Saya mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah. Mudah-mudahan tahun 2011 ini membawa banyak perubahan kepada diri kita dan juga keterlibatan kita dalam bidang penulisan. Saya berharap kita sudah pun mengariskan azam yang kuat dan bakal ditunaikan pada tahun 2011 ini.
Bagi BAHASA seperti yang dibincangkan pada mesyuarat lalu, walaupun tidak dibincangkan secara terperinci, tetapi insyallah kita akan menggalas tanggungjawab untuk menganjurkan hari Puisi Nasional pada tahun ini. Kita juga bakal menganjurkan Persidangan Persuratan dan kebudayaan kebangsaan ke 2. Kita juga berhasrat menganjurkan program Kenduri Sastera dan semarak puisi di keningau, seterusnya melaksanakan beberapa program bicara kreatif, selain daripada peneruskan program sayembara penulisan cerpen dan insyallah sayembara novel 2 jika mendapat sokongan penuh lembaga kebudayaan.
Selain itu acara santai dan bengkel penulisan juga akan diadakan dari semasa ke semasa khususnya kepada penulis baharu. Kemudian kita bercadang menganjurkan pertemuan untuk penulis muda dan beberapa acara lainnya.
Selain itu kita juga akan menggalakkan beberapa penulis kita dalam BAHASA, terutama mereka yang sudah kukuh supaya menghantar manuskrip karya sama ada puisi, cerpen atau novel untuk dinilai dan diterbitkan DBP.
Terasa terlalu banyak yang hendak dilakukan dalam segala keterbatasan, tetapi mudah-mudahan semua ini akan menjadi realiti. Lebih-lebih lagi tidak mudah rasanya kita mendapat dana bagi menganjurkan segala majlis berkenaan, tetapi mudah-mudahan ada yang akan tampil membantu kita menjayakan segala program yang dirancang itu.
Saya juga ada berbincang dengan beberapa teman-teman jika sekiranya kita mampu mengadakan majlis makan malam bagi mencari dana untuk membantu kita menggerakkan BAHASA. Tetapi semua ini masih dalam perancangan dan bakal dilaksanakan pada tahun baharu ini.
Tahun 2010 kita telah tinggalkan dengan seribu kenangan, yang tidak mungkin dilupakan. Kita telah merayakan sambutan 40 tahun BAHASA, dan menerbitkan buku-buku ahli kita dalam jumlah penerbitan yang terhad. Kita telah menganjurkan program sayembara menulis cerpen SEDCO-BAHASA yang ke 2 di mana majlis penyampaiannya pada 30 november 2010 yang lalu.
Kita juga menganjurkan program Sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah siri 1 bersama-sama dengan pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan majlis penyampaiannya diadakan dengan penuh gilang gemilang disempurnakan oleh Datuk Masidi Manjun pada 10 Disember 2010 yang lalu.
Kita juga Berjaya menghantar hampir 20 orang ahli BAHASA dan juga penulis negeri ini menghadiri acara Dialog Teluk di Miri Sarawak pada 17-19 Disember 2010. Begitu juga tahun 2010 mencatat kegemilangan ahli BAHASA kita apabila sebahagian besar penerima Hadiah Sastera Sabah tahun penilaian 2009/2010 adalah ahli BAHASA .
Antaranya Mohd Zain AH, (BAHASA Pitas), Ammi Manja (BAHASA Beaufort), Mabulmaddin Shaiddin (BAHASA Kota Marudu), Ailin Nor (BAHASA Kota Kinabalu), (Siti Rahmah G. Ibrahaim (BAHASA Kota Kinabalu), Ruhaini Matdarin (BAHASA Kota Kinabalu), Juri Durabi (BAHASA Kota Kinabalu), Abdul Karim Gullam (BAHASA Tenom) dan Ismail Salleh (BAHASA Sandakan).
Saya ucapkan tahniah kepada mereka semua, semoga ahli BAHASA akan terus aktif mewarnai persada sastera tanah air pada tahun baharu 2011 ini. Walaupun kita terkilan kerana tiada penulis Sabah yang menerima hadiah sastera perdana Malaysia, tetapi setidak-tidaknya kegemilangan kita di peringkat negeri akan terus menjadi penawar dan pembakar semangat kita semua untuk terus berkarya.
Saya juga ucapkan tahniah kepada kumpulan BAHASA Membakut dibawah pimpinan Hajah Surayah Ibrahim dan Noorhassan Pg Ismail yang semakin popular sebagai kumpulan pendeklamasi dan lagu-lagu puisi yang memukau. Semoga persembahan mereka akan terus mantap dan bervarisasi pada tahun 2011 ini.
Saya juga mengharapkan cawangan BAHASA yang lain terus kreatif dan inovatif menggerakkan BAHASA di cawangan masing-masing. Jika tidak mampu menganjurkan program yang besar, buatlah program sastera atau bengkel penulisan kecil-kecilan di cawangan atau daerah masing-masing, dan tumpuan kita mesti berikan kepada golongan muda yang akan menjadi pelapis para penulis mapan hari ini dan seterusnya pelapis dalam konteks kepimpinan BAHASA.
Tahun 2011 ini isya-Allah akan kita harungi dengan tenang dan sabar. Kita akan bakal mengadakan mesyuarat agung yang dijangka pada bulan Mac atau April tahun ini dan saya harap semua cawangan Saya juga mengharapkan agar semua cawangan dapat menghantar senarai ahli masing-masing untuk tujuan mengemaskinikan keahlian di peringkat pusat dan bagi membolehkan saya memastikan jumlah ahli BAHASA di seluruh negeri Sabah sekarang (Hanya hantar nama dan nombor kad pengenalan ahli sahaja). Semua dokumen itu sila hantar kepada BAHASA pusat SELEWAT-LEWATNYA pada 28 Februari 2011.
BAHASA kini mempunyai 17 cawangan yang aktif di seluruh negeri Sabah. Insyallah kita juga akan mengadakan kempen keahlian dalam kalangan peminat sastera dan penulis muda khususnya, dan kita mensasarkan kita mempunyai keahlian sekurang-kurangnya 3,000 orang ahli dalam tempoh dua tahun terakhir ini.
Sekali lagi saya mngucapkan tahun baharu dan marilah kita semua sama-sama mengimarahkan sastera dan menggerakkan BAHASA agar terus cemerlang di tengah-tengah segala ujian dan cabaran pada tahun 2011 ini.
Terima kasih
JM
No comments:
Post a Comment