Sunday, December 27, 2009

1 Malaysia: Harapan baru rakyat Malaysia atau hanya retorik?

BARU-BARU ini saya menjadi ahli panel forum Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang diadakan di Grand Ballroom, 1 Borneo. Selepas forum itu, ramai yang bertemu dengan saya dan memberi reaksi bahawa saya kelihatan tegas, bersungguh-sungguh bercakap dan kurang bergurau dalam menyampaikan hujah, khususnya berkaitan isu 1 Malaysia sepanjang forum berkenaan. Kenapa? Adakah saya perlu bergurau atau bermain-main bila berbincang mengenai agenda bangsa dan masa depan rakyat negara saya?

Saya memang bersetuju dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak bahawa Sabah wajar dijadikan contoh dan modal gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkannya, kerana keunikan dan keajaibnnya. Malaysia memiliki keajaiban, tetapi Sabah mempunyai lebih banyak keajaiban. Seperti kata Tuan Haji Said Inyat, di Sabah hubungan kaum dan agama mungkin mengelirukan, kerana anda akan bertemu seorang yang beragama Kristian tetapi memiliki nama Islam dan begitulah sebaliknya. Namun inilah hakikatnya, bagaimana perasaan persaudaraan, hubungan antara kaum berlaku secara wajar, merentasi sempadan bangsa, kaum dan agama.

Hanya di Sabah sahaja anda bertemu, orang yang berlainan agama boleh hidup sebumbung, dengan satu bilik dihuni ahli keluarga yang beragama Kristian, sementara bilik lain dihuni ahli keluarga yang beragama Islam dan tidak pernah berlaku sebarang perselisihan berkaitan agama dalam keluarga berkenaan. Kata Datuk Masidi Manjun, saudara yang beragama Kristian menjaga supaya tidak ada sesiapa dalam keluarga itu membawa makanan yang haram di dalam rumah yang dihuni secara bersama itu.

Jika ada keluarga yang beragama Islam yang mengadakan majlis perkahwinan, mereka yang beragama Kristian datang meraikan bersama-sama dan jika ada keluarga yang beragama Kristian yang berkahwin, maka saudara mara yang beragama Islam datang lebih awal untuk menyediakan juadah makan minum yang halal untuk tetamu yang beragama Islam.

Tetapi adalah lebih baik, jika dalam konteks gagasan 1 Malaysia ini, kita memberi tumpuan lebih besar kepada usaha mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. Kita mesti melihat, apakah elemen atau perkara yang boleh menyuntik vaksin yang mujarab dalam memperkukuhkan lagi perpaduan itu. Misalnya dari segi bahasa, jika selama ini semua kaum mempertikai Bahasa Melayu termasuk orang Melayu sendiri yang terhegeh-hegeh hendak berkiblat kepada bahasa penjajah semula, maka ia mesti dihentikan serta merta.

Jangan lagi ada kalangan pemimpin kita, sama ada kerajaan atau pembangkang yang terlalu memberi ruang kepada bahasa Inggeris seolah-olah kita hendak mengenepikan perlembagaan negara yang memberi peruntukan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pemersatu rakyat majmuk negara ini. Saya tidak fikir kita akan ketinggalan jika betul-betul hendak memartabatkan Bahasa Melayu, dan pada masa yang sama menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Begitu juga dalam konteks sistem pendidikan negara, jika kita sukar melaksanakan konsep sekolah wawasan atau sekolah satu aliran, kerana prasangka yang tidak baik di antara satu sama lain, maka adalah penting gagasan 1 Malaysia dihebahkan di peringkat sekolah lagi. Khususnya melalui matapelajaran KOMSAS atau Kompenan Sastera dalam Bahasa Melayu, yang diambil oleh semua pelajar tanpa mengira kaum. Mata pelajaran KOMSAS mesti diperkasakan dan mengambil kira sastera yang menonjolkan semangat 1 Malaysia, dengan peluang yang luas juga diberikan kepada penulis Sabah dan Sarawak untuk mengetengahkan karya yang memperlihatkan semangat perpaduan dan keunikan budaya kedua-dua negeri ini dalam konteks perpaduan kebangsaan.

Jangan hanya satu kaum sahaja yang menjuarai gagasan 1 Malaysia atau menonjolkan penduduk Malaysia yang bermustautin di Semenanjung, tetapi penduduk di Sabah dan Sarawak diketepikan atau menonjolkan satu kaum sahaja bagi mewakili kedua-dua negeri ini. Jangan hanya penulis di Semenanjung yang mendapat ruang yang lebih baik, sementara para penulis Sabah dan Sarawak seperti tidak pernah wujud dalam minda mereka yang menentukan karya-karya yang serewajarnya dimasukkan dalam subjek KOMSAS itu.

Jika hal ini diperhatikan, saya yakin perubahan akan berlaku. Saya yakin gagasan 1 Malaysia akan menjadi satu gagasan besar dan membawa harapan baharu kepada seluruh rakyat negara ini. Malah ia mungkin menjadi satu gagasan yang agung dan ingatlah!, sebuah gagasan yang agung hanya boleh diluahkan oleh seorang negarawan yang agung.
Walau bagaimanapun tentulah setiap gagasan yang dikemukakan itu mempunyai niat yang baik dan begitu juga dengan gagasan ‘1 Malaysia’. Justeru adalah satu kebodohan yang nyata apabila kita hanya bermain dengan keburukan gagasan ini dan menolak kebaikannya.

Kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, gagasan 1 Malaysia adalah satu gagasan, di mana kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Siapakah bangsa Malaysia? Jawapannya adalah kita semua. Sama ada kita orang Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik yang terdapat di Sabah dan Sarawak, kita semua adalah bangsa Malaysia, tanpa menghilangkan identiti kita. Apabila kita memperakukan diri sebagai bangsa dan rakyat Malaysia, maka kita mesti menghormati perlembagaan negara ini, kerana itulah asas tubuh negara Malaysia yang telah dipersetujui dan kita mesti pegang bersama untuk kedaulatan rakyat dan negara ini.

Sebagai contoh, apabila bahasa Melayu dipersetujui sebagai bahasa rasmi rakyat negara ini, dibawah perkara 152 perlembagaan Negara Malaysia, maka kita mesti menerimanya bukan kerana ia bahasa orang Melayu, tetapi bahasa rakyat Malaysia yang kita percaya boleh menyatu padukan masyarakat berbilang kaum, bahasa lingua franca, bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa perniagaan dan bahasa sains dan teknologi. Kita mesti berdiri, berfikir dan bertindak mengikut landas perlembagaan berkaitan bahasa ini dan bukan mempertikaikannya, hanya kerana kepentingan politik tertentu.

Memang benar, politik adalah penting dalam kehidupan. Politik menghalalkan cara, tetapi ingat,banyak negara di dunia ini akhirnya melalui masa yang buruk dalam sejarahnya, kerana apa? Itu tidak lain, adalah kerana mereka terlalu berpegang kepada teori politik yang menghalalkan cara, tetapi apa yang berlaku ialah rakyat akhirnya bangkit menyatakan kebenaran dan menghukum mereka dalam cara yang paling hina. Kata Charles Dickens, ada masa untuk perkara yang baik, ada juga masa untuk perkara yang buruk.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, masa yang baik adalah masa di mana seluruh rakyat negara ini hidup bersatu padu, hidup berharmoni dan membangun bersama dalam keadaan yang aman tenteram dan jauh daripada sebarang malapetaka. Tetapi masa yang buruk juga akan tiba jika semua rakyat yang berbilang kaum ini, saling berburuk sangka, berpecah dan meletakkan kepentingan kelompok minoriti tertentu lebih besar daripada kepentingan majoriti. Apabila ini berlaku segala kemakmuran, kekayaan yang melimpah ruah dan pembangunan fizikal tumbuh dengan hebat ini tidak berguna lagi.
Kalau kita perhatikan keadaan di sekeliling sekarang, tanda-tanda itu sudah mula muncul di permukaan seperti kiambang yang memenuhi sebuah tasik dan jika tidak cepat dibersihkan, tasik itu boleh bertukar menjadi hodoh dan sukar bagi kehidupan lain untuk berkongsi nyawa di dalamnya. Sebab itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak menyedari akan berlaku malapetaka yang buruk kepada rakyat dan negara ini jika aspek perpaduan diabaikan.

Sebab itu, gagasan 1 Malaysia diperkenalkan, tujuannya bukan untuk menghidupkan kembali gagasan Malaysian Malaysia, bukan juga untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang-orang Melayu, kedaulatan raja Melayu atau menghilangkan identiti setiap kaum yang terdapat di negara ini seperti yang berlaku di Indonesia, tetapi lebih kepada menginsafi mustajabnya hidup bersatu padu dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dinikmati secara bersama dan berterusan untuk jangka masa yang lama.

Gagasan 1 Malaysia tidak dicipta untuk menghapuskan persefahaman yang terkandung dalam kontrak sosial yang diabsahkan Perlembagaan Negara, tetapi ia adalah satu gagasan supaya semua kaum menikmati kehidupan yang makmur. Tidak hanya satu kaum yang membolot kekayaan dan menikmati kemakmuran negara, sementara kaum lain hidup dalam kemiskinan. Ingatlah, orang miskin yang susah akan bangkit, malah mengorbankan apa sahaja untuk survivalnya. Pada ketika itu, harta yang setinggi gunung sekali pun akan hancur, tidak berguna lagi.
Begitu juga, gagasan 1 Malaysia tidak dicipta untuk menghadkan hak-hak kaum tertentu di negara ini. Tidak sekali-kali! Kata Dr. Mahathir, setiap peruntukan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi orang bukan Melayu.

Justeru itu, secara peribadi, saya ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib kerana ideanya dalam melahirkan gagasan yang penting ini, walaupun ada orang lain mengatakan gagasan ini sebagai mengulang perkara lama, membuang masa, membazirkan duit rakyat dan sebagainya. Tetapi mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian dalam sebuah negara demokrasi yang majmuk adalah baik, walaupun sentiasa ada pertanyaan sama ada gagasan itu menjadi harapan baru rakyat Malaysia selepas PRU12 atau hanya retorik dan permainan politik semata-mata?
Jika ia adalah harapan baru, maka cahaya cerah akan muncul selepas mendung yang dibersihkan hujan. Tetapi jika hanya retorik dan permainan politik semata-mata, maka adalah sukar untuk kita berkata, satu perubahan telah berlaku dan kegagalan yang lama telah dibunuh masa.

JASNI MATLANI

No comments: