Tuesday, September 7, 2010

CATATAN YDP

Saya mengucapkan selamat berjuang di penghujung bulan Ramadan dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba. Saya menyusun jari sepuluh memohon ribuan kemaafan jika selama ini saya pernah menulis atau mengungkapkan kata-kata yang menyakitkan hati atau melakukan kesalahan yang saya sedari atau pun tidak. Moga-moga Ramadan dan Hari Raya tahun ini membawa kemenangan dan keberkatan kepada kita semua.
Kepada ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah, saya merindui anda semua. Sudah lama kita tidak bertemu. Jarak jauh dan bentuk geografi negeri kita yang bergunung ganang banyak mencuri peluang dan selalu menjadi penghalang untuk kita selalu bersama dan berkumpul dalam mana-mana majlis sastera, walau bagaimana pun mudah-mudahan kemudahan IT ini dapat merapatkan kita bersama.

Seperti yang saya maklumkan baru-baru ini, keputusan pememang novel sudah pun diperolehi dan sudah diserahkan kepada pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, bagi memaklumkannya. Saya sudah pun memaklumkan dan menyerahkan senarai penerima hadiah dan laporan lengkapnya sekali kepada Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan, Dato’ Rosmadi dan timbalannya Encik Miceky Apison, berhubung dengan keputusan jemaah hakim dan hal-hal yang berkaitan dengan sayembara itu, termasuk mengenai keperluan untuk mengumumkannya kepada umum dan menyampaikan hadiahnya dalam tempoh yang terdekat, seperti yang dijanjikan.

Insy-Allah saya akan menghubungi Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun, yang mencetuskan dan mencadangkan agar Lembaga kebudayaan menganjurkan sayembara berkenaan, dan membincangkan hal yang berkaitan dengan sayembara itu, jika pengumuman dan penyampaian hadiah sayembara berkenaan tertangguh untuk jangka masa yang lama.

Sementara itu bagi Sayembara Menulis Cerpen SEDCO-BAHASA, pernyataannya sangat menggalakkan, setelah ditutup pada 31 Ogos 2010 lalu, pihak urus setia telah mendapat sekurang-kurangnya 102 penyertaan yang datang dari seluruh negeri Sabah. Kita juga telah mendapat lampu hijau daripada pihak SEDCO yang sudi menaja majlis makan malam sempena penyampaian hadiahnya yang dijangka akan diadakan di Grand Ballrom Hotel Hyatt Kota Kinabalu. Cuma sekarang kita masih dalam proses penghakiman dan sedang mencari tarikh yang sesuai, untuk menyempurnakan majlis berkenaan.
Walaupun saya memaklumkan sebelum ini bahawa tarikhnya akan dilaksanakan pada bulan September, tetapi kerana beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan maka, ia berkemungkinan akan dilaksanakan pada 5 November 2010 (Jika tiada perubahan). Program ini akan disekalikan dengan beberapa program lain yang diadakan keesokannya (6 November 2010) iaitu majlis ZIARAH SASTERA di mana sekumpulan penulis, budayawan, ahli BAHASA dan penulis dan ahli GAPENA dari Kuala Lumpur akan berkonvoi ke Pitas Kudat. Di sana nanti akan diadakan majlis wacana ilmu, pelancaran buku, baca puisi, lagu puisi dan kenduri sastera. Rombongan hanya akan balik ke Kota Kinabalu pada pagi 7 November 2010.

Program ini juga berkemungkinan akan melibatkan BAHASA Cawangan Tenom, BAHASA Keningau, BAHASA Membakut, BAHASA Papar, BAHASA Kota Kinabalu, BAHASA Tuaran, BAHASA, Kota Belud, BAHASA Motunggong, BAHASA Kota Marudu dan BAHASA Cawangan Pitas.
Sementara BAHASA di bahagian Pantai Timur, Seperti BAHASA Sandakan, BAHASA Lahad Datu, BAHASA Semporna dan Tawau, boleh terus ke daerah Pitas sahaja dan bertemu di daerah itu. Segala urusan men genai ziarah sastera itu akan diselaraskan kemudian.
Saya juga bagi pihak BAHASA ingin mengucapkan Selamat menyambut hari Ulang Tahun ke 40 GAPENA yang mula disambut pada 2 oktber 2010 ini. Banyak program yang akan dilaksanakan dan ada beberapa buah program juga akan melibatkan BAHASA dan insya-Allah akan diadakan di Sabah.

Begitu juga saya hendak memaklumkan bahawa penasihat BAHASA, merangkap Pengerusi SEDCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut iaitu Datuk Haji Arifin Mohd Arif, akan mengadakan majlis terbuka Hari Raya beliau pada ke 3 bermula jam 11.00 pagi hingga jam 2.00 petang. Justeru, kepada semua ahli BAHASA yang berkelapangan dan tidak berhalangan,(di mana sahaja anda berada), saya menjemput anda semua menghadiri dan memeriahkan seterusnya berziarah di teratak beliau sempena hari yang mulia ini. Majlis beliau itu dijangka akan diadakan di Dewan Seri kampung Pimping Membakut. Datanglah beramai-ramai.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Jasni Matlani

No comments: