PENANGGUHAN HADIAH PENULISAN CERPEN SEDCO-BAHASA 2010
Terlebih dahulu, saya memohon maaf, kerana terpaksa menangguhkan sekali lagi majlis penyampaian hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA, yang seharusnya dilaksanakan pada hari ini, 27 Oktober 2010. Disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, termasuk masalah buku Antologi Cerpen “Emas Hitam” yang memuatkan karya para pemenang, masih dalam proses percetakan sekarang, maka majlis itu terpaksa ditunda ke suatu tarikh yang akan ditetapkan pada bulan November 2010. Saya akan memaklumkan tarikh baharu sebaik-baik sahaja mendapat lampu hijau daripada Yang Berhormat Datuk Haji Arifin Arif. Saya memohon ribuan kemaafan.
CADANGAN PENUBUHAN SURUHAN JAYA BAHASA KEBANGSAAN
BAHASA dengan ini menyokong penuh cadangan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Encik Jamawi Jaafar supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan yang bertanggungjawab menguatkasakan pengunaan Bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa itu sesuai dengan kehendak perlembagaan. BAHASA juga bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan suruhan jaya iaitu di bawah Jabatan Perdana Menteri, demi keberkesanan dan impak penubuhannya.Sehubungan itu saya menyeru kepada semua ketua Cawangan BAHASA di peringkat daerah, di seluruh negeri Sabah, jika berkemampuan agar membuat kenyataan media mengenai penubuhan suruhan jaya berkenaan.
Sesungguhnya cadangan penubuhan suruhanjaya itu bukan mengambil alih peranan DBP dalam memperkasa Bahasa Melayu, tetapi memperkukuhkan lagi penguatkuasaan serta perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang penting di negara kita ini.
DIALOG TELUK DI MIRI SARAWAK, PADA 17-19 DISEMBER 2010
Sukacita saya maklumkan bahawa tarikh Dialog Teluk yang diadakan di Miri pada 17-19 disember 2010 ini tidak akan diubah lagi. Sesiapa yang menyertai menggunakan kapal terbang, sila urus tiket anda mulai sekarang. Sila berhubung dengan cik Ruhaini Matdarin dan Puan Dayangku Mastura Pg. Ismail. Kadar tiket air Asia sekarang ialah RM 150.00 (pergi balik)
Sesiapa yang menyertai melalui jalan darat, saya maklumkan bahawa rombongan YDP, Timbalan YDP serta saudara Karim Gulam akan bertolak dari Kota Kinabalu, sehari lebih awal iaitu pada 16 Dis 2010. BAHASA dijangka akan membuat persembahan salingan sempena dialog teluk itu. Ahli BAHASA diminta bersedia.
ZIARAH BAHASA dan SASTERA KE BAHASA CAWANGAN MEMBAKUT
Terima kasih kepada pengerusi BAHASA Cawangan Membakut Puan Suraya dan ahli-ahlinya yang menyambut kehadiran rombongan ziarah kami dengan paluan kompang yang meriah. Walau pun singkat tapi sungguh bermakna. Terima kasih kepada dinda Norhasan yang membantu dan semua sahabat BAHASA di daerah itu. Kami juga sempat melawat ayahanda puan Suraya yang tidak sihat di rumahnya, sebelum kembali ke Kota Kinabalu. Bendahari GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Presiden PENA, Encik Salleh Rahamad, Timbalan YDP BAHASA, Cikgu Ramli Jusoh turut hadir pada majlis itu.
ANTOLOGI CERPEN “EMAS HITAM”
Buku antologi cerpen “Emas Hitam” yang memuatkan karya para pemenang hadiah penulisan cerpen SEDCO-BAHASA 2010, akan dilancarkan pada majlis penyampaian hadiah sayembara penulisan berkenaan yang dijangka akan diadakan di hotel Hyatt Kota Kinabalu. Buku setebal 120 muka surat yang memuatkan 13 karya cerpen para pemenang itu berharga RM 16.50 senaskah dan boleh dimiliki dengan potongan harga yang besar pada majlis pelancaran buku itu. Sebahagian daripada kutipan pembelian buku itu akan disalurkan kepada Tabung Dana BAHASA.
ZIARAH BAHASA SEMPENA SAMBUTAN 40 TAHUN GAPENA FASA 1
Baru-baru ini lebih kurang 17 orang ahli BAHASA sekitar Kota Kinabalu, Kota Marudu, Papar, Keningau telah menyertai program Ziarah BAHASA sempena sambutan 40 Tahuan GAPENA fasa 1 di Tenom, di mana pengisiannya antara lain ialah program Wacana Ilmu di SMK Entabuan, Tenom. Terima kasih kepada Guru Besar, guru-guru dan para pelajar sekolah berkenaan yang menjayakan program itu. Terima kasih juga kepada saudara Karim Gullam, saudara Azroy dan semua ahli BAHASA Cawangan Tenom yang membantu menjayakan majlis itu.
Para pelajar diberi suntikan ilmu, dan pengalaman dalam bidang sastera oleh 3 tokoh sastera tanah air yang penting iaitu Bendahari GAPENA, Taun Haji Hamzah Hamdani, presiden PENA, Encik Salleh Rahamad, Timbalan YDP BAHASA, Cikgu Ramli Jusoh. Para pelajar juga bertuah kerana turut dapat berkongsi pengalaman dengan penulis wanita yang sedang meningkat naik namanya di peringkat negeri dan kebangsaan, Cik Ruhaini Matdarin.
Pada sebelah malam diadakan Majlis Malam Semarak sastera di perkarangan hotel Asia Rasa Tenom, yang dirasmikan oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom, Encik Jamawi Jaafar. Terima kasih kepada encik Jamawi dan semua penulis, penyair dan pemimpin setempat yang turut mendeklamasikan puisi dan menyanyikan lagu puisi sempena majlis itu.
Encik Jamawi juga turut mendeklamasikan puisi spontan berkenaan perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu yang kemudian mendapat respon Timbalan Yang Di Pertua BAHASA, Cikgu Ramli Jusoh. Terima kasih kepada saudara Johan Aziz yang membut liputan satu muka penuh di Utusan Borneo mengenai majlis berkenaan. Terima kasih.
MAJLIS PELANCARAN BUKU NOVEL REMAJA “BOK BURI” DAN KUMPULAN PUISI’ BAGANDANG’
Majlis pelancaran buku novel remaja “Bok Buri” karya YDP dan kumpulan puisi “Bagandang” karya Ammi Manja terbitan DBP telah disempurnakan di perkarangan rumah adinda Johair Matlani dan suami, di Kampung Kebatu Beaufort pada 17 Okt 2010 yang lalu.
Majlis itu meriah dan dihadiri lebih kurang 1,000 orang penduduk dan pemimpin setempat di daerah Beaufort dan perasmian pelancarannya disempurnakan oleh Y B Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.
Pengarah DBP diwakili oleh Encik Nadih Haji Salleh, sementara semua ahli BAHASA yang menyertai Ziarah BAHASA turut menghadirinya. Terima kasih kepada semua ahli BAHASA yang menghadiri majlis berkenaan.
BUKU AHLI BAHASA YANG TERBIT DALAM TEMPOH TERDEKAT
EMPAT buah buku ahli BAHASA akan terbit dalam tempoh yang terdekat. Buku berkenaan ialah kumpulan cerpen “LARON” terbitan DBP karya Jasni Matlani, buku novel “kembali Untuk Cinta” karya Angela Engkuan” terbitan Alaf 21. Buku motivasi “Peluang ada di mana-mana” terbitan Iris Publishing, karya Sukeri Majalin dan buku kumpulan cerpen “Di Hujung pelangi” terbitan Iris Publishing karya Martinah Obod. Dapatkan buku ini di pasaran dalam tempoh terdekat dalam kadar harga yang berpatutan. Kepada ahli BAHASA yang lain saya menyeru, teruslah menghasilkan karya yang bermutu.
SLOT TEATER PERDANA DBP 2010
Ramai ahli BAHASA menghadiri pementasan teater perdana “Tun Mustapha” di Dewan Besar DBP baru-baru ini. Tahniah kepada DBP. Apa pun secara peribadi, saya merasa kecewa dengan pementasan teater berkenaan, yang kualitinya dari semua segi aspek pementasan teater jauh berbeza berbanding dengan pementasan teater seumpamanya sebelum ini. Tetapi mudah-mudahan DBP selepas ini lebih menumpu kepada penganjuran acara SASTERA yang bertaraf negeri, berbanding hanya memberi keutamaan kepada slot teater perdana.
Saya mencadangkan eloklah teater perdana diadakan dua atau tiga tahun sekali kerana semakin lama ia semakin membosankan. Tumpuan DBP Sabah juga sepatutnya dikembalikan kepada kegiatan bahasa dan sastera, kerana inilah tujuan asas penubuhan agensi berkenaan. Teater dan budaya sepatutnya menjadi bidang tugas utama JKKN bukan DBP. Pada saya, DBP masih boleh mengajurkan satu slot pementasan puisi dan lagu-lagu puisi yang bertaraf klas 1 untuk tontonan TYT yang Di Pertua Negeri Sabah, kalau mahu.
JASNI MATLANI
1 comment:
Saya rasa pandangan YDP amant bertepatan sekali berdasarkan mutu persembahan teater perdana yang semakin kurang memuaskan, bukan itu sahaja teater perdana telah menggunakan dana yang besar tetapi tidak memberikan sebarang impak terhadap pembangunan sastera di Sabah. Sewajarlah DBP Cawangan Sabah menilai semula perkara ini, dengar apa pandangan aktiviti sastera yang lebih merasai.
Terima kasih.
HASYUDA ABADI
Ikatan Penulis Sabah
(IPS)
Post a Comment