Memandangkan ada beberapa orang penulis baharu/muda yang bertanya soalan bagaimana hendak menghantar manuskrip ke HSKU, maka di sini dilampirkan beberapa maklumat yang diharap dapat menjawab pertanyaan asas anda - kredit untuk Sri Rahayu Mohd Yusop http://srirahayumohdyusop.blogspot.com)
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Kategori Novel Remaja):
FAQ/ Soalan Lazim
Siri Soalan Lazim ini tidak mewakili polisi pihak penganjur ataupun penaja. Ia adalah pandangan peribadi saya semata-mata, di dalam lingkungannya yang amat terhad. Harap dapat membantu.
Soalan 1.
S: Siapa yang boleh menyertai HSKU (KNR) ?
J: Warganegara Malaysia yang berupaya menghasilkan manuskrip yang boleh dibaca.
Soalan 2.
S: Ke mana saya perlu menghantar manuskrip saya?
J: Ketua Sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010/ 2011/ 2012 ...
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
No. 1 & 3, Jalan 3/91A
Taman Shamelin Perkasa, Cheras
56100 Kuala Lumpur.
Soalan 3.
S: Apakah tempoh masa untuk menghantar manuskrip?
J: 1 Januari tahun semasa sehingga 31 Disember tahun yang sama.
Soalan 4.
S: Apa saya hendak nyatakan dalam surat iringan bersama manuskrip saya?
J: Nyatakan niat anda menyertai pertandingan, nama anda, alamat, nombor untuk dihubungi dan tajuk manuskrip.
Soalan 5.
S: Bagaimana rupa bentuk manuskrip yang perlu saya hantar?
J: Kertas A4, langkau 2 baris, font Garamond (tip dari Zaid Akhtar & saya amalkan - jelas dan tidak menyakitkan mata tetapi lembut), saiz font 14, bercetak sebelah muka sahaja, dijilid sesikat, ada pelapik plastik depan belakang, jangan ada nama penulis pada manuskrip.
Soalan 6
S: Adakah saya perlu menghantar manuskrip dengan pos laju/ berdaftar?
J: Tidak perlu. Hantar dengan pos biasa sahaja, melainkan anda menghantar manuskrip pada 30 Disember.
Tapi pastikan ia dipaketkan dengan baik supaya tidak rosak dalam perjalanan.
Soalan 7
S: Berapa muka surat minima diterima sebagai sebuah novel untuk HSKU?
J: Bergantung. 50 - 100 mukasurat terlalu pendek untuk novel. Minima mungkin 130 - 150 mukasurat. Maksima - tulislah selagi cerita belum habis, tapi janganlah panjang sangat sehingga perlu dijilid menjadi Book 1, 2, 3 ...
Soalan 8
S: Berapa banyak manuskrip boleh saya hantar dalam setahun?
J: Hantarlah sebanyak yang mampu. Faisal Tehrani pernah menang 2 manuskrip dalam tahun yang sama. Jika manuskrip-manuskrip itu baik, insyaAllah terpilih.
Soalan 9
S: Bolehkah saya bertanya dengan editor tentang nasib manuskrip saya?
J: Jangan. Editor ini terlalu sibuk. Anda mungkin tak dapat pun masuk line telefon dia. Peraturannya, dalam apa-apa hal, editor akan telefon anda dan bukan anda telefon editor.
Soalan 10
S: Bolehkah saya menulis manuskripkan bertemakan cinta lelaki-perempuan?
J: Boleh saja. Tapi jika hendak mendapat tempat, tema cinta lelaki-perempuan baik dikecilkan atau ditolak terus. Kerana anda bersaing dengan penulis-penulis yang membawa tema yang lebih urgent/ serius/ penting (?).
Soalan 11
S: Adakah editor akan melakukan penambahbaikan pada kerja saya?
J: Hanya jika anda mendapat tempat. Tapi lebih baik buat yang terbaik pada kali pertama (get it right the first time), kerana manuskrip dipilih melalui pembacaan pertama.
Soalan 12
S: Apa petua memberi tajuk kepada manuskrip?
J: Berilah tajuk yang kemas, tepat,segar, sedikit pelik, indah. Kalau boleh jangan panjang meleret.
Soalan 13
S: Apa pantang-larang tema HSKU?
J: Jangan tulis tema yang menghina agama Islam atau agama-agama bangsa di Malaysia. Jangan angkat isu sensitif. Jangan glamorkan/ pamerkan budaya tidak baik (dadah, berkelab, minum arak, pelacuran, berlumba haram, dll.) walaupun dengan tujuan memberi iktibar. Jangan menghina bangsa-bangsa di Malaysia. Jangan tulis nama anda pada manuskrip. Jangan mengagungkan orang yang jelas amat jahat.
Soalan 14
S: Apakah sifat paling utama untuk menyertai HSKU (KNR)?
J: Sabar, reda, tawakal, tekun, tak putus asa.
No comments:
Post a Comment