Monday, May 16, 2011

Hala Tuju Sastera Sabah Kabur??

Kolum angin perubahan jasni matlani95


HALA TUJU SASTERA SABAH KABUR?


DENGAN rendah hati saya hendak mengatakan bahawa saya adalah seorang yang memandang positif terhadap semua perkara, termasuk mereka yang mengatakan sesuatu negatif terhadap saya. Tidak semua yang kita lakukan dapat dilihat, apatah lagi ditanggapi dengan baik, kerana sudah menjadi lumrah manusia, yang sentiasa ada satu bintik hitam di dalam dirinya, yang selalu terhasut agar mencari yang lemah, yang buruk, yang negatif dan bukan yang baik dan positifnya. Tidak ramai manusia yang melihat kebaikan berbanding kejahatan. Tidak ramai manusia yang mendapat pujian berbanding cercaan, tidak ramai manusia yang mahu melihat kejayaan orang lain berbanding kejatuhannya.
Jadi saya berpegang kepada nasihat kata-kata sahabat saya, yang menghantarkan pesanan ringkas, ada baiknya kita menulid atau bercakap ala kadar dan yang perlu sahaja, berbanding kita bercakap seperti langit hendak runtuh dan guruh berdegar-degar di langit, tetapi tampayan kita sebenarnya kosong tanpa setitis air. Saya berpegang kepada kata-kata nasihat dan falsafah itu, sebab itu saya hanya bercakap perkara yang perlu sahaja.

Sebagai contoh jika saya hendak bercakap mengenai karya sastera besar atau mega karya misalnya, yang boleh diangkat ke persada sastera kebangsaan dan dunia, maka saya bermula dengan diri sendiri, baik atau buruk saya mengusahakannya dahulu, sebelum memperkatakannya. Saya berusaha hendak menunjukkan kepada orang lain, atau hendak memberitahu orang lain bahawa jika kita hendak penulis lain menghasilkan mega karya, saya juga mesti melakukan apa yang saya katakan. Maknanya saya mesti mendidik diri saya menghasilkan karya besar dahulu baharumengajak orang lain mengikutinya.
Mungkin karya yang saya hasilkan seperti kumpulan cerpen “Laron” yang baharu saja diterbitkan DBP sebagai sesuatu yang tidak setanding nilainya dengan karya mereka yang menerima anugerah sastera negara, anugerah di peringkat Nusantara dan dunia, tetapi saya menunjukkan kepada mereka, bahawa saya melakukannya dan baharulah saya memberitahu orang lain, supaya melakukan hal yang sama atau lebih baik lagi daripada saya. Nabi Muhammad tidak mengajak umat Islam mengerjakan solat, sedangkan baginda hanya berdiri di luar pagar masjid. Tidak begitu! sebaliknya baginda berdiri di hadapan mimbar masjid, menunjukkan bahawa dia juga mendirikan solat, malah menjadi imam dan baharulah orang lain menjadi makmumnya.


Jika kita hendak mengatakan bahawa disipilin kritikan sebagai penting untuk mengangkat martabat sastera Sabah ke persada sastera kebangsaan, maka (tanpa melebih-lebihkan diri sendiri atau dijauhi sikap takbur) saya menulis ratusan esei dan makalah kritikan yang mengangkat karya penulis Sabah dan melalui pebagai teori dan disipilin supaya dapat diikuti dan dapat dicontohi para pengkritik Sabah yang lain.
Malah, saya juga telah menulis buku “Sastera Sabah dalam Kritikan” dan diterbitkan DBP, tetapi beberapa kerat penulis Sabah yang memiliki dan menangapinya? Begitu juga insy-Allah dalam tempoh yang terdekat sebuah buku kajian saya yang lengkap dengan indikator sejarah, metodologi, tinjuan literatur kajian, sumber rujukan, pendekatan dan teorinya, berjudul, “Perkembangan Puisi Islam di Sabah” yang melebihi 500 halaman bakal diterbitkan DBP dan bakal berada di pasaran demi untuk mengangkat Sastera Islam, Khususnya puisi berunsur Islam di Sabah, tetapi saya menunggu penulis dan aktivis sastera Sabah yang menangggapinya secara positif demi hala tuju sastera negeri Sabah yang tercinta ini?

Jadi sekali lagi saya hendak katakan biarlah kita bercakap sesuatu yang kita lakukan. Sama seperti Rasulullah mengajak umatnya mengerjakan solat lima waktu, tetapi baginda sendiri menunjukkan contoh teladan dengan mengerjakan solat lima waktu, tidak pernah meninggalkannya walau sekali dan waima dalam keadaan baginda sakit. Jika kita bercakap sesuatu yang kita tidak buat samalah seperti kata pepatah Melayu, ketam mengajar anaknya berjalan betul, tetapi dia sendiri berjalan tidak betul.

Dalam konteks gerakan sastera, saya telah berusaha tanpa mengenal penat lelah dan menunjukkan bahawa Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang saya terajui dengan sokongan beberapa sahabat agar terus menganjurkan kegiatan, walau pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kendala dan kekangan terutama dari segi peruntukan, kerana hanya dengan adanya peruntukan maka kita dapat bergerak kerana semua perkara yang kita lakukan pada hari ini melibatkan sejumlah peruntukan kewangan bagi menjayakannya.
Sebab itu dalam keadaan tertentu saya mengeluh, supaya keluhan itu difahami untuk menyemarakkan hala tuju sastera Sabah, tetapi malangnya ada pihak yang melihat keluhan itu sebagai tidak berguna dan hanya beban di kepala mereka, walaupun saya tidak pernah meminta itu supaya masuk memberatkan kepala mereka dan menjadi bebanan. Tidak sekali-kali. Saya bertanggungjawab sepenuh terhadap keluhan saya.
Saya menangjurkan pelbagai sayembara, dan begitu juga DBP menganjurkan pelbagai sayembara hanya semata-mata bagi mencari karya yang terbaik dan supaya penulis yang serba daif itu mendapat sedikit imbuhan daripada kerja keras mereka, tetapi anda berkata dengan penuh iri hati, tidak perlulah sayembara untuk mengariskan hala tuju negeri Sabah, kerana kita kononnya menjebakkan penulis ke kancah dunia meteraialistik.

Bukan begitu. Lihatlah industri hiburan yang menawarkan hadiah jutaan ringgit untuk sesuatu jenis pertandingan nyanyian, tarian dan sebagainya yang mereka anjurkan dan cuba kita lihat kesannya. berpusu-pusu anak muda yang puluhan, malah ratusan ribu jumlahnya untuk menyertai pertandingan program berkenaan, kerana mereka tahu ia akan menjamin masa depan mereka, jika nasib dan bakat mereka adalah baik.
Saya sendiri membayangkan kita menawarkan hadiah menulis cerpen atau novel atau puisi ratusan malah jutaan ringgit jumlahnya sehingga anak muda kita berpusu-pusu dan berbaris panjang untuk menyertai program sayembara berkenaan. Jadi kenapa kita mesti membunuh dan usik sesuatu yang baik dan bertujuan untuk mengubah sedikit mobiliti sosial penulis kita dan akhirnya khalayak pula dapat membaca karya berkualiti bagi mengisi hala tuju sastera kita. Jangan beritahu saya, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Sabah yang ditunggu-tunggu penulis itu juga bukan bersifat sayembara? setiap sesuatu yang ada proses penghakimannya, maka saya meletakkannya sebagai sayembara.

Kita hendak melahirkan karya berstatus perdana yang menurut Tuan Haji Mastun Abas sebagai karya yang bukan penuh dengan warna warni cinta, tetapi kita menegurnya secara kasar dan tidak beradab, tanpa memikirkan dia adalah lebih tua daripada kita dan kita juga nanti akan menjadi seorang tua sepertinya, suatu hari nanti. Tetapi begitulah yang berlaku, takdir sastera kita tidak pernah kabur tetapi kita sendirilah yang meludahnya ke langit sehingga ianya menjadi kabur.
Justeru itu, sekali lagi saya teringatkan pesanan ringkas yang dikirimkan seorang sahabat, lebih kurang berbunyi begini, kita buat sahaja kerja dan jangan hiraukan orang lain yang hanya tahu hendak meruntuhkan gunung, tetapi bukan membina gunung. Yang hendak membina gunung itu, katanya lagi, sangat kecil jumlahnya, tetapi yang hendak meruntuhkan gunung itu adalah sangat besar jumlahnya, dan sebahagain besar daripada mereka itu adalah orang yang bijak pandai dan para ulama belaka.
Sahabat saya itu keemudian menasihatkan agar saya tidak terganggu dengan kritikan seperti itu dan menjaga kesihatan mental dengan baik. beliau meminta saya menjaga kesihatan dan itu mengingatkan saya kepada kunjungan saya ke sebuah klinik kerajaan di daerah Putatan beberapa bulanlalu. Saya masih ingat ketika membuat pemeriksaan kesihatan mengenai tekanan darah di klinik itu, peliknya semasa pemeriksaan itu, saya diberikan beberapa keping kertas yang mengandungi beberapa soalan berkaitan dengan sikap positif atau negatif saya terhadap banyak perkara.

Jika saya memandang negatif terhadap semua perkara, maka itu adalah indikator bahawa saya adalah seorang yang bermasalah dari segi mental, seterusnya bakal menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan pelbagai masalah kesihatan atau penyakit lain. Saya berfikir panjang mengenainya.
Jadi ia perlahan-lahan mendidik saya supaya sentiasa berhati-hati, sebab akhir-akhir ini terlalu ramai rakyat Malaysia yang masih muda, sihat dan gagah, tetapi malangnya, mereka mati secara mengejut kerana amalan yang tidak sihat, tekanan mental yang tidak tertanggungkan dalam kalangan mereka. Adakalanya mereka memilih jalan sukar untuk suatu perkara yang mudah sehingga mereka pecahkan kepala memikirkannya. Adakalanya mereka nekad sehingga mahu membunuh diri. Adakalanya mereka cuba memperlihatkan bahawa untuk menjadi lebih bijak, mereka mesti membuat hujah yang spesifik dan mesti mengikut kerangka akademik atau kompleksiti kehidupan, kerana kononnya itulah tuntutan zaman. Tetapi saya mengingatkan diri saya dan juga masyarakat keseluruhan bahawa zaman tidak pernah menuntut apa-apa perubahan daripada kita, tetapi kitalah yang terlalu banyak menuntut perubahan daripada zaman, sehingga akhirnya Tuhan memperlihatkan bahawa perubahan itu tidaklah bermakna apa-apa berbanding dengan kekuasaan-Nya.

Saya memberi analogi, tamadun bangsa Jepun yang hebat, kekuasaan tekonologinya yang tinggi, tahap pencapaian ilmunya yang sangat luar biasa, sehingga di balahan Timur ini, kita semua berkiblat kepada Jepun dari segi pencapaian ilmu dan ketamadunannya.
Kita belajar daripada Jepun cara rakyatnya berbincang dan berhujah tentang sesuatu sumber ilmu, kita mencontohi etika kerja mereka, kita merujuk cara mereka membuat kajian dan menghasilkan dapatan-dapatan tertentu. Kita selalu memandang tinggi terhadap hala tuju bangsa Jepun, termasuklah dalam bidang penerbitan buku dan kesusasteraan, sehingga mereka boleh menghasilkan penerima hadiah novel kesusasteraan dunia. Tetapi pencapaian itu hampir tidak bermakna apa-apa berbanding dengan kekuasaan Tuhan yang melumpuhkan Jepun dalam peristiwa tsunami hanya dalam beberapa jam yang meragut ratusan ribu nyawa rakyat negara berkenaan dan beberapa buah bandar besarnya pula menjadi seperti padang jarak padang tekukur.
Jadi kita semua hendaklah insaf bahawa, ada had untuk segala kehendak kita, dan kita hanyalah manusia kecil, yang mahu kelihatan besar, tetapi kita tidak pernah menjadi sebesar daripada sebutir pasir di hadapan-Nya.

Berbalik kepada isu memperkatakan hala tuju sastera Sabah, yang dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang tidak wajar diperkatakan dan pihak DBP Cawangan Sabah sepatutnya membuat acara forum atau diskusi lain yang lebih berguna, tetapi saya hendak mengatakan bahawa mereka yang mengatakannya sebagai tidak berguna itulah yang pada akhir konklusinya mengakui bahawa kita sebenarnya tercari-cari hala tuju sastera Sabah.
Maka hanya jauhari sahaja yang berhak mengenal manikam. Sebab itu saya katakan, agar kita berlajar daripada sejarah, melihat ke belakang untuk perjalanan beberapa langkah ke hadapan. apa masalah yang dihadapi sebelum merangka hala tujunya. Saya telah berjuang sejak tahun 1980-an supaya kebajikan penulis dihargai, dan penulis mendapat sedikit imbuhan daripada titik peluh mereka.

Penulis atau aktivis sastera yang mendapat gaji daripada kerajaan sama ada mereka sebagai pensyarah, guru, pegawai kerajaan, atau wartwan yang menerima gaji daripada majikan mereka setiap bulan tentulah tidak merasakan keperitan penulis yang bergantung hidup sepenuhnya dengan kerjaya mereka sebagai penulis. Justeru, misi saya dahulu ialah memikirkan penghormatan dan hak penulis dalam sebuah negara yang merdeka. Jika anda menyusun fail, bersyarah atau mengajar, memeriksa kertas jawapan pelajar dan anda dibayar gaji untuk kerja itu, maka penulis juga mesti dibayar untuk kerja-kerja penulisan yang mereka lakukan.
Permintaan itu tidak terlalu berlebihan dan masih lagi selari dengan garis hala tuju kita dalam memartabatkan sastera Sabah, kerana saya berpendapat, apa gunanya kita mewujudkan sekolah seni di Universiti Malaysia Sabah, kalau sekolah itu tidak mampu melahirkan penulis yang boleh berdikari dan bergantung hidup dengan kerja seni dan penulisan mereka? Sebagai manusia, mereka juga perlu berkahwin dan memberi segala kemudahan dan menyuap makan minum anak isteri mereka demi untuk meneruskan kehidupan. Tapi jangan beritahu saya, kita wujudkan sekolah seni supaya kita melahirkan lebih ramai guru atau pensyarah yang mengajar subjek sastera di sekolah-sekolah dan makan gaji dengan kerajaan atau kita tubuhkan sekolah seni hanya semata-mata sekadar melahirkan sejumlah pekerja yang sesuai diserapkan dalam institusi atau jabatan kerajaan atau swasta yang berkaitan dengan kesenian, kebudayaan, kebahasaan dan kesusasteraan.

Tidak begitu! sebaliknya kita mesti mewujudkan sekolah seni si UMS bagi memenuhi keperluan dalam melahirkan penulis aktivis sastera di negeri Sabah dan Malaysia amnya dan menjadikan bidang penulisan sebagai sumber pendapatan mereka dalam meneruskan kehidupan. Jangan kata ini bersifat materialistik, hanya semata-mata kerana anda boleh hidup mewah dengan suapan gaji kerajaan, tetapi mahu melihat penulis yang bergantung hidup dengan kerja penulisan mati kebuluran tanpa nisan.
Justeru itu, sebenarnya kita sendiri yang mengaburkan hala tuju sastera kita, hanya semata-mata kerana kita hidup selesa berbanding orang lain. Tetapi ingatlah, hidup ini sangat mudah, sesekali kita berada di atas dan sesekali kita berada di bawah. Seperti janji Tuhan yang dipercayai berabad-abad lamanya.

4 comments:

Al Fazli HMS said...

Yap! bila membaca hasil tulisan dan komen ini.Terasa semacam ada 'sentuhan kekecewaan' sepanjang perjuangan memartabatkan penulis dan karya dari negeri ini. Mudah-mudahan selepas ini ada ramai lagi aktivis sastera dikalangan penulis/aktivis muda yang turut aktif mewarnai dan merobah corak pemikiran masyarakat Sabah seterusnya mengubah presepsi negatif masyarakat, penerbit, pengkarya dan kakitangan jabatan keajaan 'seberang laut china selatan' tentang tanggapan rendah terhadap kualiti karya dari penulis negeri ini.

Syukurlah kita masih mempunyai seorang dua aktivis sastera di negeri ini.

Anonymous said...

Hujah yang sangat baik dan menyuntik semangat saya.

juilis69 said...

Pandangan yg jelas utk memastikan penulis dimartabatkan .tahniah JM

juilis69 said...

Pandangan yg jelas utk memastikan penulis dimartabatkan .tahniah JM