Monday, December 7, 2009

Catatan YDP 7 Disember 2009

SEMALAM 6 Disember 2009, saya bersama-sama Timbalan Yang Di Pertua BAHASA dan juga Hasyuda Abadi baru kembali dari Miri selepas menghadiri Perkampungan Penulis Sarawak, yang diadakan di sana. Walaupun keletihan selepas melalui perjalanan darat yang jauh, tetapi kami berpuas hati dengan layanan yang diberikan sahabat penulis Sarawak, khususnya dari PUTERA sepanjang berada di sana.Kami juga mendapat pelbagai input mengenai perkembangan sastera di Sarawak yang dikatakan beberapa pembentang kertas kerja sebagai agak merosot dibandingkan dengan Sabah.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan, kerana saya melihat Sabah dan Sarawak kedua-duanya sama teraniaya dan dipinggirkan berbanding dengan rakan mereka di Semenanjung. Penyertaan kedua-dua negeri ini dalam Malaysia adalah beban sejarah yang menyakitkan kepada penulis Sabah dan Sarawak. Selepas hampir 50 tahun merdeka dalam MALAYSIA dua negeri ini bagai melukut di tepi gantang apabila bercakap tentang pemberian anugerah SEA Write Award untuk kouta Malaysia.

Begitu juga diketapikan dalam pemilihan karya dalam KOMSAS terbaru, walaupun kita sudah bercakap tentang 1 Malaysia. Penulis Sabah dan Sarawak juga tidak dimasukkan dalam buku WAJAH PENULIS MALAYSIA yang diterbitkan DBP, walau seorang pun. Jadi pengalaman penulis Sabah dan Sarawak adalah menyakitkan berbanding dengan pengalaman yang dilalui oleh penulis Negara Brunei Darussalam walaupun hanya merdeka pada tahun 1984. Sebab itu secara eksterim saya pernah menyebutkan, adakah kita perlu menjadi sebuah Negara baharulah penulis kedua-dua negeri ini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya? Saya berkeyakinan penulis Sabah dan Sarawak sebenarnya sentiasa boleh!

Jasni Matlani

No comments: