There was an error in this gadget

Monday, November 23, 2009

CATATAN YANG DI PERTUA BAHASA 16 Nov 2009

HANYA beberapa bulan lagI kita akan menyambut ulang tahun ke 40 Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Tentulah saya baharu dalam BAHASA berbanding usianya. Walaupun saya mengenali BAHASA sejak ia dihidupkan kembali pada pertengahan tahun 1980-an, tetapi hanya pada tahun 1999 hati saya terbuka untuk menyertai persatuan ini.
Saya teringat arwah Hajah Sirah Haji Antin (pemimpin BAHASA ketika itu) yang bersungguh-sungguh membawa saya masuk menyertai BAHASA. Kemudian saya teringat dia menangis di hadapan saya dalam pertemuan singkat dalam satu majlis sastera di Beringgis Resort, yang meminta saya supaya suatu hari memimpin BAHASA. Waktu itu beliau sudah sakit , berkerusi roda dan saya tidak menjawab sepatah kata pun. Saya hanya memegang tangannya, tetapi berkat doa beliau barangkali, akhirnya pada tahun 2005 saya menerajui persatuan ini, dengan cita-cita besar untuk mengimarahkan dunia sastera di Sabah meskipun dalam keadaan serba serbi kekurangan dan pelbagai kendala yang dihadapi.
Sempena sambutan 40 tahun BAHASA ini, saya mengajakdiri saya sendiri dan ahli BAHASA seluruhnya agar berpandangan jauh ke hadapan, meletakkan semula dunia sastera ini pada tempatnya, dipandang tinggi, dihormati dan bermaruah di mata masyarakat. Saya tahu jalannya sangat sukar, tetapi mendapatkan sesuatu perkara melalui kesukaran itu sebenarnya jauh lebih nikmat daripada mendapatkan sesuatu perkara dengan mudah. Kata orang, yang mudah itu datang seperti angin dan hilang pun seperti angin.
Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan dan memperkasakan BAHASA. Marilah kita memajukan diri, sama ada sebagai penulis, sebagai budayawan, sebagai aktivis masyarakat, kerana memajukan diri sendiri dalam konteks sastera itu juga adalah agenda utama perjuangan BAHASA. Kita tidak akan patah semangat dalam menjadikan negeri Sabah ini sebagai dataran ilmu dan dataran sastera Melayu yang unggul di rantau ini. Kita juga mesti bersedia menghadapi cabaran, sama ada sebagai individu atau sebagai satu gerakan yang berpengaruh di negeri ini dan malah di peringkat kebangsaan dan serantau.

JASNI MATLANI

No comments: