak mercu kejayaan ketamadunan bangsa kita itu tidak akan ada noktah kegagalannya.

JASNI MATLANI

No comments: