Thursday, June 18, 2009

HSKU 2008

KEPUTUSAN HSKU 2008

Khalayak pengkarya dan peminat ruangan sastera dalam media Kumpulan Utusan pasti tertunggu-tunggu keputusan penuh Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang dianjurkan saban tahun. Bagi tahun penilaian 2008 berikut ialah keputusan yang dinanti-nantikan.

PEMENANG KATEGORI NOVEL REMAJA

Pertama : Kasih Nan Agung karya Sri Rahayu Mohd Yusop
kedua : Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin
Ketiga : Meniti Jalan Hadapan karya Norziati Mohd Rosman

Manakala berikut ialah senarai pemenang hadiah utama bagi setiap kategori. Keputusan penuh
bagi hadiah penghargaan untuk semua kategori sila rujuk akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 7 Jun 2009.

PEMENANG KATEGORI CERPEN REMAJA

Dari Kalbu ke Kalbu ; Azman Ahmad (Ibnu Ahmad al-Kurawi)
Delusi ; Alias Ismail
Teman, Cukuplah Kami ; Ummi Hani Abu Hassan (Ummu Hani Abu Hassan)

PEMENANG KATEGORI CERPEN

Bayang di Tirai Belulang ; Khairul Hafiz Abdul Rahman (Serunai Faqir)
Di Alam Barzakh ; Sujaidi Dasuki (Sabda S)
Lelaki Sang Penjinak Ular ; Mohd Hashim Osman

PEMENANG KATEGORI PUISI

Potret Lima Puluh Tahun ; Ahmad Shukri Abdullah
Sang Semut ; Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Fahd Razy)
Sepotong Cinta di Dunia Angin ; Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)

PEMENANG KATEGORI KAJIAN DAN RENCANA SASTERA

Prasangka Orientalis terhadap Bangsa Melayu ; Awang Azman Awang Pahi
Penulis Ulul Albab dan 'New Man’ ; Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)

TAHNIAH KEPADA SEMUA PEMENANG dan semoga hadiah ini akan menyemarakkan lagi industri kreatif tanah air sekali gus menyuburkan semangat sastera dalam kalangan masyarakat. Majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 akan berlangsung di Istana Budaya pada 19 Jun 2009.

P/S: Bagi tahun penilaian 2009, setiap karya tersiar di media Kumpulan Utusan secara automatik akan dinilai. Rebut peluang mengungguli persada sastera tanah air sempena sambutan jublee perak HSKU 2009.


Novel Pemenang HSKU
Pemasyhuran tiga karya novel sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 dilihat memenuhi aspirasi remaja generasi baharu. Novel-novel tersebut ialah Kasih Nan Agung karya Sri Rahayu Mohd Yusop, Jendela Menghadap Jalan oleh Ruhaini Matdarin dan Meniti Jalan Hadapan karya Norziati Mohd Rosman.

Isu-isu yang diangkat lewat karya pemenang ialah yang menyentuh hakikat kejadian manusia dan perkaitan ilmu sains dengan keagungan Islam; perihal integriti dan gejala rasuah; dan pertembungan warisan tradisi dengan moden.

KASIH NAN AGUNG
Naskhah Kasih Nan Agung menampilkan watak wira unggul Jaka Sulaiman Awang Safar yang menuntut jurusan paleoantropologi tahun akhir di Universiti California, Berkeley. Watak ini dibina dengan ketajaman fikiran dan kefasihan lisan yang perkasa menentang segolongan ahli akademik di universiti itu yang mendukung teori evolusi Charles Darwin.

Penyuguhan falsafah metarialisme yang cuba diindoktrinkan oleh warga akademik itu cuba dicabar oleh Jaka Sulaiman sehingga dirinya sendiri terjerat dan diheret ke kancah konflik yang berlarutan. Tindakan kontradik Jaka Sulaiman menyebabkan dirinya ditembak oleh Maximilian Blake yang merupakan salah seorang pendukung Darwinisme.

Melalui kaedah wacana argumentatif dan keutuhan pegangan Jaka Sulaiman dalam melawan hegemoni ilmu Barat, dia telah berjaya meruntuhkan teori evolusi Darwin secara ilmiah dengan pendekatan ilmu Islam.

Kehadiran watak Jaka Sulaiman bersandarkan wahyu Allah berjaya menenggelamkan dominasi Barat dalam mempertahankan falsafah mereka yang batil dan berselindung di sebalik hujah-hujah palsu serta mengelirukan.

Novel yang memenangi tempat pertama HSKU ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembacaan yang menyeronokkan malah mampu membuka luas horizon keilmuan. Kalangan remaja yang menjadi sasaran pembaca utama novel ini dapat meneroka suatu ruang baharu, sekali gus menjadikan mereka sentiasa bersikap terbuka dengan kehadiran ilmu yang bermanfaat.

JENDELA MENGHADAP JALAN
Meneliti naskhah Jendela Menghadap Jalan, terbentang rentetan konflik yang ditebarkan di sana-sini lewat plot-plot yang bercapah. Meskipun penerokaan konflik nilai diteroka secara luas dan pelbagai namun pembaca dituntun secara cermat oleh jalur naratif tunggal bersama himpunan watak yang saling berjerait.

Terdapat unsur-unsur kebetulan yang mengheret plot membongkar konflik-konflik tertentu misalnya melalui watak Lili, Geetha dan Danel. Mereka yang bertemu pada awalnya di dalam bas ketika sama-sama pulang ke kampung halaman telah sama-sama menggeluti permasalahan yang sama di kampung mereka.

Antara konflik yang dipaparkan seperti pertembungan nilai tradisi dengan moden iaitu ilmu perubatan tradisional yang diamalkan oleh datuk Lili. Selain konflik anak-anak muda yang berdepan nilai-nilai moden, kebejatan sosial, keruntuhan akhlak, dan juga konflik generasi iaitu pertembungan nilai antara anak dengan ibu.

Konflik dalam masyarakat desa yang berkaitan dengan soal sama ada untuk membina masjid atau sekadar kubah sahaja turut disisipkan. Konflik ini dibangunkan secara besar-besaran sehingga pembaca dapat menikmati satu subplot yang tersendiri yang terjerait sama dalam plot utama.

Novel tempat kedua ini mengusulkan tafsiran yang terbuka kepada pembacanya dan menjadikannya karya yang menghargai intelektualiti. Menyelami suara batin golongan remaja melalui watak Lili dapat menjadi indeks psikologi sebagai petunjuk realiti gejolak dalam diri remaja dan sekali gua berguna kepada pihak-pihak tertentu.

MENITI JALAN HADAPAN
Novel Meniti Jalan Hadapan yang mengungguli tempat ketiga kategori novel remaja HSKU 2008 memaparkan tema kemelut rasuah dalam dunia korporat. Melalui watak utamanya Insyirah dibangkitkan semangat keutuhan dan jati diri dalam mempertahankan prinsip dan integriti dalam kerjaya.

Insyirah yang tersepit akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya di sebuah syarikat keselamatan kerana mahu mempertahankan prinsip untuk tidak menerima rasuah. Atas kekecewaan itu, Insyirah juga tidak rela gejala itu berleluasa dan meruntuhkan umat manusia.

Insyirah ditampilkan sebagai lambang wanita berperibadi mulia dan berdaya saing, khususnya dalam dunia korporat yang didominasi oleh lelaki.

Karya ini menyajikan matlumat tentang rasuah dari sudut pengertian, sejarah dan kesannya dengan bersandarkan nilai Islam dan tafsiran al-Quran. Karya yang informatif ini bermanfaat kepada golongan remaja sebagai persediaan untuk menghadapi alam kerjaya yang mencabar.

Meskipun subjek rasuah boleh dikatakan di luar linkungan remaja namun melalui teknik persembahan yang mudah serta mesra pembaca subjek ini dapat didekatkan kepada golongan ini.

Melalui ketiga-tiga novel pemenang HSKU 2008 ini jelas menunjukkan ia membawa aspirasi anak muda bestari dan mampu meningkatkan keupayaan modal insan. Malah turut menjadi wadah menyatukan bangsa Malaysia yang kaya dengan pelbagai adat resam dan budaya serta menjadi acuan kepada model remaja yang ingin kita ciptakan.

HSKU 2008 merupakan penganjurannya yang ke-24 pada tahun penilaian 2008. Majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada 19 jun 2009 di Panggung Sari Istana Budaya.
p/s: Ulasan yang sama di Halaman Mega, Utusan Malaysia hari ini. Juga lihat gambar kulit bukunya di akhbar. Atas masalah teknikal tak dapat muat naik cover buku ke laman ini.

(berita dikutip dari celikhuruf.blogspot.com)

No comments: