PADA 10 Mei 2010 (isnin) saya bersama-sama Ketua Dua GAPENA, Dato’ Latif Bakar dan saudara Juri Durabi telah meluangkan masa melawat Ibu Dayang Salmah Salam di rumah anak beliau di kampung Tanaki yang terletak di jalan lama Kota Kinabalu-Papar.Kami sampai di rumah beliau sekitar jam 10.45 pagi dan kedatangan kami disambut seorang pembantu rumah yang kemudian memaklumkan kehadiran kami kepada ibu Dayang yang tidak lama selepas itu muncul di tengah ruang rumah sambil dipapah dan kehilatan sangat jauh berbeza dariapada zaman beliau sihat dahulu.
Kami kemudian dibawa duduk di ruang tamu dan Dato Latif memulakan perbualan dengan bertanyakan keadaan ibu Dayang. Tetapi pertanyaan beliau itu dijawab dengan tangisan dan barangkali itulah fitrahnya manusia, yang apabila Tuhan menarik balik sebahagian besar keistimewaan kita sebagai manusia, kita kembali kepada sepi, sedih, merindui sesuatu yang tidak mungkin dapat direbut kembali, sangat bernostlgik dan inginkan perhatian.
Ibu Dayang adalah seorang penulis wanita yang berjasa di Sabah. Sekolahnya mungkin tidak tinggi, tetapi tulisannya dan pemikrannya, kata Dato’ Latif sangat tajam, masih kritis, terutama apabila beliau menyebutkan sikap orang melayu yang suka mengambil mudah terhadap banyak perkara.
Kata ibu Dayang dalam kesakitan, orang Melayu ini suka melakukan perkara yang tidak mencabar. Sebagai contoh katanya, pada zaman dahulu orang Melayu suka tinggal dan membina rumah di tepi laut, kerana di situ mereka boleh melakukan banyak perkara dengan mudah. Mandi mudah,mencari makanan mudah dan nak melepas pun mudah.
Kami tergelak seketika. Tetapi kegembiraan itu semantara sahaja, kerana selepas itu perbualan kami hanya bersulamkan tangisan, apabila ibu Dayang terkenangkan kisah lampaunya yang tidak mungkin akan berulang.Katanya, masih banyak hajatnya yang belum tertunaikan. Buku yang dihasilkannya pun hanya beberapa buah sahaja. Beliau masih lagi berkeinginan hendak menulis, tetapi apa kan daya kemampuannya sudah sangat terbatas dek kerana usia tua.
Jadi nasihat saya kepada para penulis muda dan mereka yang masih sihat belaka, tulislah sebanyak mungkin karya semasa kita masih sihat, agar kita tidak menyesal pada hari tua. Saya bagi pihak ahli BAHASA mendoakan semoga ibu Dayang sentiasa tabah menghadapi ujian Allah dan dapat menyesuaikan dirinya dengan usia yang semakin lanjut. Semua manusia memang begitu dan semua kita akan melalui pengalaman yang sama, bezanya bagaimana kita menghadapi semua itu dengan kekuatan yang ada dalam diri kita sehinggalah kita dijemput menemui-Nya.
Sempena kunjungan itu juga, saya bagi pihak BAHASA menyampaikan sumbangan ikhlas para penulis dalam BAHASA sebanyak RM 400.00 sebagai tanda kasih dan balas kami bagi meringankan beban beliau. Sumbangan itu tidak bernilai berbanding jasa dan pengorbanan beliau terhadap dunia persuratan di negeri kita ini, tetapi hanya itulah yang mampu diberikan dalam segala keterbatasan kami.Sempena kunjungan itu Dato’ Latif Bakar juga turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada ibu Dayang.
Jasni Matlani
No comments:
Post a Comment