Thursday, December 3, 2009

Seusai Hadiah SEDCO BAHASA

SEMALAM 2 Disember 2009 BAHASA baharu sahaja menyempurnakan majlis penyampaian Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA dan seterusnya pelancaran buku Kumpulan Cerpen Hadiah SEDCO-BAHASA berjudul ‘Visi Sophia’ yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Majlis itu sungguh meriah dan bermakna sekali. Kata sahabat yang mengucapkan tahniah, majlis itu sederhana tetapi berkualiti. Terima kasih kepada para penulis Sabah tidak kira daripada BAHASA atau IPS yang menjadikan majlis itu berkualiti.
Terima kasih kepada DBP yang memberi perangsang dan dorongan yang sungguh bermakna apabila hampir kesemua pegawai yang diketuai pengarahnya menghadiri majlis berkenaan. Saya sangat berterima kasih.
Seperti yang saya katakan dalam ucapan saya sempena majlis itu semoga ukhuwah sedemikian akan berterusan untuk memperkasakan lagi dunia bahasa dan sastera kita di negeri Sabah ini. Insya-Allah jika kita terus bersatu sedemikian tanpa sebarang prasangka, kita akan menjadi satu gerakan yang kuat dan berkesan, seterusnya mampu mengubah minda masyarakat.
Sebanyak 14 buah cerpen karya para penulis Sabah, telah dimuatkan dalam buku kumpulan cerpen Visi Sophia itu, di mana kesemuanya adalah cerpen yang dipilih ke peringkat penilaian akhir sayembara berkenaan.
Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada para penulis yang memenangi hadiah berkenaan. Hadiahnya mungkin tidak sebeberapa, tetapi cukup untuk kita memulakan satu langkah ke arah pengwujudan hadiah yang lebih prestij lagi. BAHASA Boleh! Seperti kata tahniah daripada Saudara Hasyuda Abadi dan saya menjawab dengan penuh keharuan. SEMUA PENULIS SABAH BOLEH!
Terima kasih yang tidak terhingga tentunya saya ucapkan kepada YB Datuk Haji Mohd. Arifin Arif yang mencetuskan penganjuran hadiah berkenaan. Beliau adalah pemimpin yang hebat dan saya anggap diri saya sebagai seorang penulis yang kerdil sahaja, jika beliau memerlukan sepuluh penulis yang hendak menggoncang dunia.

YDP Jasni Matlani

1 comment:

noraini osman said...

Tahiah kepada JM. Penerbitan visi Sophia itu kena pada tempat dan waktunya.

noraini osman, KK

www.penulis-noorainieothman.blogspot.com