Saturday, December 12, 2009

Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi

Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan Pelangi Publishing Group menganjurkan Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi.
Tema peraduan adalah bebas, tetapi hendaklah mengutamakan nilai-nilai murni dan budaya Malaysia dan mestilah sesuai untuk bacaan pelajar sekolah menengah. Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
Karya hendaklah asli dan ditulis dalam bahasa Melayu, belum pernah menyertai sebarang peraduan, disiarkan atau diterbitkan oleh mana-mana penerbit.Ketebalan manuskrip adalah antara 200 hingga 300 halaman saiz A4, ditaip dengan fon Arial bersaiz 12 poin, dan berselang dua baris.Peserta boleh menghantar maksimum dua karya bagi setiap kategori. Bagaimanapun, hanya satu karya yang akan dipilih untuk penerimaan hadiah.
Karya terbaik akan diterbitkan oleh Pelangi Novel Sdn Bhd dan pemenang juga akan menerima hadiah wang tunai RM5000 (pertama), RM3000 (kedua) dan RM2000 (ketiga) manakala lima hadiah sagu hati ialah RM500 setiap satu.Borang penyertaan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web http://www.pelangibooks.com.
Karya dalam bentuk bercetak dan soft copy berserta borang penyertaan yang lengkap hendaklah dihantar sebelum atau pada 31 Januari 2010, kepada Urus Setia Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. (U.P.: Siti Ezaleila Mustafa).
Sebarang pertanyaan mengenai peraduan ini boleh dilakukan dengan menghantar emel kepada ezaleila@gmail.com.

Friday, December 11, 2009

Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum

Dewan Bahasa dan Pustaka akan menganjurkan Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum sebagai salah satu usaha untuk merapatkan jalur nuansa pelbagai kaum dan etnik melalui bahasa dan sastera kebangsaan, empat buah kertas kerja akan dibentangkan oleh tokoh Sarjana Bahasa dan Sastera, antaranya Profesor Emeritus Dato Dr Hajah Asmah Haji Omar.

Tarikh: 12 Disember 2009
Tempat: Grand Ballroom, tingkat 3, 1 Borneo, Kota Kinabalu
Masa: 8 pagi hingga 5 petang

untuk keterangan lanjut bagi sesiapa yang berminat untuk hadir, sila hubungi Encik Ramlan Isnin melalui talian 088-439260/439314 atau 0195846166 atau emel ramlan_i@dbp.gov.my

Monday, December 7, 2009

Catatan YDP 7 Disember 2009

SEMALAM 6 Disember 2009, saya bersama-sama Timbalan Yang Di Pertua BAHASA dan juga Hasyuda Abadi baru kembali dari Miri selepas menghadiri Perkampungan Penulis Sarawak, yang diadakan di sana. Walaupun keletihan selepas melalui perjalanan darat yang jauh, tetapi kami berpuas hati dengan layanan yang diberikan sahabat penulis Sarawak, khususnya dari PUTERA sepanjang berada di sana.Kami juga mendapat pelbagai input mengenai perkembangan sastera di Sarawak yang dikatakan beberapa pembentang kertas kerja sebagai agak merosot dibandingkan dengan Sabah.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan, kerana saya melihat Sabah dan Sarawak kedua-duanya sama teraniaya dan dipinggirkan berbanding dengan rakan mereka di Semenanjung. Penyertaan kedua-dua negeri ini dalam Malaysia adalah beban sejarah yang menyakitkan kepada penulis Sabah dan Sarawak. Selepas hampir 50 tahun merdeka dalam MALAYSIA dua negeri ini bagai melukut di tepi gantang apabila bercakap tentang pemberian anugerah SEA Write Award untuk kouta Malaysia.

Begitu juga diketapikan dalam pemilihan karya dalam KOMSAS terbaru, walaupun kita sudah bercakap tentang 1 Malaysia. Penulis Sabah dan Sarawak juga tidak dimasukkan dalam buku WAJAH PENULIS MALAYSIA yang diterbitkan DBP, walau seorang pun. Jadi pengalaman penulis Sabah dan Sarawak adalah menyakitkan berbanding dengan pengalaman yang dilalui oleh penulis Negara Brunei Darussalam walaupun hanya merdeka pada tahun 1984. Sebab itu secara eksterim saya pernah menyebutkan, adakah kita perlu menjadi sebuah Negara baharulah penulis kedua-dua negeri ini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya? Saya berkeyakinan penulis Sabah dan Sarawak sebenarnya sentiasa boleh!

Jasni Matlani

PERTEMUAN SASTERAWAN NUSANTARA DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamualaikum,
Salam sejahtera,

Teman-teman sasterawan / penulis Nusantara yang budiman,

Sila maklumkan pengesahan kehadiran / penyertaan teman-teman berserta rombongan ke PSN XV dengan mengirimkan butiran jadual penerbangan / ketibaan di Brunei agar dapat kami menguruskan sambutan di airport dan penginapan.
Penyertaan masih kami bukakan sehingga pagi Jumaat, 11 Disember 2009.
Kami doakan perjalanan teman-teman ke Brunei dipermudahkan.

Disertakan INFO terkini.
• Teman-teman perlu berada / tiba di Brunei pada petang hari Khamis, 10 Disember 2009; ada acara sambutan pada sebelah malamnya.
• Sesi pembentang bermula pada pagi Jumaat, 11 Disember 2009 dan berakhir pada petang Ahad, 13 Disember 2009. Sesi pembentangan diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.
• Acara pembukaan rasmi akan diadakan pada hari Jumaat, 11 Disember 2009, jam 7.30 malam bertempat di Rizqun International Hotel, Gadong.
• Untuk acara pembukaan rasmi, sebaiknya para peserta/pembentang mengenakan pakaian kebangsaan / tradisional masing-masing kerana acara akan dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik (Putera kepada Sultan Brunei).
• Para pembentang dan peserta akan menginap di Abdul Razak Hotel Apartments, Jalan Laksamana, Batu Satu, Jalan Tutong.

Santai Majlis Hadiah SEDCO BAHASA


photo pemenang (dalam mood filem seram, maaf kabur sikit) dari kiri Welyne, Faridah, Angela, Dk Mastura dan Kathrina


YDP Jasni Matlani (tahun depan kita buat lagi majlis yang lebih gilang gemilang)


TYDP Cikgu Ramlee (tahun depan harap-harap nilai RM tajaan meningkat)


Setiausaha Ailin (tahun depan kerja keras)




T.Setiausaha Ruhaini & Puan Rubiah (photo dalam mood filem seram sekali lagi)

Thursday, December 3, 2009

Seusai Hadiah SEDCO BAHASA

SEMALAM 2 Disember 2009 BAHASA baharu sahaja menyempurnakan majlis penyampaian Hadiah Cerpen SEDCO-BAHASA dan seterusnya pelancaran buku Kumpulan Cerpen Hadiah SEDCO-BAHASA berjudul ‘Visi Sophia’ yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Majlis itu sungguh meriah dan bermakna sekali. Kata sahabat yang mengucapkan tahniah, majlis itu sederhana tetapi berkualiti. Terima kasih kepada para penulis Sabah tidak kira daripada BAHASA atau IPS yang menjadikan majlis itu berkualiti.
Terima kasih kepada DBP yang memberi perangsang dan dorongan yang sungguh bermakna apabila hampir kesemua pegawai yang diketuai pengarahnya menghadiri majlis berkenaan. Saya sangat berterima kasih.
Seperti yang saya katakan dalam ucapan saya sempena majlis itu semoga ukhuwah sedemikian akan berterusan untuk memperkasakan lagi dunia bahasa dan sastera kita di negeri Sabah ini. Insya-Allah jika kita terus bersatu sedemikian tanpa sebarang prasangka, kita akan menjadi satu gerakan yang kuat dan berkesan, seterusnya mampu mengubah minda masyarakat.
Sebanyak 14 buah cerpen karya para penulis Sabah, telah dimuatkan dalam buku kumpulan cerpen Visi Sophia itu, di mana kesemuanya adalah cerpen yang dipilih ke peringkat penilaian akhir sayembara berkenaan.
Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada para penulis yang memenangi hadiah berkenaan. Hadiahnya mungkin tidak sebeberapa, tetapi cukup untuk kita memulakan satu langkah ke arah pengwujudan hadiah yang lebih prestij lagi. BAHASA Boleh! Seperti kata tahniah daripada Saudara Hasyuda Abadi dan saya menjawab dengan penuh keharuan. SEMUA PENULIS SABAH BOLEH!
Terima kasih yang tidak terhingga tentunya saya ucapkan kepada YB Datuk Haji Mohd. Arifin Arif yang mencetuskan penganjuran hadiah berkenaan. Beliau adalah pemimpin yang hebat dan saya anggap diri saya sebagai seorang penulis yang kerdil sahaja, jika beliau memerlukan sepuluh penulis yang hendak menggoncang dunia.

YDP Jasni Matlani

Tuesday, December 1, 2009

Visi Sophia



Telah terbit dengan harga RM 20 (jangan bimbang kawan-kawan akan diberi diskaun)untuk mendapatkan naskah antologi pemenang Hadiah SEDCO BAHASA ini sila hubungi YDP (jasni_matlani@hotmail.com) atau Setiausaha II (aini05girl@yahoo.com)