Sunday, October 3, 2010

Catatan YDP 3 Oktober 2010

CATATAN 1
SAYA masih berada di Kuala Lumpur bersama dengan Timbalan YDP, Cikgu Ramli JUsoh, dan juga saudara Karim Ghulam, kerana menghadiiri mesyuarat jawatankuasa penuh GAPENA yang dilangsungkan di Hotel Midah Kuala Lumpur. Kami juga turut menghadiri Majlis Permuafakatan Melayu, dan seterusnya menghadiri Sayembara Deklamasi Puisi Mardeka yang diadakan di Dewan Besar DBP, yang disekalikan dengan Majlis pelancaran Sambutan 40 Tahun GAPENA. Pada hari Ahad pula kami turut menghadiri Mesyuarat Agung PENA, di mana saya dan cikgu Ramli juga diamanahkan menjadi pemerhati pemilihan jawatankuasa PENA 2010/2011. Sebagai rakan dalam gabungan GAPENA, saya bagi pihak BAHASA mengucapkan tahniah kepada Presiden baru PENA, Saudara Salleh Rahmad dan timbalannya Saudara Amiruddin Ali Hanafiah, kepada S.M Zakir yang yang dipilih menjadi Setiausaha Agung, saudara Rahimidin sebagai Bendahari dan juga seluruh AJK yang dipilih yang kebanyakannya adalah tenaga muda belaka. Sekali lagi saya ucapkan tahniah.
Banyak perkara yang dilalui dalam mesyuarat Jawatankuasa Penuh GAPENA kali ini. Harapan saya untuk melihat GAPENA untuk terus melaksanakan program bersama badan gabungan di peringkat negeri kali ini, nampaknya terpaksa diperjuangkan dengan suara yang agak tinggi dan tegang. Tetapi inilah pilihan kita untuk menyatakan apa yang kita fikir adalah baik untuk kita semua. Insyallah sekembalinya kami ke Sabah, pelbagai program dilaksanakan di peringkat negeri pula terutama berhubungan dengan program Ziarah Sastera sempena sambutan 40 Tahun GAPENA. Pada 15 Oktober 2010, insyallah kita akan menyambut beberapa orang tokoh kita di peringkat kebangsaan antaranya ialah Tuan Haji Hamzah Hamdani, Saudara Salleh Rahmad dan juga Tan Sri Prof ismail Hussein, yang akan bersama kita dalam program Ziarah sastera itu sebagai wakil GAPENA.
Tuan Haji Hamzah Hamdani dijangka akan membentangkan kertas kerja berkaitan dengan sejarah 40 Tahun penubuhan GAPENA, sementara saudara Salleh Rahmad dijangka akan memperkatakan karya setiausaha 2 BAHASA, Cik Ruhaini Matdarin yang berjudul “Jendela Menghadap Jalan’. Mereka akan memperkatakannya pada majlis WACANA ILMU sempena Bulan Bahasa Kebangsaan dan juga sambutan 40 Tahun GAPENA. Pada malamnya pula dijangka akan diadakan majlis malam Semarak Sastera disempurnakan dengan kerjasama DBP Sabah, dan BAHASA Cawangan Tenom. Saya juga mengharapkan kita dapat bertemu dengan jawatankuasa BAHASA di Tenom dan dapat melaksanakan program santai di keningau sebelum berlangsungnya program di Tenom.
Keesokan harinya pula iaitu pada 17 Okt 2010, rombongan akan bertolak ke Beaufort dan disana akan disempurnakan pelancaran buku Bok Buri, buku Bagandang dan beberapa buah lagi, dengan kerjasama DBP dan disempurnakan oleh menteri Perumhan dan kerajaan Tempatan Datuk Lajim Haji Ukin. Selepas itu berlepas ke Membakut dan bersama-sama BAHASA Cawangan Membakut dan Papar.
Saya memohon agar ramai ahli BAHASA membantu menjayakan program ini dan turut mengimarahkan sastera di negeri Sabah ini.

CATATAN 2
PADA 6 Okt 2010, Jam 9.30 pagi, saya akan menghadiri Mesyuarat berkaitan Sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Siri 1 2010 bertempat di bilik mesyuarat Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah di Wisma Budaya Kota Kinabalu. Insyallah mesyuarat itu dijangka akan membincangkan mengenai sayembara berkenaan dan mungkin senarai pemenang akan diumumkan dalam tempoh yang terdekat. Tahniah kepada para pemenang. Tahniah juga kepada panel hakim yang telah membuat penilaian yang bijaksana. Kita juga mengharapkan sayembara penulisan novel ini bukan yang pertama dan terakhir, sebaliknya akan berterusan pada masa akan datang. Jadi bersabarlah untuk mengetahui keputusan yang akan diumumkan dan saya juga mengharapkan majlis penyampaian hadiahnya akan disempurnakan sebelum penghujung tahun ini. Apa pun sebarang perkembangan akan saya maklumkan dari semasa ke semasa.

No comments: