Tuesday, September 21, 2010

CATATAN YDP

SELAMAT bertemu kembali, di harap anda ahli BAHASA sihat walafiat. Pada penghujung minggu lalu saya hanya sempat berziarah hari raya di rumah beberapa orang sahabat dalam BAHASA. Kepada Cikgu Ramli, terima kasih dengan nasi dagang yang enak. Saudara Siba Nita pula menyambut saya dengan pantun di Kota Belud. Pantunnya itu berbunyi seperti berikut:

Tapak sirih hidang bersantap
Menyambut tuan bertandang kemari
Budi dan santun pelabuhan harap
Ikatkan persaudaraan hulurkanlah jari

Khabar tuan sudahlah mashyur
Desa dan pekan itulah jasni
Sekiranya Siba Nita hulurkan syor
Sudikah tuan terimanya resmi

Tuan umpama payung mahkota
Rimbun daun tempat berteduh
Desa dan pekan bahkan kota
Kumpulan marhaen tempat mengadu.

Terima kasih saudaraku Siba Nita, makna pantun itu insy-Allah saya renung-renungkan. Saudara Mabulmaddin Shaiddin, dan saudara Dulamid pula terima kasih, juadah kuih muih yang sedap dan sesungguhnya kunjungan hari raya di rumah kalian di Kota Belud itu mudah-mudahan merapatkan lagi hubungan sesama kita.
Lebih awal daripada itu saya turut sempat berkunjung ke majlis terbuka penasihat BAHASA kita, YB Datuk Arifin Mohd Arif dan sempana majlis itu beliau juga melancarkan 2 buah buku beliau yang sangat bermakna iaitu “Memetik Himah” dan “Ujana hati”. Tahniah!
Saya juga berkunjung ke tempat Puan Dayangku Mastura Pg. Ismail di Papar dan bercerita tentang sastera sambil bermaaf-maafan dan menikmati hidangan hari raya.
Kepada sahabat handai lain yang tidak sempat dikunjungi, saya menyusun jari sepuluh memohon ribuan kemaafan. Semoga hari raya tahun ini membawa seribu keberkatan kepada kita semua.

Jasni Matlani

No comments: